Kredit foto: encikshino.com

Penyanyi Sufian Suhaimi mengesahkan hubungan pertunangan beliau dan aktres Elfira Loy sudah terputus secara rasmi.

Ini susulan bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin telahpun datang ke kediaman keluarganya di Muar, Johor untuk memulangkan cincin pertunangan, dua hari lalu.

"Semuanya selesai penuh adat. Saya hendak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang peduli mengenai kami dan yang mendoakan baik-baik untuk kami," katanya.

Sabtu lalu, ibu Elfira, Filzah Yusoff, 52, mengesahkan ikatan pertunangan pasangan ini telah berakhir dan hanya menanti waktu sesuai untuk memulangkan cincin pertunangan.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober lalu dan mengikut rancangan, mereka sepatutnya mendirikan rumah tangga sekitar Mac ini.

Dalam pada itu, Sufian berkata, dia enggan mengupas lanjut isu peribadi yang melanda perhubungan itu, sebaliknya hanya melihat musibah tersebut sebagai petanda jodoh mereka tidak panjang.

Malah, Sufian mengambil keputusan untuk meredakan kekecewaan yang ditanggung dengan memberi fokus sepenuhnya kepada penghasilan karya seni.

"Ada pepatah Inggeris menyebut 'a broken heart creates a masterpiece'. Jadi saya akan cuba kongsi melalui lagu.

"Insya-Allah saya takkan biarkan tarikh 23 atau 24 Mac depan yang sepatutnya menjadi detik saya berkahwin, jadi sia-sia. Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan kongsi dengan anda semua," luahnya.

Mengenai perkembangan kerjaya seni, Sufian bakal muncul dengan single keempat berjudul Di Matamu.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)