Dua tahun lalu, University of Notre Dame telah menerbitkan satu indeks dikenali sebagai Inisiatif Penyesuaian Global Notre Dame (ND-GAIN) yang mendedahkan negara-negara yang akan terkesan dengan perubahan iklim. Sejak berita tentang pemanasan global semakin tular sejak kebelakangan ini, laporan indeks ini kembali menjadi sebutan ramai kerana data dan kesimpulan yang diberikan masih relevan sehingga ke hari ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Laporan ini merupakan satu indeks yang sangat komprehensif kerana ia meneliti tahap 'kelemahan' setiap negara dan kesediaan mereka untuk menyesuaikan diri. Misalnya, ia melihat kepada keadaan infrastruktur, bekalan makanan dan keupayaan teknologi selain kebarangkalian terdedah kepada bencana alam atau pergolakan politik. Di samping itu, inisiatif dan usaha kerajaan untuk menghadapi perubahan iklim ini juga diambil kira.
Anda boleh lihat sendiri peta yang disusun oleh The Eco Experts berdasarkan indeks tersebut. Namun untuk kemudahan anda, kami senaraikan lima negara teratas dan lima negara paling berisiko.
Lima negara yang akan 'selamat' menghadapi perubahan iklim
- Norway (76.0)
- New Zealand (73.7)
- Finland (72.1)
- Sweden (71.6)
- Switzerland (71.2)
Lima negara yang paling terkesan dengan perubahan iklim
- Republik Congo (29.5)
- Republik Afrika Tengah (27.5)
- Eritrea (26.1)
- Chad (25.7)
- Somalia (20.2)
Anda boleh mengetahui kedudukan penuh indeks tersebut di sini.
Sekiranya anda tertanya-tanya, Malaysia berada pada tempat ke-45.
Amerika Syarikat pula berada di kedudukan yang ke-15, Australia tempat ke-9 sementara Kanada pula berada di tempat ke-13. China berada di kedudukan ke-59 dan India pula berada pada tempat ke-118.
Dari sini kita sudah boleh nampak corak kedudukan dan boleh membuat kesimpulan sendiri bahawa negara-negara maju dan paling kaya pada amnya adalah yang paling bersedia manakala negara-negara berpendapatan rendah pula akan merasai impaknya.
Salah satu perkara paling buruk tentang perubahan iklim adalah hakikat bahawa negara-negara yang menjadi 'pencemar' paling produktif adalah negara yang tidak akan merasai akibatnya. Ia adalah satu fakta yang menjengkelkan dari segi moral, bukan? Ia seperti perokok yang menghisap rokok di hadapan anak kecil. Anak kecil yang menjadi perokok pasif itulah yang akan paling terkesan walaupun tidak merokok.
Atas sebab itulah Perjanjian Paris dimeterai untuk menggalakkan negara-negara maju ini melakukan lebih banyak sumbangan untuk membantu negara miskin.
Sudah tentu sedikit sebanyak negara-negara kaya ini masih akan merasakan impak perubahan iklim. Sebagai contoh, Amerika Syarikat mungkin akan mengalami krisis pelarian akibat perubahan iklim, dilanda bencana alam yang tidak pernah terjadi atau mungkin mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2100. Namun, jika dibandingkan dengan negara seperti Afrika, India, Timur Tengah dan Amerika Selatan, masalah-masalah itu adalah perkara kecil.
Tidak seperti kebanyakan negara di Eropah, Amerika Utara atau Asia Timur, negara-negara berisiko tinggi ini sudahpun dilanda beberapa faktor yang menimbulkan permasalahan sedia ada seperti ekonomi sederhana, lokasi di sepanjang tepi laut yang boleh menyebabkan banjir, kedudukan latitud rendah yang boleh menyebabkan kemarau dan/atau ketidakstabilan politik dalam negara.
Walaupun laporan indeks ini hanya melihat kepada ketahanan sesebuah negara menghadapi perubahan iklim dalam skala yang besar, kita boleh perhatikan yang kemakmuran dan kekayaan ini juga mempunyai kesan yang sama di peringkat bawah. Sama ada di Amerika Syarikat, Bangladesh atau Malaysia, mereka yang hidup sedia ada susah sudah tentu akan lebih menderita apabila perubahan iklim drastik melanda.
Sebelum Menghabiskan pembacaan anda, ikuti dulu video di bawah ini berkaitan apa pandangan Wak Doyok tentang "Climate Change in Malaysia".
Marilah kita bersama-sama berhenti menambah kerosakan pada Bumi.
Rujukan: