Sejak akhir-akhir ini, ramai ahli politik, usahawan ternama, selibriti dan influencer menyeru supaya orang ramai menaman jutaan malah berbilion pokok baru bagi memperlahankan perubahan iklim yang semakin membimbangkan.
Perubahan iklim yang mendadak telah menyebabkan kemarau, ribut, gelombang panas, kenaikan paras air laut, pencairan glasier dalam kadar yang tidak menentu. Keadaan ini secara tidak langsung membahayakan semua kehidupan di Bumi.
BESARKAN TEKS A- A+
Dunia pada hari ini mempunyai populasi hampir lapan bilion orang. Jika setiap orang menanam sebatang anak pokok setiap tahun selama 20 tahun yang akan datang, ini bermaksud Bumi akan mempunyai kira-kira 160 bilion pokok baru.
Persoalannya, adakah program penanaman besar-besaran ini mampu memperlahankan perubahan iklim?
Pokok dan karbon
Karbon dioksida adalah gas utama yang menyebabkan pemanasan global. Melalui proses fotosintesis, pokok dan tumbuhan lain mampu mengubah karbon dioksida daripada atmosfera menjadi karbohidrat yang akan digunakan untuk menghasilkan batang, daun dan akar.
Jumlah karbon yang boleh disimpan oleh pokok juga berbeza-beza. Ia bergantung kepada spesies pokok, di mana ia tumbuh dan berapa usianya.
Katakanlah secara puratanya sebatang pokok matang mampu menyerap sebanyak 50 paun (22.6 kg) karbon dioksida dalam setahun. Sekiranya setiap orang di dunia menanam sebatang pokok setiap tahun maka kesemua pokok itu mampu menyerap sebanyak 400 bilion paun (181 bilion kg) karbon dioksida dalam setahun.
Jika semua orang di dunia menanamnya setiap tahun selama 20 tahun pula, maka jumlah karbon dioksida yang akan diserap adalah kira-kira 8 trilion paun (3.6 trilion kg). Ini adalah anggaran kasar jika semua pokok yang ditanam itu hidup sehingga 20 tahun.
Berbalik kepada persoalan yang sama, adakah anggaran ini mampu menyelesaikan masalah pemanasan global sekaligus memperlahankan perubahan iklim?
Karbon dioksida yang dihasilkan oleh manusia
85 peratus daripada semua karbon dioksida yang dihasilkan manusia berasal dari pembakaran bahan bakar fosil seperti arang batu, gas asli dan minyak termasuklah petrol. Selebihnya adalah dari penebangan hutan, penerokaan tanah dan perindustrian.
Pada tahun 2018, China merupakan negara paling banyak menghasilkan karbon dioksida dengan anggaran sekitar 10 bilion tan metrik diikuti oleh Amerika Syarikat dengan 5.4 bilion tan metrik.
Setiap orang di dunia menghasilkan karbon dioksida pada kadar yang berbeza. Sebagai contoh, secara puratanya seorang individu di Amerika Syarikat menghasilkan sebanyak 15.5 tan karbon dioksida setahun berbanding hanya 1.9 ton bagi seorang individu di India.
Ini bermakna, jika setiap orang di A.S menanam satu pokok setahun, ia hanya akan mengimbangi kira-kira tiga peratus sahaja daripada karbon dioksida yang dihasilkan. Kadar yang sama mampu mengimbangi 26 peratus karbon dioksida yang dihasilkan seorang individu di India.
Walaupun langkah menanam pokok baru adalah salah satu penyelesaian kepada perubahan iklim tetapi ada yang lebih penting lagi.
Masalah penebangan pokok
Dianggarkan terdapat kira-kira tiga trilion pokok di atas muka Bumi pada hari ini. Jumlah itu dipercayai separuh berbanding 12,000 tahun yang lalu ketika permulaan ketamadunan manusia.
Manusia menebang sekitar 15 bilion pokok setiap tahun. Walaupun kebanyakan pokok yang ditebang itu adalah pokok yang terdapat di hutan tropika tetapi masalah kemusnahan hutan berlaku di seluruh dunia.
Selain menanam pokok baru, mengekalkan pokok yang sedia ada juga amat penting. Pokok matang yang sedia ada bukan sahaja mampu menyerap karbon dioksida di udara dan tanah tetapi menyediakan habitat kepada haiwan.
Selain itu, ia juga boleh dijadikan bahan bakar dan menghasilkan makanan kepada manusia. Di bandar pula, pokok boleh menjadi tempat berteduh dan menghidupkan persekitaran.
Pokok juga tidak boleh ditanam secara sebarangan di tempat yang ia tidak pernah tumbuh sebelumnya seperti padang rumput atau savana. Ekosistem sedia ada telah menyediakan habitat penting untuk haiwan dan tumbuhannya tersendiri.
Mengurangkan penghasilan karbon
Selain menanam pokok baru dan memelihara pokok sedia ada, terdapat cara lain untuk memperlahankan perubahan iklim. Manusia perlu mengurangkan tahap penghasilan karbon dioksida dan gas rumah hijau lain dengan beralih kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin.
Manusia juga perlu mengurangkan jumlah penggunaan kenderaan seperti kereta atau pesawat komersial. Selain itu, mengurangkan konsumsi daging juga membantu kerana daging mempunyai jejak karbon (carbon footprint) yang jauh lebih besar per kalori berbanding bijirin dan sayur-sayuran.
Maka, penting bagi semua orang sama ada ahli perniagaan, ahli politik, dewasa mahupun kanak-kanak untuk melakukan apa yang mereka mampu bagi mengurangkan pelepasan bahan bakar fosil. Banyak cara yang kita boleh lakukan untuk membantu planet ini.
Anda boleh memulakan usaha ini dengan memilih gaya hidup yang baru seperti berjalan, berbasikal atau menaiki pengangkutan awam daripada memandu kenderaan sendiri.
Menanam pokok juga mudah dilakukan di kediaman sendiri dan boleh dijadikan aktiviti bersama keluarga. Ajar anak anda untuk menanam pokok sejak mereka kecil sambil menerapkan kepentingan pokok terhadap manusia dan alam sekitar.
Ada kalanya perubahan itu perlahan tetapi jika dilakukan bersama pasti akan berjaya.