Kredit foto: Instagram Azad Jazmin & Kosmo! Online
"Kalau betul salah, saya sepak muka dialah!"
Demikian kata aktor Azad Jazmin dalam nada jenaka apabila diminta mengulas tentang penahanan rakannya, Datuk Farid Kamil.
Katanya, dia percaya Farid mempunyai sebab tersendiri menampar polis dan menendang orang awam dalam kejadian Khamis lalu.
"Tot (nama panggilan Farid Kamil), hang apa cerita? Awat bengong sangat pi sepak polis," katanya.
Azad menegaskan Farid yang sudah berkawan dengannya sejak 15 tahun lalu itu bukanlah seperti yang digambarkan dalam insiden baru-baru ini.
"Farid Kamil adalah seorang yang tidak akan terima tawaran berlakon sekiranya melibatkan babak buka baju," katanya.
Mengimbas persahabatan mereka, Azad atau Azad Jazmin John Louis Jeffri mengatakan Farid tidak pernah bertindak sedemikian walaupun sering 'disogok' gurauan kasar.
"Saya agak wild bila bergurau. Tak ada pula Farid Kamil sepak atau tumbuk saya," katanya.
Walau apa sekalipun, Azad menyatakan sokongannya terhadap Farid atas dasar persahabatan.
"Negara kita ada undang-undang. Salah tetap salah dan sebagai kawan saya support dia," katanya.
Dalam pada itu, Azad memohon kerjasama peminat supaya memberikan keluarga Farid sedikit ruang untuk berhadapan kemelut itu.
"Farid Kamil ada anak dan isteri, begitu juga dengan anda.
"Jangan tambah garam, kita doakan yang terbaik," pintanya.
Selain Azad, aktor Azahan Rani yang turut hadir di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya semalam berkata, dia datang sebagai tanda sokongan kepada Farid.
Sumber berita: Sinar Harian