Kredit foto: Instagram @aishahjmm & Instagram @mr.firmansiagian
Sebelum ini, bekas peserta Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Firman turut membuat tuntutan terhadap Datuk Seri Vida kerana meragui ketulenan subang berlian bernilai RM30,000 dimenanginya.
Namun Vida menegaskan bahawa subang berlian pemberiannya itu adalah berlian gred dan bukan berlian asli seperti dipilih Aishah.
Usahawan kosmetik itu juga menasihati penyanyi Indonesia terbabit agar tidak terpengaruh dengan tindakan Aishah, malah meminta agar pemeriksaan di makmal dilakukan untuk keputusan lebih terperinci.
Terkini, penyanyi Aishah tampil kepada portal Harian Metro, memberi maklum balas berhubung tindakan rakan seperjuangannya itu.
Ini kata Aishah:
“Alhamdulillah saya bangga dia berani menegakkan hak dia. Sudah semestinya kalau apa yang Firman dapat sama barang seperti yang saya dapat, apa salahnya kalau dia menuntut hak dia".
Dalam pada itu, Aishah enggan mempersoalkan kenapa baru sekarang ada finalis lain yang berani membuat tuntutan.
Kredit foto: Instagram @aishahjmm
"Ketika di GV4 dulu, mereka panggil saya Kak Long. Tidak apa, biar Kak Long buka jalan dulu supaya adik dan teman artis sedar yang kita semua ada hak dan undang-undang pun boleh melindungi hak kita.
“Biarlah saya ‘luka’ dihentam untuk bawa perkara ini ke muka pengadilan, asal saja pada masa akan datang orang takkan berani dan senang-senang janjikan bulan dan bintang pada anak seni tapi akhirnya?
“Kalau yang lain berasakan mereka juga tertipu, maka silakanlah sebab kes sebelum ini sudah terbukti. Semoga kebenaran selalu ditegakkan," katanya.
Dalam masa sama, Aishah akui enggan memaksa finalis GV4 lain untuk tampil bertindak sepertinya.
“Saya tidak boleh nak cakap bagi pihak mereka. Lebih baik tanya mereka sendiri. Dalam perjuangan macam ini, tak ada paksaan.
“Saya hanya boleh buat apa yang dalam bidang kuasa saya saja. Tapi, macam dikatakan, saya sudah buka jalan untuk mereka. Jadi terpulanglah kepada diri masing-masing untuk buat keputusan apa langkah mereka seterusnya," katanya.
Dalam pada itu, penyanyi Janji Manismu itu mengesahkan sudah menerima barangan kemas bernilai RM80,000, kelmarin melalui peguamnya.
Sumber berita: Harian Metro