Oleh pada 27 Nov 2017 kategori

ppr kepong

Isu pemilikan rumah memang menjadi satu isu sensitif di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun begitu, tidak dinafikan telah wujud pelbagai insentif oleh pihak kerajaan, tak kira kerajaan pusat dan kerajaan negari bagi memudahkan orang ramai mendapatkan kediaman sendiri.

Tahukah anda 8 jenis inisiatif yang diwujudkan bagi membantu anda ini?

1. Skim Perumahan Rakyat Malaysia (PR1MA)

BESARKAN TEKS     A-  A+

perumahan rakyat 1malaysia

Dibangunkan di beberapa kawasan yang strategik lokasinya, skim rumah PR1MA merupakan skim pemilikan kediaman paling popular di negara kita. Dengan sasaran golongan pertengahan, setiap unit jualan diletakkan pada kadar RM100 ribu ke RM400 ribu maksima. Pemilik diwajibkan untuk tinggal di kediaman yang diperolehi tanpa dibenarkan untuk menyewakannya. Penjualan semula pula hanya dibenarkan selepas 10 tahun pemilikan. (pautan PR1MA)

2. MyHome

myhome program

Skim perumahan yang dibangunkan dengan kerjasama pihak pemaju swasta ini menawarkan golongan berpendapatan rendah. Setiap pemohon perlu melalui ujian tapisan bagi menyemak kelayakan dengan setiap unit tidak dibenarkan untuk jualan selama 10 tahun. Ada da jenis model rumah ditawarkan iaitu MyHome 1 yang berharga RM50 ribu ke RM90 ribu dan MyHome 2 yang mempunyai harga lebih tinggi pada kadar RM90,001 ke RM220 ribu. (pautan MyHome)

3. PPA1M

ppa1m putrajaya

Skim perumahan ini ditujukan khas kepada penjawat awam yang mempunyai gred jawatan di bawah JUSA C serta mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM10 ribu ringgit. Pemohon perlu membuat permohonan secara atas talian yang kemudian akan disaring sebelum proses undian dilakukan bagi menentukan permohonan berjaya atau tidak. Setiap unit PPA1M diletakkan pada harga RM150 ribu ke RM300 ribu. (pautan PPA1M)

4. Program Perumahan Rakyat

ppr sandakan

Bagi mereka yang mempunyai kadar pendapatan isi rumah di bawah RM3000, PPR adalah solusi kepada anda. Mempunyai harga jualan semurah RM30 ribu ke RM40,500 setiap unit, pemohon boleh memohon dengan melakukan permohonan melalui pautan yang kami sertakan di bawah. Setiap PPR mempunyai keluasan minima 700 kaki per segi dengan binaan 3 bilik tidur dan 2 bilik air, serta kemudahan asas komuniti seperti dewan, surau, gerai, tadika dan taman permainan lengkap di dalamnya. (pautan PPR)

5. Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia

rumah mesra rakyat 1malaysia

Skim ini banyak mensasarkan golongan penduduk kampung yang mempunyai tanah tetapi tidak mempunyai rumah. Syaratnya, tanah yang dimiliki mestilah mempunyai saiz minima 2800 kaki persegi serta pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3000 sebulan. Pemohon juga mestilah tidak mempunyai sebarang jenis kediaman atas namanya atau kediamannya sudah pun usang. Rumah pula disediakan mengikut beberapa pilihan yang disediakan pada harga RM45 ribu ke RM65 ribu dengan subsidi daripada pihak kerajaan. (pautan Rumah Mesra Rakyat)

6. Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan

projek perumahan rumawip

RUMAWIP merupakan satu program pemilikan kediaman bagi golongan berpendapatan rendah dan pertengahan, dengan syarat kelayakan pendapatan isi rumah RM15 ribu ke bawah, sebulan. Hanya dijalankan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, semua unit RUMAWIP dijual pada harga dari RM52 ribu hingga RM300 ribu maksima dengan proses undian dijalankan bagi menentukan permohonan. RUMAWIP tidak dibenarkan untuk dijual dalam tempoh 10 tahun dengan penyewaan juga tidak dibenarkan. (pautan RUMAWIP)

7. Rumah Selangorku

rumah selangorku 3ss36

Skim perumahan oleh kerajaan negeri Selangor khas untuk penduduk negeri Selangor, program ini mensasarkan mereka yang berpendapatan RM3000 ke RM10 ribu isi rumah sebulan, dengan syarat mereka wajib duduk di negeri Selangor. Rumah Selangorku tidak dibenarkan untuk jualan dalam 5 tahun pertama serta penyewaan juga dilarang. Kesemua unit rumah Selangorku dijual pada harga RM42 ribu ke RM250 ribu sahaja. (pautan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor)

8. Rumah Idaman Rakyat

rumah idaman rakyat

RIR mensasarkan golongan berpendapatan sederhana dengan harga maksima dianggarkan bawah RM350 ribu. Jika dibandingkan dengan pasaran luar, RIR mampu menawarkan kediaman berbentuk semi-detached dua tingkat pada harga RM340 ribu dan itu satu harga yang boleh dikatakan cukup berbaloi untuk cuba dimiliki. Syarat kelayakannya juga berbeza berbanding yang lain di mana kadar pendapatan isi rumah perlulah tidak melebihi RM10 ribu. Andai sendirian, pendapatan pula tidak melebihi RM7,500 sebulan. Semua unit RIR tidak dibenarkan untuk penjualan semula dalam tempoh 5 tahun pertama dan proses penyewaan juga tidak dibenarkan. (pautan Rumah Idaman Rakyat)




Hakcipta iluminasi.com (2017)