Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza
Meskipun beberapa kali ditawarkan berlakon selepas penyertaan di Indonesian Idol musim kedua sekitar 12 tahun lepas, finalis akhir musim keempat Gegar Vaganza (GV4), Firman Siagian akui masih belum bersedia.
Firman yang mencipta nama menerusi lagu Kehilangan memberitahu, sehingga kini dia masih belum berminat untuk terjun ke bidang lakonan, kecuali ditawarkan watak gangster.
"Saya seorang penyanyi, selagi cabaran itu datang dalam bidang sama saya akan sahut tetapi jangan minta saya berlakon. Saya tak mahu nampak bodoh!
"Memang ada banyak tawaran berlakon selepas Indonesian Idol 2 sehingga kini namun itu bukan kerjaya saya.
"Melainkan kalau mahu tawarkan saya watak gangster, saya mungkin akan terima sebab tak perlu belajar. Itulah saya secara semulajadinya," selorohnya.
Dalam pada itu, Firman berkata, dia ingin mempelbagaikan genre nyanyiannya selain rock & roll, jazz dan blues yang pernah dicuba sebelum ini.
Bagaimanapun, dia berharap diberikan sedikit ruang masa untuk mempelajarinya.
Kredit foto: Instagram Firman
"Selama saya bersama GV4 saya belajar banyak perkara dan mencuba pelbagai genre muzik.
"Rap, keroncong dan dangdut, semuanya saya suka namun tidak mudah untuk menyanyikan lagu yang keluar daripada genre muzik saya.
"Seboleh-bolehnya berikan saya waktu, saya akan mencuba.
"Joe Flizzow pun tidak menjadi penyanyi rap dalam masa tiga hari. Jadi, saya terbuka untuk mencuba genre lain selepas ini," katanya.
Firman mendapat perhatian menerusi persembahan lagu rap, Tepi Sikit (Sleeq) bersama Tia Jinbara di pusingan battle konsert akhir GV4, Ahad lalu.
Beliau meraih kedudukan kelima dalam rancangan realiti itu yang turut membariskan Aishah, Liza Hanim, Lan Solo, Hazami dan Tia Jinbara sebagai finalis akhir.
Sumber berita: Astro Gempak