Kredit foto: Instagram Fadzil Zahari
Adik Datuk Farid Kamil Zahari yang sedang menuntut di India sanggup mengambil cuti untuk pulang ke Malaysia demi memberi semangat kepada abang sulungnya yang sedang ditahan polis.
Fadzil Zahari yang merupakan anak kedua daripada lima beradik ini mendedahkan adik bongsu mereka yang sedang belajar dalam bidang perubatan di India itu mengambil cuti sejak Sabtu.
Tegas Fadzil, itulah janji mereka lima bersaudara untuk tidak mengabaikan Farid yang kini dilanda ujian.
"Buat masa ini, paling penting adalah sokongan semua terutama kami sebagai saudara terdekatnya. Ini kerana sama ada baik atau buruk, dia tetap abang sulung kami.
"Tambahan pula mak dan ayah berada di kampung di Jitra, Kedah. Mereka sudah berusia, jadi biarlah segala urusan Farid, kami adik beradik yang pantau," katanya dalam laporan BH Online.
Dr Azman Aizuddin, Dr Anis Anwar dan adik bongsu, Nurdianah merupakan adik kepada Farid dan Fadzil.
Semalam, Farid disambung reman sehari untuk siasatan lanjut susulan kes serangan terhadap seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 11 Januari lalu.
Dalam pada itu, Fadzil berkata, Azman yang bertugas di hospital sedang berada di Kedah untuk menjaga kedua ibu bapa mereka, sementara yang lain tinggal di sini untuk bersama Farid.
Fadzil dan adiknya yang melawat Kompleks Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi semalam, meluahkan rasa lega melihat emosi Farid yang kembali stabil berbanding ketika mula direman dahulu.
"Berbeza dengan keadaan abang yang tampak murung dan tertekan beberapa hari lalu, abang dilihat sudah kembali seperti biasa. Dia sempat bertanya khabar dengan kawan-kawan dan rakan media di mahkamah.
"Selepas ini, kami akan membawa abang menjalani pemeriksaan perubatan bagi memastikan dia sihat dari segi mental dan fizikal," katanya.
Sumber berita: BH Online