Kredit foto: Twitter Rotikaya
Akhirnya status pertunangan pasangan Sufian Suhaimi dan Elfira Loy yang didakwa bermasalah sebelum ini terlerai apabila ibu Elfira, Filzah Yusof, 52, mendedahkan hubungan mereka telah putus.
Kata Filzah, tindakan yang diambil itu telahpun melalui proses perbincangan dan ianya berpunca daripada harapan beliau sendiri yang mahu melihat masa depan anak perempuannya itu terjamin.
“Tiada apa yang perlu saya huraikan lagi kerana sudah tertulis jodoh mereka tidak panjang. Insya-ALLAH bapa Elfira akan menemui keluarga Sufian untuk menyelesaikan perkara tersebut mengikut adat.
“Saya cuma berharap anak saya dipertemukan dengan lelaki yang jujur, beriman dan tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga. Ini kerana rezeki tidak datang bergolek jika tidak berusaha,” katanya petikan dari laporan media tempatan.
Sementara itu, Elfira yang kini berada di New York, Amerika Syarikat sudah sedia maklum dengan perkara berkenaan.
“Elfira tahu mengenai perkara ini dan menyerahkan segala keputusan kepada kami," kata Filzah.
Filzah menegaskan dia mahu berwaspada kerana risau risiko buruk yang perlu ditanggung jika pasangan itu berumah tangga.
“Lebih baik kami sebagai ibu bapa ambil langkah awal sebelum segalanya jadi lebih teruk selepas berkahwin nanti,” katanya.
Di kesempatan sama, Filzah meluahkan rasa kesal apabila anak perempuannya itu menjadi mangsa hentaman dan tuduhan netizen yang tidak tahu-menahu hal sebenar.
Terdahulu, pasangan selebriti itu bertunang pada 6 Oktober dan merancang untuk berkahwin sekitar Mac ini.
Sumber berita: Sinar Harian