Oleh pada 11 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Sufian Suhaimi & BH Online

Bapa Elfira Loy, Ahmad Sabri Ariffin mahu penyanyi Sufian Suhaimi berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung isu pertunangannya dengan anak beliau bagi menjaga hati beberapa pihak.

Ia susulan beberapa siri kenyataan dikeluarkan Sufian kepada pihak media walaupun kedua-dua belah pihak keluarga sudah bersetuju untuk tidak memanjangkan isu itu, apatah lagi bersuara kepada wartawan.

"Sejak cincin tunang dipulangkan kepada keluarga Sufian di Muar, Johor pada 18 Februari lalu, saya fikir, hal ini tidak akan berpanjangan.

"Malah, bapa saudara yang mewakili keluarga Sufian ketika itu pun berharap tak perlu diperbesar dan dipanjangkan lagi isu putus tunang ini.

"Namun, perkara di sebaliknya terjadi. Saya lihat Sufian terus bercerita dan anak saya, hanya beberapa kali memberi kenyataan. Saya fikir, kenapa dia perlu 'main' lagi isu itu?

"Anak saya juga tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu. Bagi saya, ayah atau bapa saudara Sufian elok menasihatinya supaya tidak memanjangkan perkara itu... Benda ini sudah tamat," katanya sebagaimana dilaporkan portal BH Online.

Sebelum ini, dunia hiburan digemparkan dengan kenyataan ibu Elfira, Filzah Yusoff yang mendedahkan pertunangan anaknya dengan Sufian sudah berakhir.

Masalah hubungan pertunangan yang diikat pada 6 Oktober itu dihidu pihak media sejak Disember lalu apabila pasangan ini tidak lagi berkongsi foto bersama di media sosial seperti kebiasaannya.

Sufian yang akhirnya mengaku ikatan pertunangannya putus, mula dihinggap pelbagai dakwaan tentang punca konflik hubungan itu. Rentetan itu, penyanyi Terasa Ada ini sering tampil mengemukakan kenyataan kepada media, sedang Elfira pula dilihat lebih selesa mengunci mulut.

Dalam pada itu, Ahmad Sabri akui akur dengan tugas wartawan yang perlu mendapatkan sumber berita.

"Sufian boleh cakap 'tidak' dan jangan lagi memberi komen. Saya kurang pasti apakah semua ini strategi Sufian dan pihak pengurusannya yang mahu mempromosikan lagu baharunya.

"Selepas memulangkan cincin, saya yakin dan percaya keluarga kedua-dua belah pihak menerima ketentuan ini dengan lapang dada. Hal jodoh dan pertemuan itu milik Allah," katanya lagi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)