Kredit foto: Malay Mail Online , encikshino.com & tv14.my

Susulan penahanan aktor dan pengarah Datuk Farid Kamil kerana dikatakan menyerang anggota polis dan orang awam, rakan selebriti tidak ketinggalan memberikan kata-kata semangat buatnya menerusi media sosial.

Rata-ratanya menyatakan sokongan dalam bentuk doa dan harapan agar Farid mahupun isteri beliau, Datin Diana Danielle, terus kuat menghadapi musibah itu.

Dalam masa sama, mereka berharap agar netizen berhenti mencemuh dan meletakkan andaian bukan-bukan yang akan memburukkan lagi keadaan serta memberi kesan kepada emosi keluarga aktor itu.

Tulis sutradara dan pelakon, Khir Rahman di laman sosial, "Setakat yang saya kenal, pasangan ini adalah orang yang baik. Kedua-duanya pernah berada di bawah arahanku".

Sementara itu, Sharnaaz Ahmad meluahkan rasa berang terhadap sikap individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan foto Farid dalam keadaan tidak terurus sewaktu ditahan.

"Apa pun isu Farid Kamil, kepada individu yang membocorkan gambar itu, semoga anda dibuka aib pula satu hari kelak.

"Farid adalah hero pertama (ketika) saya mula berlakon dalam industri ini dan dia seorang yang sangat baik. Apa yang ingin saya katakan, saya sendiri melakukan banyak kesalahan, bergaduh, bertumbuk, masuk mahkamah dan kena denda. Tetapi, siapakah anda atau saya untuk menghukum? Manusia melakukan kesalahan dan boleh dihukum tetapi bukan mengaibkan.

"Farid, aku tahu kau bukan orang yang begini. Kami kawan-kawan akan sokong kau walau apa cara pun. Kami doakan semoga Allah permudahkan dan ringankan dugaan kau dan keluarga," cetusnya.

Pelakon, hos dan usahawan, Fizo Omar meminta orang ramai untuk sama-sama berdoa agar beban dugaan yang dipikul Farid serta Diana dapat dipermudahkan.

Menurut Fizo, dia terkesan apabila melihat sesetengah netizen bertindak melulu dalam memberi komen terhadap pelakon itu.

"Setiap hamba-Nya diuji mengikut kemampuan masing-masing. Kita tidak tahu tahap mana kemampuan kita? Ukurannya adalah berdasarkan ujian yang diberikan oleh-Nya kepada kita. Hanya yang kuat akan diberikan dugaan yang setahap dengannya.

"Dugaan dan kejayaan adalah dua sahabat baik. Mereka tidak akan berpisah. (Apabila) Hadirnya dugaan, percayalah kejayaan sedang menunggu di hadapan.

"Cabaran kita semua berbeza. Anda tahu ke esok lusa apa cabaran untuk kita pula? Maaf, saya sedih apabila tengok netizen 'bantai' Farid bertalu-talu. Apa perasaan isteri, anak-anak dan keluarganya? Mereka salah ke? Anda pernah fikir?

"Kalau betul dia buat salah sekalipun, adakah dia minta semua ini? Mengenali Farid, dia sangat santai, penyayang dan bertanggungjawab. Jadi, kalau tiada sesuatu yang tersilap, saya percaya dia takkan berbuat demikian.

"Pasti (ada) sesuatu yang tidak kena, yang kita semua tidak tahu. Tahu nak 'bantai' saja, seolah-olah dia tidak pernah melakukan kebaikan. Hari ini hari dia, esok lusa, hari kita pula," katanya.

Turut memberi ucapan semangat ialah Lisa Surihani, Sofi Jikan, Izara Aishah, Zul Ariffin, Sharifah Amani, Osman Ali, Azad Jazmin dan Nelydia Senrose.

Masing-masing mengutus doa kesejahteraan buat Farid dan seluruhnya kaum keluarganya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)