Mendapat gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, aktor Datuk Farid Kamil menjadi mangsa pertikaian netizen yang menganggap dia belum layak menerima pangkat itu.

Menyedari lambakan komen negatif diutarakan orang ramai di media sosial, Farid Kamil Zahari, 36, yang dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) menganggap, orang yang mengecamnya tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai adat-adat Kesultanan Melayu Pahang.

"Siapa netizen itu (yang mengecam)? Yang memberikan penganugerahan itu adalah atas titah Sultan Pahang.

"Saya berharap mereka (netizen) lebih baik diam," katanya memetik portal BH Online.

Farid ditemui pihak media selepas berlangsungnya Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, semalam.

Selain Farid, aktor popular Singapura, Aaron Aziz juga turut menerima DIMP.

Mereka berdua di kalangan 167 penerima darjah dan kebesaran Pahang yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

gelaran datuk farid kamil dipertikai ini penjelasannya 2

Aaron atau nama penuhnya, Aaron Mustapha Aziz, 41, akur dengan titah Tengku Abdullah sebelum ini, yang ingin melihat usaha mereka yang mendapat kurniaan dari Pahang itu untuk sama-sama melibatkan diri membantu rakyat negeri yang menghadapi musibah seperti banjir.

Aaron berkata, darjah kebesaran yang diterimanya menguatkan lagi tekad untuk memberi sumbangan terhadap aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

"Sebelum ini pun saya memang aktif dan selalu turun padang melakukan aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara dan selepas ini akan lebih banyak aktiviti seumpama itu akan saya sertai.

"Ini adalah penghargaan terbesar bagi saya dan pastinya tanggungjawab juga lebih berat, walaupun ada yang mempersoalkan, saya hanya baca (komen) netizen dan mampu tersenyum sahaja," katanya.

Kredit foto: Instagram Farid Kamil

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)