Oleh pada 02 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Aishah

"Itu soalan cepu emas, saya pun tak tahu jawapan itu, kita tengok dulu."

Demikian jawab penyanyi lagenda Aishah apabila diajukan pertanyaan adakah dia akan bergelar calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Aishah atau nama lengkapnya, Wan Aishah Wan Ariffin, mendedahkan pada awalnya dia tidak menunjukkan minat untuk menyertai bidang politik.  

"Saya sebenarnya tidak pernah sejak bergelar sebagai aktivis untuk menjadi ahli politik.

"Perumpamaannya adalah seperti ini...ke mana-mana sahaja saya pergi semua orang minta saya ke hadapan, walaupun saya lebih suka duduk dibelakang, dan begitulah... jadi, bagi saya sokong apa yang dipandang dan lihat sendiri maka tak semestinya jadi ahli politik," katanya ketika temubual khas Facebook Secara Langsung bersama Sinar Harian semalam.

Juara Gegar Vaganza musim keempat ini berkata, beliau berhadapan dengan cabaran besar sewaktu menceburi dunia politik dahulu. 

Malah beliau hampir kehilangan punca rezeki dalam dunia hiburan kerana sudah tiada pihak yang sudi mengundangnya menyanyi.

"Misalnya selepas penyertaan saya ke dalam Pas, jemputan untuk menyanyi memang tak datang selepas itu.

"Memang saya tak nampak secara fizikal, tapi undangan tak ada," katanya.

Begitupun, pelantun lagu Cinta Beralih Arah ini berkata, situasi itu mula berubah selepas menjuarai rancangan realiti GV4.

"Saya tak pernah kata saya keluar politik... kini saya sangat gembira apabila artis macam saya sebagai aktivis politik diberi peluang masih berada dalam kelompok seni dapat keluar TV," katanya.

Dalam pada itu, Aishah mahu terus diberi peluang dalam industri seni kerana bakat yang dimilikinya. 

"Itu adalah perjuangan saya, bagi saya kita boleh berkarier tanpa ideologi, saya ada bakat jadi perlu diberi ruang untuk berkarya," katanya lagi.

Sumber berita: Sinar Harian 




Hakcipta iluminasi.com (2017)