Pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas Bank Negara ekoran penurunan kadar kelulusan pinjaman perumahan yang berlaku di negara kita. Desakan masyarakat supaya pinjaman dipermudahkan tidak diendahkan, kerana Bank Negara percaya industri perumahan di negara kita yang sepatutnya menurunkan kos dan mempercepatkan bekalan.
Diakui kos perumahan di negara kita memang menjadi isu dan agenda utama masyarakat Malaysia. Dengan harga rumah setinggi 4.4 kali median pendapatan tahunan purata orang ramai, kos untuk mempunyai rumah cukup menakutkan. Buat pengetahuan anda, median pendapatan negara kita adalah RM5,228 menjadikan harga rumah mampu milik di negara kita pada sekitar RM276,000 sekarang.
BESARKAN TEKS A- A+
Menurut laporan Institut Kajian Khazanah, harga rumah mampu milik yang baik adalah pada tahap 3 kali gaji median negara atau sekirar RM188,000. Walaupun begitu, jika dibandingkan dengan negara luar, nilainya masih lagi rendah dengan Hong Kong mencapai 19 kali ganda median pendapatan atau Beijing 14.5 kali ganda median.
Hanya 20 peratus rumah yang dilancarkan pada suku pertama tahun ini dijual pada harga RM250,000 ke bawah, menurun daripada kadar 33 peratus yang direkodkan pada tahun 2010 hingga 2014. Majoriti rumah di negara kita dijual pada harga RM250,000 ke RM500,000.
Menurut Gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim, semua ini adalah berpunca daripada masalah pendapatan yang tidak mencukupi dan harga rumah yang terlalu mahal, bukannya daripada masalah pinjaman tidak diluluskan kerana fasiliti pinjaman telah pun disediakan lebih daripada mencukupi.
Dilaporkan, hanya separuh daripada jumlah penduduk Kuala Lumpur memiliki rumah sementara statistik jumlah pemilikan rumah nasional adalah pada kadar 72.5 peratus. Perancangan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan taraf hidup orang ramai diharapkan membantu melalui pembinaan lebih banyak perumahan mampu milik, pelepasan cukai bagi pemaju perumahan swasta dan subsidi kepada bakal pembeli rumah mampu milik.
Pihak bank memang mengakui setakat ini mengamalkan mengambil sikap berhati-hati dalam memberikan pinjaman, kerana harga rumah yang dijual berada di luar kemampuan sebenar pembeli. Tuduhan pemaju perumahan ke atas pihak bank sebenarnya berpunca daripada kelemahan pemaju perumahan menyediakan pakej perumahan yang seiring kemampuan dan kehendak dengan masyarakat, ujar Bank Negara.
Menurut setiausaha agung Persatuan Pengguna Malaysia, Paul Selvaraj, pemaju sepatutnya menyediakan rumah yang mampu dimiliki, bukan membina rumah berharga mahal dan mengadu bank tidak meluluskan pinjaman. Punca utama orang ramai menghadapi masalah mendapatkan pinjaman adalah kerana harga rumah di pasaran melampau serta melebihi kemampuan kewangan seseorang.
Isu ini dijangkakan akan menjadi lebih besar. Setakat ini, negara kita kekurangan 960 ribu unit rumah mampu milik yang mencukupi dan jumlah ini dijangka mencecah 1 juta unit pada tahun 2020. Jika isu ini tidak ditangani dengan segera, sudah pastilah ia akan menjadi satu masalah besar pada masyarakat kita kemudian hari.
Apa yang diminta adalah kerjasama daripada pihak pemaju perumahan untuk membina perumahan-perumahan lebih murah yang mampu dibeli, bukannya terus-menerus membina rumah yang berada di luar kemampuan orang ramai.
Terjemahan artikel
Here's why you can't afford a house, Bank Negara tells everyone