Tahukah anda, kajian pakar geologi pada tahun 2017 meramalkan akiviti gempa bumi pada tahun 2018 dianggarkan mampu mengalami peningkatan dua kali ganda berbanding insiden yang telah berlaku pada 2017?
Secara statistik, semenjak tahun 1980, kejadian-kejadian bencana alam yang berlaku di seluruh dunia mengalami kenaikan yang konsisten tahun demi tahun dengan tiga kategori bencana alam terbesar, iaitu gempa bumi, banjir besar serta ribut semakin kerap melanda kawasan-kawasan terjejas.
BESARKAN TEKS A- A+
Kajian juga sudah membuktikan, di antara semua benua yang berada di muka bumi ini, kawasan Asia adalah benua yang mempunyai risiko bencana alam paling tinggi. Sekiranya kita fokuskan pengiraan risiko ini hanya kepada negara-negara di Asia Tenggara, negara manakah yang mempunyai risiko menghadapi bencana alam terbesar antara semua?
5. Indonesia
Dengan mengambil kira 5 kategori sebagai perbandingan iaitu lokasi, tahap kesediaan, risiko, tahap pendedahan dan kapasiti untuk melalui bencana oleh kajian World Risk Index, Indonesia berada pada kedudukan ke lima dalam senarai negara paling berisiko terkena bencana alam.
Indonesia diberikan penarafan risiko 10.24% oleh penyelidik. Berikutan kedudukannya yang terletak betul-betul di atas lingkaran api Asia Pasifik, Indonesia berdepan dengan letusan gunung berapi dan gempa bumi secara kerap, yang membawa sama risiko berlakunya tsunami.
4. Vietnam
Di Vietnam, kejadian banjir besar dan tanah runtuh semakin kerap berlaku sehingga mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit. Aktiviti pembalakan tidak terkawal dikatakan menyumbang kepada masalah ini.Secara purata, 430 orang rakyat Vietnam meninggal dunia setiap tahun disebabkan bencana alam. Selain banjir besar, Vietnam juga berdepan ancaman taufan dan gempa bumi, namun tidaklah sekerap apa yang dilalui Indonesia. Vietnam diletakkan mempunyai risiko setinggi 12.53% untuk menghadapi bencana alam.
3. Kemboja
Negara yang mempunyai kemampuan ekonomi kecil seperti Kemboja berdepan risiko yang sangat besar dalam menghadapi kesan bencana alam, pada negara mereka. Usaha untuk membangunkan semula kawasan terjejas akan mengambil masa lebih masa, disebabkan faktor kewangan dan juga kekurangan pembangunan infrastruktur yang lebih baik.
Kemboja berdepan dengan beberapa bentuk bencana alam berbeza, mengikut musimnya. Musim kemarau, banjir dan ribut kerap melanda negara tersebut. Musim hujan panjang akan menyebabkan banjir besar berlaku disebabkan kenaikan paras air di Sungai Mekong.
Apa yang menyedihkan, 90 peratus daripada mangsa bencana alam kebiasaannya tergolong dalam golongan pendapatan rendah. Populasi Kemboja yang berpendapatan rendah berada disekitar paras 79%. Dengan hampir 1/3 sumber ekonomi Kemboja datang daripada sumber pertanian, bencana yang berlaku pasti akan melambatkan lagi pembangunan negara tersebut. Dari segi risiko, Kemboja diletak mempunyai peratusan risiko 16.58%.
2. Brunei
Negara kecil ini berkongsi kedudukan yang serupa dengan Malaysia dan Indonesia, namun diletakkan dalam kategori risiko lebih tinggi disebabkan kedudukannya serta kelemahan daripada segi beradaptasi sekiranya berlaku perubahan pada bentuk muka bumi, disebabkan bencana alam yang melanda.
Tanah Brunei sendiri bebas daripada bencana alam seperti gempa bumi, gunung berapi dan taufan, namun Brunei kerap dilandai hujan lebat, banjir dan tanah runtuh. Walaupun ketika ini kejadian-kejadian buruk bencana alam melibatkan Brunei amat jarang sekali dilaporkan, penyelidik berpendapat sekiranya Brunei ditimpa bencana besar yang melumpuhkan sistem negara mereka - sukar untuk Brunei kembali seperti keadaan asal semula. Brunei diletakkan pada kadar risiko 17.00%.
1. Filipina
Setiap tahun, sebanyak 20 kejadian taufan akan melanda negara berkepulauan ini, dengan tempoh Jun hingga November mencatatkan waktu kejadian itu berlaku. Filipina juga terletak dalam kawasan lingkaran gunung berapi, dengan lebih 30 kali gegaran dirasakan berlaku dalam tempoh setahun.
Berdepan dengan ancaman taufan seperti yang berlaku pada bulan September tahun 2018 melalui taufan Mangkhut, penduduk Filipina turut sama berhati-hati dengan sebarang aktiviti gunung berapi yang aktif. Sebanyak 25 gunung berapi aktif direkodkan di Filipina dengan letupan terbaru berlaku di Gunung Mayon, pada tahun 2013. Gunung Mayon adalah gunung berapi paling aktif yang terletak di negara tersebut.
Negara Filipina diletakkan kadar risiko paling tinggi di antara semua negara Asia Tenggara dengan 26.7%. Di antara semua negara di seluruh dunia, negara Vanuatu diletakkan sebagai negara paling berisiko tinggi mengalami bencana alam dengan 36.28%.
Di mana pula negara kita? Negara kita diletakkan dalam kategori berisiko, bukan berisiko tinggi dengan kadar risiko diramal berada pada tahap 6.39%.
Rujukan