Kredit foto: Mstar

Aktor dan sutradara Datuk Farid Kamil mendedahkan identiti sebenar dua lelaki yang dipercayai mencemarkan minumannya dengan dadah.

Bintang Tombiruo itu turut berkongsi foto kedua-dua individu yang diperkatakannya.

"Saya menyebut dua nama dalam laporan polis tetapi saya kecewa apabila dua individu lain yang dipanggil bagi membantu siasatan polis," katanya.

Farid membuat kenyataan di sidang media khas yang berlangsung di The Loft Event Space, Shah Alam, semalam.

Dalam pada itu, Farid memaklumkan dua selebriti yang dipanggil untuk memberi keterangan dan disiasat pihak polis sebelum ini adalah orang yang berlainan.

Dua individu sebenar yang dimaksudkannya itu memperkenalkan diri mereka sebagai kerabat diraja Kedah dan Johor.

"Secara peribadinya, saya hanya kenal mereka dalam industri tapi tak pernah berjumpa. Tiba-tiba mereka ajak berjumpa dengan alasan mahu bincang urusan penting.

"Selepas berjumpa mereka, saya terus tak sedar diri," katanya.

Sementara itu, Farid menuntut keadilan kerana mendakwa dipukul 11 anggota polis berpakaian biasa sewaktu malam ketiga penahanan. 

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 pagi dalam keadaan lampu ditutup.

Susulan itu, beliau mendapat kecederaan di dahi yang membawa kepada kesan parut.

"Saya dipakaikan dengan baju berwarna putih dan tiba-tiba lampu ditutup. Ketika dipakaikan baju putih itu saya cuba meronta. Tiba-tiba saya berasa cairan mengalir di wajah saya.

"Apabila lampu dibuka semula dan cuba buka pakaian berkenaan, saya dapati banyak kesan darah pada baju itu .

"Sedangkan sebelum itu saya hanya bertanyakan tentang arah kiblat. Banyak keraguan tentang arah kiblat yang sebenar," katanya.

Selain itu, Farid berkata, meskipun sudah membuat laporan terhadap perkara itu tetapi maklum balas yang diterimanya daripada pihak polis mengecewakan.

Terdahulu, Farid didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam, di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 16 Januari lalu.

Begitupun, beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis THC iaitu dalam kumpulan ganja yang dibacakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada 25 Januari lalu.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)