Oleh pada 04 Aug 2021 kategori

Setiap negara yang berjiran pasti mempunyai persaingan sesama mereka, ketika menyertai kejohanan sukan dalam bentuk serantau atau antarabangsa, seperti sukan Olimpik.

Malaysia tidak terkecuali akan bersaing bukan saja dengan negara-negara besar lain malahan dalam masa yang sama bersaing dengan jiran-jiran tetangga kita.

Walaupun gembira dapat melihat jiran kita menang pingat, kita juga ada rasa iri hati yang kecil terpaksa meraikan kejayaan atlet mereka. Begitu jugalah rakyat negara lain, sekiranya Malaysia mendapat pingat agaknya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Negara Asia Tenggara manakah yang dalam rekod mempamerkan aksi terbaik dalam sukan Olimpik sepanjang zaman? Jom kita senaraikan setiap kedudukan, berdasarkan negara yang mengganggotai gabungan ASEAN.

10. Brunei

atlet brunei berangkat ke tokyo 2020

Brunei hanya mula menyertai temasya Olimpik pada tahun 1988 di Korea Selatan. Bagaimanapun dalam penyertaan sulung itu, kontinjen mereka hadir tanpa penyertaan atlet sebaliknya menghantar pegawai memerhati.

Bermula tahun 1996, Brunei mula menghantar kontinjen atlet negara mereka dalam kumpulan kecil, setakat ini belum pernah melebihi 3 orang. Di Tokyo 2020 misalnya, Brunei hanya menghantar 2 atlet.

Berikutan angka kontinjen yang kecil, peluang untuk mereka menang juga sangat tipis. Brunei belum pernah memenangi sebarang pingat Olimpik setakat ini. 

9. Kemboja

atlet kemboja cambodia olimpik

Seperti Brunei, Kemboja juga belum mampu merasai sebarang pingat sejak mula menyertai sukan Olimpik.

Sebuah negara yang menjadikan sukan bola tampar sebagai sukan popular di kalangan rakyatnya, kami meletakkan Kemboja di tempat lebih atas berbanding Brunei hanya disebabkan Kemboja menyertai Olimpik lebih awal.

Bilangan atlet yang menyertai kontinjen Kemboja ke sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah seramai 3 orang - satu orang lebih berbanding Brunei.

8. Laos

atlet olimpik laos

Masyarakat Laos mempunyai 3 sukan yang cukup popular di kalangan rakyat mereka iaitu bola sepak, sepak takraw dan muay lao; tomoi versi Laos. 

Dalam sejarah Laos, mereka antara negara yang terawal menyertai sukan Olimpik era moden berikutan penyertaan mereka di bawah panji Perancis, sebagai koloni pada tahun 1896.

Bermula tahun 1952 sehinggalah tahun 1976, Laos tidak menyertai mana-mana kejohanan Olimpik.

Negara ini kembali menyertai Olimpik Moscow 1980 dan konsisten dalam penyertaan mereka sehingga kini. Tidak pernah memenangi sebarang pingat, kami letak Laos di kedudukan ke 8 hanya kerana mereka menghantar 4 orang atlet ke Tokyo 2020.

7. Myanmar

myanmar tidak sertai olimpik akibat konflik

Myanmar adalah negara yang sering mengalami pergolakan politik.

Mungkin ketidakstabilan yang wujud menjadi punca utama mengakibatkan atlet Myanmar belum pernah membawa pulang pingat Olimpik.

Mula bertanding sebagai Burma sebelum menggunakan nama baru negara Myanmar pada tahun 1992, pencapaian terbaik atlet Myanmar paling hampir memenangi pingat Olimpik adalah semasa Kay Thi Win, atlet angkat berat wanita mereka menduduki tempat keempat keseluruhan.

Atas sebab itu, kami memilih untuk meletakkan Myanmar dikedudukan ke 7.

Kami doakan untuk warga Myanmar terus sabar berhadapan dengan konflik politik yang sedang melanda mereka, sehingga memgakibatkan yang tak bersalah jadi mangsa.

6. Malaysia

pandelela rinong atlet olimpik malaysia

Untuk tempat ke-6, kita akhirnya tiba kepada negara yang ada memenangi pingat!

Tempat terakhir di kalangan pemenang pingat Olimpik negara Asia Tenggara tak lain tak bukan adalah negara kita sendiri - kerana kita adalah satu-satunya negara pemenang pingat yang belum pernah dapat emas.

Majoriti pingat negara kita hadir selepas Majlis Olimpik Dunia menerima sukan badminton untuk dipertandingkan pada edisi 1992, membolehkan kita mengumpul 6 perak dan 3 gangsa dari sukan itu.

Dua lagi sukan yang turut menyumbang pingat adalah terjun (1 perak, 1 gangsa) dan berbasikal (1 gangsa). Secara keseluruhan kita mengutip 12 pingat setakat ini dan masih perlu bersabar menantikan emas pertama.

5. Singapura

joseph schooling olimpik emas 2016

Seluruh Asia Tenggara dikejutkan dengan berita kemenangan perenang Singapura, Joseph Schooling yang berjaya membawa pulang pingat emas pertama republik tersebut dalam Olimpik 2016.

Kemenangan itu juga mengejutkan kerana dalam perlumbaan itu, dia memecahkan rekod legenda renang Michael Phelps dari Amerika Syarikat dengan masa 50.39 saat berbanding rekod Phelps 50.58 saat, seterusnya mencatatkan rekod Olimpik baru.

Kemenangan itu menjadikan Schooling atlet pertama menyumbang emas kepada Singapura, membolehkan Singapura memperbaiki kutipan mereka kepada 1 emas, 2 perak dan 2 gangsa.

4. Vietnam

atlet menembak vietnam emas olimpik

Vietnam mendapat pingat Olimpik pertama mereka pada tahun 2000 selepas atlet taekwondo mereka berjaya menduduki tempat kedua dalam kategori wanita 57 kg.

Penantian 16 tahun Vietnam untuk memenangi emas terlerai selepas penembak mereka Hoang Xuan Vinh (gambar atas), membawa pulang pingat emas dan juga perak melalui acara pistol udara 10 meter dan 50 meter dalam kejohanan Olimpik 2016 di Brazil.

Malangnya prestasi serupa gagal diulangi di Tokyo, selepas beliau hanya menduduki tangga ke 22 dalam pusingan kelayakan.

Vietnam sehingga kini berjaya mendapatkan 1 emas, 3 perak dan 1 gangsa daripada 18 penyertaan.

3. Filipina

hidilyn diaz olimpik emas filipina 2

Dengan kemenangan pingat emas Hidilyn Diaz dalam acara angkat berat wanita 55 kg, Filipina berjaya mendapatkan emas Olimpik pertama mereka bagi memecah kebuntuan negara itu.

Lebih unik, kemenangan Hidilyn itu sebenarnya rentetan daripada pingat perak yang telah dimenangi wanita perkasa itu 4 tahun lepas semasa di Brazil.

Kini, Hidilyn merupakan atlet Olimpik terbaik Filipina, menyumbangkan 1 emas dan 1 perak.

Filipina memenangi pingat pertama pada tahun 1928 menerusi acara renang. Sukan tinju pula merupakan sukan paling banyak menyumbang pingat untuk negara ini dengan 3 pingat perak dan 3 gangsa.

Secara keseluruhan Filipina memiliki 1 emas, 4 perak dan 7 gangsa.

2. Indonesia

atlet olimpik indonesia badminton

Kutipan pingat Indonesia sepanjang sukan Olimpik boleh dibahagikan kepada dua.

Sekiranya rekod rasmi diambil, Indonesia berjaya mengumpul sebanyak 8 emas, 14 perak dan 15 gangsa.

Tetapi Indonesia juga telah berjaya memenangi pingat Olimpik tidak rasmi melibatkan sukan-sukan yang dipertandingkan sebagai sukan demonstrasi.

Rudy Hartono misalnya memenangi emas pertama Indonesia dalam sukan demonstrasi badminton pada tahun 1972, namun sukan tersebut hanya diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1992.

Daripada rekod rasmi Olimpik, pingat pertama Indonesia dimenangi pada tahun 1988 menerusi gandingan memanah yang menyumbang perak.

Negara republik ini terus berharap kepada sukan badminton dan angkat berat yang konsisten menyumbang pingat, meletakkan Indonesia di tempat kedua senarai kedudukan negara Asia Tenggara.

1. Thailand

atlet taekwondo thailand

Thailand mengungguli senarai kedudukan ini dengan 10 emas, 8 perak dan 16 gangsa; meletakkan mereka sebagai negara paling cemerlang dalam sukan Olimpik di kalangan semua negara Asia Tenggara.

Untuk tempoh hampir 3 dekad, atlet sukan tinju Thailand mempamerkan aksi memberangsangkan menyertai temasya 1976 sehingga 2000 membawa pulang 2 emas, 1 perak dan 5 gangsa.

Emas pertama Thailand pula dimenangi ketika temasya Olimpik 1996, menerusi peninju Somluck Kamsing dalam kategori featherweight.

Walaupun sukan tinju masih kekal menyumbang pingat, kontinjen Thailand mula melihat sukan angkat berat dan taekwondo meningkatkan prestasi, menjadi penyumbang utama pingat bagi negara tersebut.

Atlet taekwondo Thailand, Panipak Wongpattanakit (gambar atas) berjaya memperbaiki pencapaian peribadi pingat gangsa semasa Olimpik 2016 di Brazil, dengan memenangi pingat emas kategori sama di Olimpik 2020.

Inilah senarai akhir kedudukan 

NEGARAEMASPERAKGANGSAJUMLAH
Thailand1081634
Indonesia8141537
Filipina14712
Vietnam1315
Singapura1225
Malaysia07512
Brunei---0
Kemboja---0
Laos---0
Myanmar---0
Majlis Olimpik Sedunia mengamalkan sistem yang mengutamakan jumlah kutipan emas bagi menentukan senarai kedudukan. 

Sehingga kini kontroversi berkaitan kaedah terbaik untuk menentukan kedudukan negara-negara yang menyertai Olimpik akan kedengaran.

Untuk senarai ini, kami meletakkan Malaysia di tangga ke 6 dan Singapura di tangga ke 5, hanya disebabkan perbezaan kutipan pingat emas. Tetapi jika diambil kira jumlah pingat, jumlah kutipan kontinjen Malaysia jauh lebih besar berbanding Singapura dan Vietnam.

Kami tinggalkan anda dengan senarai kedudukan di atas untuk anda renungi.

Adakah anda terkejut selepas menyedari kedudukan sebenar atlet negara kita, jika dibandingkan dengan pencapaian jiran-jiran tetangga kita?




Hakcipta iluminasi.com (2017)