Kredit foto: klick.my

Kes penahanan aktor dan pengarah, Datuk Farid Kamil, nyata memberikan impak besar kerana turut mendapat perhatian rakan selebriti yang tidak henti-henti mengucapkan sokongan di laman sosial.

Antaranya termasuk pelakon Azhan Rani yang kelihatan hadir di mahkamah semalam ketika tempoh reman Farid dilanjutkan lagi sehari.

Azhan berkata, kehadirannya untuk melihat sendiri keadaan aktor itu selepas pelbagai versi kisah beliau bertebaran sejak ditahan Khamis lalu.

“Saya tolak tepi apa pun kesalahannya buat masa ini kerana percaya dia sangat memerlukan sokongan dari rakan-rakan dalam keadaan ini.

“Farid bukan sahaja rakan artis, tetapi juga merupakan bekas pelajar saya ketika bergelar tenaga pengajar di UiTM beberapa tahun lalu.

“Saya benar-benar terkesan melihat imej dan keadaan dia ketika mula-mula dibawa ke mahkamah beberapa hari lalu dan sukar untuk mempercayai situasi itu.

“Farid yang saya kenali sebelum ini adalah seorang yang sopan dan tidak pernah berkasar dengan sesiapa dan ia membuatkan saya berasa begitu sedih dengan apa yang menimpanya saat ini,” kata Azhan kepada portal Sinar Harian.

Azhan yang sempat bertemu Farid selama beberapa minit di luar mahkamah berkata, keadaan Farid jauh lebih baik berbanding ketika ditemui di lokasi sama sewaktu awal tempoh reman dahulu.  

azhan rani bukan sekadar rakan farid kamil malah 2 243

Kredit foto: Kosmo

“Alhamdulillah keadaannya hari ini nampak lebih bersemangat dan sangat berbeza dengan keadaannya di mahkamah yang sama beberapa hari lalu.

“Dia menyedari kehadiran saya dan rakan pelakon Azad Jazmin, malah kami sempat bersalam sebelum dia dibawa oleh oleh pihak polis.

“Apa yang saya harapkan agar dia dalam keadaan yang baik dan selebihnya mendoakan agar dia dirahmati,” katanya.

Sementara itu, Azhan berharap netizen berhenti menjatuhkan hukuman kepada aktor itu memandangkan mereka tidak mengetahui cerita sebenar yang dilaluinya.

“Saya akui media sosial sangat berpengaruh dalam kehidupan kita hari ini sehingga menyebabkan ia berada di luar kawalan.

“Apa pun, janganlah terlalu melihat kepada kesalahan orang lain kerana kita sendiri juga tidak pernah tahu apa yang akan berlaku pada hari esok," katanya.

Azhan yang pernah berlakon bersama Farid dalam drama Wasiat dan filem Anak Jantan menganggap ujian yang dihadapi aktor itu juga sebagai renungan dan peringatan bersama.

“Ujian ini sebenarnya bukan hanya untuk Farid, tetapi juga untuk kita agar sentiasa beringat. Fikirkan bagaimana kalau kita atau keluarga kita yang berada di tempatnya,” katanya.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)