Kredit foto: Instagram Hisyam Hamid

Aktor Hisyam Hamid merasa bangga dengan pencapaian rakan-rakan pelakon dari negara kelahirannya, Singapura iaitu Datuk Aaron Aziz dan Datuk Adi Putra yang dikurniakan darjah kebesaran sebelum ini.

Hisyam, 33, menganggap kedua-dua aktor itu layak menerima gelaran berkenaan berdasarkan jasa mereka dalam bidang seni dan kerja amal yang dilakukan.

"Kalau tanya saya, mereka memang layak menerimanya.

"Bukan sahaja atas pencapaian mereka dalam bidang seni tetapi juga kegiatan amal yang mereka lakukan," katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Hisyam meminta netizen berhenti mempertikaikan gelaran yang diterima mereka jika tidak tahu pokok pangkal hal sebenar. 

"Orang luar mungkin tidak nampak atau tahu mengenai kerja amal itu, jadi tak perlu hendak mempertikaikannya," katanya.

Sementara itu, aktor ini yakin pembabitan mereka dalam bidang seni bukanlah kerana mengejar penghargaan tersebut.

Malah tidak terlintas di fikirannya untuk meraih gelaran sama kerana berpendapat perjalanannya yang masih jauh.

"Saya pula belum terlintas untuk terfikir mendapat gelaran tersebut. Perjalanan saya masih jauh.

"Bagi saya gelaran Datuk itu hanya bonus.

"Itu rezeki mereka dan saya sebagai kawan turut berbangga dan akan terus menyokong perjuangan teman industri," katanya lagi.

Mengenai perkembangan terkini, Hisyam membintangi supertelemovie Do[s]a yang antara lain membariskan pelakon Datuk M.Nasir, Asharaf Sinclair, Remy Ishak dan Shenty Feliziana.

Bersiaran bermula 14 Februari ini di saluran Astro First.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)