Oleh pada 14 Dec 2019 kategori

Deniz Dogan terpaksa mengharungi diskriminasi di tanah lahirnya sendiri, Turki berikutan statusnya sebagai seorang minoriti yang memegang kepercayaan Alevi, sebuah bentuk ajaran yang mirip ajaran Syiah tetapi agak berbeza pendekatannya.

Tidak tahan dengan gangguan yang diterima hasil daripada gerakan aktivisme politik yang beliau jalankan, Deniz pernah merasai dua tempoh hukuman penjara. Bila dibebaskan, hidupnya senantiasa diganggu tekanan pihak polis pula.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menyerah kalah, Deniz memohon untuk berhijrah ke negara yang digembar-gemburkan aman dan sangat mengamalkan toleransi - Jepun. Deniz langsung tidak dapat menjangka pengalaman yang bakal dilalui jauh berbeza dengan persepsi awalnya.

7 tahun di Jepun

orang turki mohon perlindungan

Keputusan mengubah tempat bermastautin malangnya bukan saja tidak mengubah nasib Deniz - malahan lebih memburukkan keadaan. Selama 7 tahun dia merana di Jepun, berdepan dengan ancaman pihak polis yang tidak segan silu menggunakan kuasa mereka ketika berdepan orang asing seperti dia. Ugutan akan dihantar pulang ke Turki menjadi perkara biasa. Ada waktu dia terpaksa bekerja secara haram, hanya untuk mempunyai pendapatan.

Setahun lebih dia ditempatkan dalam pusat tahanan pendatang berikutan statusnya yang dikatakan tidak sah. Ahli keluarganya yang sebelum itu turut sama teringin berhijrah ke Jepun mencari pilihan lain untuk melarikan diri - dengan Kanada menjadi pilihan seterusnya. Di Kanada,pengalaman yang mereka rasai jauh berbeza dengan apa yang perlu Deniz tempuh.

Bagi Deniz, adalah sangat mengejutkan tahap kebebasan yang mereka terima di Jepun jauh lebih terhad berbanding pengalaman mereka di Turki. Semua persepsi berkenaan negara matahari terbit yang sangat menerima dan terbuka, pandai melayan tetamu serta tidak lokek dengan adab - berkecai.

pelarian orang kurdish tidak diterima

Jepun mempunyai mentaliti yang jauh berbeza berbanding dengan negara lain, dalam cara mereka menerima kemasukan orang luar. Walaupun menjadi salah sebuah negara maju di dunia, dasar Jepun masih bersifat tidak toleran kepada pendatang dan khasnya pelarian perang - walaupun Jepun sendiri berdepan dengan risiko kekurangan tenaga kerja khasnya dalam profesion sebagai buruh kasar,

Dalam tempoh lebih 20 tahun dari tahun 1982 hingga 2004, jumlah pelarian perang yang diterima Jepun hanyalah seramai 313 orang. Tidak sampai 10 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan. Jauh berbeza dengan Kanad yang menerima puluhan ribu pelarian untuk menetap di dalam negara mereka, walaupun berdepan risiko akibat populasi negara mereka sendiri yang agak kecil.

Malangnya, bukan pelarian saja yang ditutup pintunya daripada masuk ke Jepun. Kumpulan pendatang dari negara luar juga menghadapi kesukaran untuk terus menetap di Jepun. Dalam masa yang sama, ramalan bahawa Jepun akan mengalami penurunan populasi mendadak dari tahun ke tahun dengan anggaran angka ketika ini yang berada pada paras 128 juta orang- akan jatuh ke 95 juta pada tahun 2050.

Jepun hanya untuk orang Jepun

jepun satu bangsa untuk satu negara

Persoalan utamanya di sini - walaupun berdepan pelbagai ancaman daripada segi penurunan tenaga kerja dan populasi; mengapa Jepun terus berdegil dalam membuka negara mereka kepada orang luar? Polisi satu negara, satu bangsa yang diamalkan masyarakat mereka.

Situasinya sangat memberi impak pada masyarakat mereka - sehinggakan Jepun tiada undang-undang khas dalam mengawal selia sebarang bentuk diskriminasi kaum seandainya berlaku.

Tradisi Jepun yang sudah berusia lebih seribu tahun terbentuk sebagai sebuah komuniti yang mempunyai hanya satu kaum atau bangsa, jadi amat sukar untuk orang Jepun mampu atau dapat menerima kewujudan bangsa lain secara rasmi dalam masyarakat mereka. Hasil daripada perkembangan ideologi ini, semua dasar kerajaan yang dibentuk di Jepun akan dimestikan melindungi cara hidup ini.

Dalam hal permohonan pelarian untuk masuk misalnya, syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan Jepun dikatakan terlalu tinggi sehinggakan ada kes permohonan berlangsung selama lebih 10 tahun tempohnya. Durasi yang panjang inilah penyebab utama kebanyakan individu berstatus pelarian putus asa dalam usaha mereka untuk menetap di Jepun, akhirnya memilih negara lain sebagai pilihan kedua.

Berbeza dengan permohonan suaka di negara lain, Jepun memerlukan seorang pemohon untuk menyertakan sekali bukti dalam bentuk dokumen yang menyebabkan seseorang itu mahu berhijrah, seperti waran tangkap atau surat arahan mahkamah sebagai bukti, Permintaan itu sudah pastilah sukar untuk dipenuhi pemohon.

Tidak cukup dengan itu, semua dokumen perlulah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun bagi memastikan tiada masalah kefahaman timbul hanya akibat perbezaan bahasa. Proses ini memerlukan masa dan kos yang besar. Walaupun selepas semua ini berjaya dipenuhi, itu bukanlah jaminan permohonan akan diterima.

Majoriti permohonan kebiasaannya akan ditolak. Lihat saja peratusan lulus yang rendah dan telah kami sebutkan di atas. Akibat daripada kadar penerimaan yang rendah, pengkritik berpendapat Jepun sebenarnya mengamalkan polisi tersebut dengan sengaja, bagi melindungi identiti masyarakat mereka. Lebih sikit yang masuk, lebih baik untuk mereka.

Negara anggota bagi Konvensyen Pelarian 1951 namun..

identiti satu negara satu bangsa jepun

Apa yang sangat mengelirukan penyelidik serta pengkaji, adalah status Jepun sebagai salah sebuah negara anggota penuh Konvensyen Pelarian 1951 di bawah PBB. Malaysia sendiri tidak mengiktiraf Konvensyen itu dan kita lebih terbuka menerima pelarian perang masuk.

Pada tahun 2013, hanya 6 permohonan diluluskan. 11 orang bagi tahun 2014 dan 27 bagi 2015. Sejumlah 10,901 permohonan diterima bagi tahun 2016. Yang diluluskan? hanya 28. Angka 28 itu pula dikatakan datang daripada permohonan bercampur tahun-tahun sebelumnya. Semuanya dikatakan kerana protokol kerajaan Jepun yang sengaja mengehadkan kemasukan pendatang atau pelarian - bagi melindungi dasar satu negara,satu bangsa mereka.

Puncanya dikatakan bermula daripada zaman pemerintahan Edo di Jepun, apabila pembangunan Jepun menjadi sangat pesat selama lebih 200 tahun selepas pemerintan Jepun ketika itu memperkenalkan dasar tutup pintu yang dimansuhkan pada tahun 1853.

Berikutan keberkesanan sistem itu serta perubahan yang berlaku selepas sistem itu dihapuskan - ramai di kalangan masyarakat Jepun percaya jalan terbaik mereka untuk terus maju ke depan, hanyalah dengan kembali mengamalkan 'dasar tutup pintu' semula. Kedatangan orang luar hanyalah pengacau kepada usaha mereka untuk mengembalikan era kegemilangan mereka.

Selain itu pengalaman buruk negara Jepun ketika mengamalkan dasar terbuka, menerima kemasukan pelarian perang Vietnam yang melakukan migrasi ke situ melalui jalan laut sewaktu era 1978-1990 banyak meninggalkan luka dalam identiti masyarakat Jepun yang ingin dilindungi,

perkahwinan campur tidak digalakkan

Pada ketika ini, apa yang paling ditakuti Jepun sekiranya mereka membuka pintu negara mereka adalah desas-desus berkenaan potensi kemasukan 100,000 pelarian dari Korea Utara yang mahu melarikan diri daripada negara mereka - berikutan hubungan nenek moyang mereka, yang dikatakan ramai berasal dari Jepun.

Selain daripada pelarian perang, Jepun juga menjadi destinasi pilihan banyak rakyat negara lain, seperti Filipina, Indonesia dan Sri Lanka yang mahu menetap terus di sana.

Walaupun polisi Jepun terhadap kemasukan pendatang luar dan pelarian layak dikatakan kurang selari dengan tuntutan dunia zaman sekarang, sesuatu yang harus dipuji adalah sumbangan Jepun kepada PBB dalam usaha menguruskan pelarian, merupakan angka ketiga tertinggi jumlah bantuan disalurkan sesebuah kerajaan.

Namun, bantuan yang besar sekalipun tidak mampu meredakan tekanan yang dihadapi kerajaan Jepun dalam aspek pendatang dan pelarian ini. Di peringkat antarabangsa, mereka berdepan tekanan untuk melonggarkan syarat kemasukan pelarian dan imigran. Dari dalam negara, orang Jepun pula mahu 'negara Jepun hanya untuk orang Jepun.'

Diluah mati emak, ditelan mati bapak. Kalau anda - polisi manakah yang anda rasakan baik untuk negara kita?


Artikel ini merupakan terjemahan dan olahan semula artikel 'One culture, one race:' Foreigners need not apply yang diterbitkan oleh The Globe and Mail.




Hakcipta iluminasi.com (2017)