Kredit foto: Instagram Sufian Suhaimi
"Saya bukanlah nak buat imej baharu pun tapi ini hanya untuk muzik video baharu saya, Di Matamu.
"Insya-ALLAH, kita akan mula penggambaran awal Mac nanti."
Itulah reaksi Sufian Suhaimi mengulas imej terbaharunya yang bermisai dan berjambang, selepas terpalit kontroversi putus tunang dengan aktres Elfira Loy.
Penyanyi berusia 26 tahun ini pernah mengunci mulut mengenai status pertunangannya, sebelum didedahkan berakhir baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau akui masih cuba menyesuaikan diri dengan imej matang yang dibawanya ini.
"Saya akui agak selesa tapi kadang-kadang terasa juga nak bercukur. Tapi, tengoklah macam mana nanti.
"Buat masa ini, fokus saya hanya nak siapkan muzik video itu dulu. Yang lain-lain, saya akan fikirkan kemudian," katanya.
Sehingga kini, video muzik Di Matamu yang dirakamkan beliau secara santai sudahpun meraih lebih 750,000 tontonan di laman Youtube sejak dimuat naik pada 23 Februari lalu.
Malah ia di kedudukan kedua carta trending serta menerima 18,000 tanda suka daripada pelayar.
"Wow! Saya terkejut apabila ia trending. Tak sangka orang suka lagu itu. Lagipun, itu sebenarnya bukanlah versi rasmi.
"Produksi rakaman muat naik di Instagram (IG) dan YouTube. Ia versi lirik dan dinyanyikan secara akustik serta tak formal.
"Tapi, ia petanda baik untuk dilancarkan sebagai single terbaharu saya," katanya.
Bercerita tentang lagu bernada sayu dan bersifat melankolik itu, Sufian akui ia mempunyai kaitan dengan apa yang telah dilaluinya.
"Lagu itu sebenarnya dah mula ditulis secara berperingkat dari tahun lepas lagi.
"Memang lagu itu ada kaitan dengan kisah hidup saya dari tahun lepas dan sepanjang masa ini.
"Alhamdulillah, ia akhirnya siap menjadi satu lagu pada Disember lalu," katanya.
Sumber berita: Sinar Harian