Kredit foto: kenabaca.com
Pelakon Sofi Jikan mendakwa beliau mengetahui masalah dan kemurungan dihadapi Datuk Farid Kamil hingga terjebak dalam perlakuan ganas di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, 11 Januari lalu.
Namun, dalam masa sama, Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, enggan mengulas panjang tentang laporan polis dibuat Farid yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan tiga rakan artis apabila minumannya dicemarkan dengan dadah.
Sofi menganggap Farid 'sedang sakit' ketika membuat laporan polis bertarikh 31 Januari itu.
“Saya tahu dia sedang sakit dan apa yang sedang dialaminya. Saya kasihan padanya," katanya kepada Kosmo Online.
Enggan memberi kenyataan lanjut, pelakon yang juga pengarah berusia 48 tahun itu akur dengan tuduhan yang dilemparkan orang ramai.
“Tiada komen. Lagipun perkara ini isu sensitif dan di bawah undang-undang. Kalau saya cakap lebih-lebih, nanti orang akan tuduh juga,” katanya.
Dalam laporan polis yang dilakukan Farid di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail antara lain menyatakan kekerasan yang dilakukan oleh pihak polis semasa beliau ditahan reman baru-baru ini.
Dalam pada itu, tiga rakan artis yang didakwa meletakkan dadah dalam minumannya adalah pelakon dan pengarah, penyanyi yang pernah terkenal dengan genre R&B era 1990an serta seorang lagi pelakon yang tidak dapat didedahkan namanya.
Farid turut mempersoalkan foto penahanannya yang menjadi tular hingga sampai ke pihak media.
Sumber berita: Kosmo & The Malay Mail Online