Kredit foto: BH Online
Selepas ibu aktres Elfira Loy mengesahkan pertunangan anaknya dengan penyanyi Sufian Suhaimi sudah putus, akhirnya keluarga Elfira pula tampil memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga Sufian.
Sehubungan itu, bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin berkata, pertunangan kedua-dua selebriti ini secara rasminya telah putus.
“Kami sekeluarga sudah membuat keputusan memutuskan tali pertunangan antara Elfira dan Sufian," kata Ahmad Sabri kepada BH Online.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dia menganggap antara Elfira dan Sufian tidak mempunyai jodoh yang kuat.
“Apa yang boleh dikatakan antara anak saya dan dia (Sufian) tiada jodoh. Apa juga alasan atau sebab musabab lain itu tak perlulah ditulis kerana ia akan menyakitkan hati dan menyinggung perasaan orang lain.
“Biarlah ia tersimpan erat dan hanya keluarga masing-masing saja tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Sabri memberitahu mereka terpaksa mengambil sedikit masa sebelum berpeluang melaksanakan adat pemulangan cincin kerana kedua-dua pihak agak sibuk.
“Proses penyerahan cincin berlangsung dengan adat Melayu tanpa ada syarat tambahan seperti majlis tunang Oktober lalu," katanya.
Di kesempatan sama, Ahmad Sabri menegaskan hubungan kedua-dua keluarga juga masih berada dalam keadaan baik kerana masing-masing akur dengan keputusan yang dibuat.
“Baik keluarga saya dan keluarga Sufian menerima keputusan itu dengan terbuka. Kami masing-masing reda dengan apa yang sudah tertulis dan sepakat meneruskan hubungan baik tanpa perlu bermusuh,” katanya.
Akhir sekali, beliau berharap tiada lagi pihak yang cuba membangkitkan spekulasi hubungan pasangan itu demi menjaga hati kesemua pihak yang terlibat.
Sumber berita: BH Online