Jumlah hujan, salji atau mendakan yang terjadi di sesuatu tempat sepanjang tahun bergantung kepada lokasi dan kedudukan tempat itu sama ada di gurun, hutan hujan ataupun di antara kedua-duanya.
Seringkali presipitasi bergerak di permukaan bumi dan menuju ke lautan namun adakalanya ia berada di tasik untuk beberapa ketika. Tasik-tasik di lokasi yang lembap adalah bersifat kekal manakala tasik di kawasan kering adalah kurang stabil dan lebih sensitif terhadap perubahan dari musim ke musim serta aktiviti penggunaan air oleh manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut senarai tasik yang semakin mengering dan tidak mustahil boleh lenyap dari muka bumi:
1. Tasik Poopó, Bolivia
Tasik yang terletak di barat Bolivia ini air tanah dangkal pada ketinggian 12,090 kaki di atas paras laut di Gunung Altiplano. Ia merupakan tasik kedua terbesar di negara itu dengan keluasan 2,530km persegi dengan kedalaman cuma 8 hingga 10 kaki.
Pada Disember 2015, tasik itu telah kering sepenuhnya berpunca daripada gabungan kesan kemarau teruk dan mendapan yang terbina akibat industri perlombongan tempatan.
Sejak tahun 1990-an, proses pemanasan global telah mengakibatkan suhu cuaca di kawasan itu meningkat dan penyejatan tasik itu berlaku 3 kali ganda lebih teruk. Ditambah pula dengan kekurangan hujan untuk menggantikan air, ia mengakibatkan kesan buruk kepada flora, fauna serta masyarakat yang bergantung kepada tasik itu. (sumber)
2. Tasik Eyre, Australia Selatan
Tasik Eyre juga dikenali sebagai Kati Thanda, merupakan sebuah tasik garam yang besar di Australia Selatan dengan keluasan 11,088 km persegi. Ia terletak di hujung barat daya lembangan Great Artesian, sebuah lembangan tertutup yang merangkumi kawasan seluas 1.14 juta km persegi.
Tasik ini mencatatkan jumlah terendahnya pada 15 meter dan merangkumi 2 bahagian iaitu Tasik Eyre Utara dan Tasik Eyre Selatan. Kedua-dua bahagian tasik ini dipertemukan dengan terusan Goyder yang agak sempit.
Tasik Eyre ini biasanya mempunyai air yang sedikit sahaja dan hanya dipenuhi air sepenuhnya sebanyak 2 atau 3 kali dalam satu abad (tahun 1950, 1974 dan 1984). Ia mengambil masa sehingga 2 tahun untuk tasik ini kering sepenuhnya semula.
Kawasan tasik ini pula menerima hujan yang sangat sedikit iaitu kurang dari 5 inci hujan setiap tahun. Tasik ini biasanya dipenuhi oleh air lembangan benua itu namun penyejatan yang tinggi di kawasan itu membuatkan sungai di lembangan mengering sebelum sampai ke Tasik Eyre. (sumber)
3. Laut Aral
Pernah menjadi takungan air ke-4 terbesar di dunia, tasik air masin ini juga dikenali sebagai Laut Orol, Aral Tengizi atau Orol Dengizi. Ia mempunyai keluasan sebesar 68,000 km persegi.
Masalah yang menimpa tasik di mana ia semakin mengecil menjadi tumpuan dan kebimbangan para saintis. Perubahan ketara ini adalah disebabkan oleh projek pengalihan saliran yang dijalankan oleh Persatuan Soviet pada kurun ke-20 dan berterusan sehingga kini.
Oleh kerana kawasannya mengecil dengan pantas, ia telah mengakibatkan pelbagai masalah alam sekitar yang lain di daerah itu. Pada tahun 1980-an, tasik ini telah kehilangan hampir separuh jumlah airnya.
Ini menyebabkan airnya tidak sesuai lagi untuk diminum dan banyak spesies ikan yang hidup di dalamnya pupus sekali gus mengakibatkan industri perikanan dan nelayan terhenti sama sekali. (sumber)
4. Tasik Mead, Amerika Syarikat
Salah satu tasik buatan manusia yang terbesar di dunia ialah Tasik Mead di kawasan simpanan Empangan Hoover, 40km dari sempadan Arizona-Nevada. Terbentuk oleh empangan Sungai Colorado, keluasan Tasik Mead ini adalah sepanjang 185km dan selebar 16km.
Tasik ini diberi nama sempena Elwood Mead, Pesuruhjaya Biro Pemuliharaan (1924-1936). Tasik ini tidak pernah mencapai tahap kapasiti penuh sejak tahun 1983 akibat gabungan kemarau dan permintaan penggunaan air yang tinggi.
Pada Ogos 2017, Tasik Mead ini hanya tinggal 40% simpanan air daripada kawasan asalnya iaitu 10 juta kaki persegi. Ditambah pula dengan beberapa tahun kemarau yang melanda barat daya Amerika pada kurun ke-21, airnya telah menurun sebanyak 120 kaki di antara tahun 2000 - 2015. (sumber)
5. Tasik Chad, Afrika Timur
Tasik Chad merupakan tasik air tawar di kawasan Sahelian di Afrika Timur yang menghubungkan negara Chad, Cameroon, Nigeria dan Niger. Ia terletak di kawasan lembangan yang pada suatu masa dahulu mempunyai lautan purba yang luas.
Suatu masa dahulu tasik ini merupakan tasik terbesar di Afrika. Apabila permukaan air tasik itu mencapai ketinggian 280m, ia mempunyai keluasan 17,500km persegi. Namun, pada awal abad ke-21, kawasan itu hanya tinggal sekitar 1,500km persegi.
Biasanya Tasik Chad akan mencapai tahap air maksimum pada penghujung Oktober atau awal November, sebelum menyusut semula kepada separuh isi padunya pada hujung April atau awal Mei. Kandungan air tasik ini biasanya dipengaruhi oleh penyejatan dan penyerapan.
Air yang memenuhi tasik ini datang dari sistem sungai Chari-Logone yang merangkumi empat perlima dari kemasukan air. Selebihnya disumbangkan melalui Sungai Ebeji dan Yedseram. Pada abad ke-20, kemarau teruk telah mengakibatkan rekahan besar yang menyebabkan tasik ini terbahagi kepada 2 bahagian. (sumber)
6. Tasik Urmia, Iran
Tasik Urmia atau Daryācheh-ye Orūmīyeh di Iran ini terletak di barat laut penghujung negara itu. Ia merupakan tasik terbesar di Timur tengah dan merangkumi kawasan seluas 6,000 km persegi. Tasik ini berada di bawah tekanan rendah pusat wilayah Azerbaijan pada ketinggian 1,275 meter.
Lembangan ini dikelilingi kawasan gunung-ganang di bahagian barat dan utara serta, dataran di bahagian selatan serta dataran dan kon volkano di bahagian timur. Sekitar tahun 1970-an, tasik ini mempunyai isi padu tertinggi dengan panjang 140km, 50km lebar dan kedalaman 16m.
Disebabkan air di sini tiada jalan keluar, ia adalah sangat masin. Kemasinan air Tasik Urmia adalah satu perempat daripada Laut Mati. Kandungan garamnya adalah antara 8 hingga 11 peratus pada musim bunga dan 26 hingga 28 peratus pada musim luruh. Garam utama yang terkandung adalah klorin, sodium dan sulfat.
Sejak tahun 1967, ia telah dilindungi sebagai wilayah tanah basah dan pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan Iran untuk meningkatkan hidupan liar di sini. Walau bagaimanapun, permukaan Tasik Urmia semakin berkurangan sehingga 80% dalam masa 30 tahun. Kini, tasik itu hanya tinggi sekitar 600km persegi sahaja. (sumber)
7. Laut Mati
Laut Mati merupakan tasik garam yang terletak antara Israel dan Jordan. Ia berada pada aras ketinggian yang paling rendah di permukaan bumi. Selama beberapa dekad pada pertengahan abad ke-20, nilai standard bagi permukaan tasik adalah pada 400m di bawah aras laut.
Namun, sekitar awal 60-an, kerajaan Israel dan Jordan mula melencongkan arus Sungai Jordan dan meningkatkan penggunaan air tasik untuk tujuan komersial. Lantaran itu, paras air Laut Mati semakin menyusut sehingga jatuh menjadi sekitar 430 di bawah aras laut pada tahun 2010.
Penyusutan ini menyebabkan ramai pihak mula menjalankan penyelidikan dan mengambil langkah konservasi menggunakan air dari Sungai Jordan. Salah satu projek yang telahpun mendapat kelulusan kedua-dua kerajaan Israel dan Jordan pada tahun 2015 melibatkan pembinaan terusan dari Laut Merah serta loji hidroelektrik di sepanjang terusan untuk menghantar air garam ke tasik.
Projek itu mendapat tentangan dan dipandang skeptik oleh kumpulan pencinta alam serta banyak pihak yang ragu-ragu dengan kesan buruk apabila mencampurkan dua sumber air yang berbeza. (sumber)
Tidak dinafikan, pemanasan global menjadi salah satu punca utama penyusutan tasik-tasik ini. Sebelum tasik-tasik ini terus lenyap dari peta dunia, marilah kita bersama-sama memainkan peranan untuk menyelamatkan bumi daripada perubahan iklim yang lebih tenat.