Kredit foto: BH Online

Penerbit dan novelis popular tanah air, Siti Rosmizah Semail bersedia untuk tindakan saman terhadap Datuk Farid Kamil atas dakwaan melanggar beberapa syarat sewaktu penggambaran drama, Lafazkan Kalimah Cintamu (LKC).

Siti Rosmizah mendakwa, angkara masalah disiplin ditimbulkan aktor itu, beliau terpaksa menanggung kerugian ketika pembikinan drama arahan Jalena Rejab dan Along Kamaluddin.

"Saya mengalu-alukan sekiranya Farid ingin menyaman produksi, yang kononnya menyebabkan beliau tercedera ketika penggambaran. Saya mempunyai segala bukti dan gambar serta bersedia untuk menegakkan kebenaran di mahkamah.

"Farid mengadu kaki kanannya bernanah kerana air kotor yang digunakan untuk babak dalam drama pada 26 November lalu. Sebenarnya, saya guna khidmat bomba Wangsa Maju dan air diambil adalah air terjun, bukan air kotor seperti didakwa.

"Kenapa hanya kaki kanannya bernanah, sedangkan satu badan terkena hujan palsu yang dibuat itu? Saya dimaklumkan, kaki kanan Farid sudah mengalami gatal-gatal sebelum itu lagi.

"Jika benar dia ingin saman saya, saya pun ingin menuntut kerugian kerana masalah yang ditimbulkan olehnya," katanya memetik laporan portal BH Online.

Siti Rosmizah yang juga penerbit bersama drama rantaian 7 Hari Mencintaku, berkata, aktor itu telah menghantar beberapa bentuk tuntutan kepada peguamnya.

"Selain isu air kotor yang dibangkitkan, saya juga menerima tuntutan daripada peguam Farid yang mendakwa anak guamnya diminta membuat aksi lasak membahayakan nyawa ketika penggambaran LKC.

"Sebenarnya tilam disediakan untuk adegan yang memerlukan Farid jatuh, jadi bagaimana pula boleh membahayakan nyawa? Mungkin saya baru lagi sebagai penerbit, namun saya guna dua pengarah yang sudah lama berkecimpung dalam bidang pengarahan.

"Saya tidak mahu memanjangkan isu ini dengan terus membuat kenyataan balas. Jika benar Farid ingin saman, saya sudah bersedia. Saya mempunyai latar belakang sebagai peguam, jadi saya sudah mengumpul segala bukti yang ada," katanya.

Sebelum ini, Farid menerusi laman sosial Instagram memaklumkan akan membela orang teraniaya, namun tidak menyatakan secara jelas maksud kenyataannya.

Rakan selebriti serta peminat memberikan tanda sokongan dengan menekan butang 'tanda suka' dan melaungkan kata-kata semangat di ruangan komen.

Kiriman itu disertakan sekeping foto memperlihatkannya memegang dokumen yang kelihatan seperti kertas laporan polis di hadapan Balai Polis Mutiara Damansara.

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)