Kredit foto: Instagram @officialhlive

Aktor dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari mendedahkan kesihatannya berada dalam keadaan baik selepas menjalani tahanan reman sejak empat hari lepas.

Farid, 37, berkata, proses perintah reman telah dilaluinya dengan aman berpandukan prosedur yang ditetapkan.

"Alhamdulillah, saya baik-baik sahaja dan bersyukur kepada Allah. Semuanya berlangsung dengan aman.

"Sekarang ini saya hanya ikut perintah dan terima kasih kepada semua," katanya kepada pihak media dalam riak wajah tenang sebelum memasuki kenderaan polis.

Beliau membuat kenyataan tersebut ketika ditemui selepas mahkamah melanjutkan perintah tahanan reman selama sehari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, tengah hari tadi.

Sebelum ini, Farid terlebih dahulu direman empat hari untuk siasatan lanjut susulan kes serangan terhadap seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 11 Januari lalu.

Dalam pada itu, adiknya, aktor Fadzil Zahari berkata, keadaan emosi Farid nampak lebih tenang pada pertemuan kali ini.

"Sebelum ini saya nampak dia sangat tertekan, tetapi hari ini emosi dalam keadaan baik dan tenang. Mungkin kerana sokongan teman artis dan rakan media.

"Kami sekeluarga mementingkan kesihatan Farid dan berharap dia kembali pulih seperti biasa dan kita tengok macam mana nanti," katanya.

Di kesempatan yang sama, Fadzil yang juga suami kepada aktres Yana Samsudin itu meminta maaf kepada pihak polis dan orang awam yang telah dikasari Farid dalam kejadian tempoh hari.

Kredit video: Instagram @officialhlive

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)