Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Penyanyi Aishah mendedahkan dia belum pandai menggunakan ‘ear monitor’ ketika menyanyi di pentas.

Malah persembahan sulungnya di konsert Gegar Vaganza 4 baru-baru ini juga terganggu dek kerana peralatan itu.

“Untuk konsert pertama memang saya berasa agak gugup, maklumlah sudah lama tidak menyanyi di pentas berskala besar seperti ini.

“Saya kurang yakin ketika membuat persembahan kerana tak biasa menggunakan ‘ear monitor’. Ketika sesi latihan, saya cuba beberapa kali untuk membiasakan diri.

“Sama ada pakai disebelah atau pun kedua-dua belah telinga membuatkan saya rasa sedikit kekok. Saya akui masih belum pandai nak seimbangkan ‘volume’ suara dan juga muzik yang saya dengar menerusi alat tersebut.

“Muzik kuat dan saya rasa suara kedengaran sangat jauh tetapi mungkin disebabkan dah biasa dengan lagu ini, saya menyanyi ikut naluri sahaja," katanya menurut laporan portal Astro Gempak.

Aishah membuat kenyataan tersebut di konsert pertama GV4 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada Ahad lalu.

Sementara itu, penyanyi berusia 52 tahun ini berkata, dia tetap meneruskan persembahan sehingga ke penghujung berbekalkan pengalaman yang dimiliki.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Pengalaman banyak mengajar saya dan persembahan perlu diteruskan walaupun kita menghadapi masalah,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin ini akui tidak berpuas hati dengan kualiti persembahan lagu hitsnya, Janji Manismu.

“Ini merupakan pertama kali dalam hidup saya menyanyi menggunakan alat itu. Zaman-zaman saya dahulu peralatan sebegini belum ada lagi.

“Memang kurang puas hati dengan persembahan sebab belum pandai nak mengawal alat tersebut tetapi selepas ini saya akan lakukan yang terbaik.

“Biasalah untuk minggu pertama masih banyak perkara yang kita belum biasa, jadi sekarang bila sudah dapat rentak bolehlah saya tahu yang mana harus diperbetulkan,” beritahunya.

Untuk info, In Ear Monitor (IEM) adalah peralatan yang memberi kemudahan kepada penyanyi untuk mendengar muzik dan vokal mereka secara jelas sewaktu persembahan muzik 'live'.

Pada konsert pertama GV4 menyaksikan Aishah mengenepikan 11 penyanyi lain dengan pungutan markah tertinggi sebanyak 96%.

Konsert GV4 ke udara secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak 




Hakcipta iluminasi.com (2017)