Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza
Penyanyi Aishah menafikan dakwaan kononnya tiada pihak yang sudi menaja pakaian buatnya untuk beraksi di pentas Gegar Vaganza musim keempat (GV4).
Dalam masa yang sama, Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin berkata, dia juga tidak gemar membawa kumpulan pengikut yang ramai untuk program itu seperti yang dilakukan rata-rata peserta lain.
"Macam jadi viral pula cerita baju saya untuk GV4 ni. Tidak benar orang kata tiada siapa nak taja baju saya dan saya juga tidak pernah bercerita tentang itu.
"Saya juga tidak suka ramai orang mengiring, cukuplah sekadar suami," ujarnya,
Kenyataan itu dibuat menerusi laman sosial Facebook pada Isnin.
Terdahulu, penampilan gaun berwarna merah dikenakannya sewaktu konsert kedua GV4 lalu menerima kritikan banyak pihak kerana dikatakan tidak setaraf dengan status beliau yang sudah bergelar penyanyi lagenda.
Sementara itu, Aishah turut mendedahkan dia hanya menggunakan khidmat jurusolek yang disediakan oleh pihak Astro.
Jelas pelantun lagu Janji Manismu ini, hal sedemikian sememangnya sudah berlaku sejak awal pembabitannya dalam industri.
"Saya rimas orang keliling ramai-ramai dan sememangnya dari dulu pun saya macam tu," beritahunya.
Pun begitu, penyanyi berusia 52 tahun ini memberitahu dia masih memerlukan tajaan aksesori untuk konsert minggu hadapan.
Sumber berita: Mstar