Oleh pada 12 Oct 2017 kategori

Kredit foto: ibnuhasyim.com & Instagram Gegar Vaganza

Peserta Gegar Vaganza 4 (GV4), Aishah berharap pihak luar tidak mengaitkan penglibatannya dalam pertandingan nyanyian itu dengan unsur luar yang tidak berkaitan seperti politik.

Menurut Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, muzik adalah sesuatu yang bersifat universal, maka sebarang pengaruh dan perbezaan sewajarnya diketepikan.

“Saya ingin memberi fokus kepada GV4 dan saya harap semua pihak lebih terbuka dan tidak mengaitkan apa-apa.

“Muzik itu kan universal, jadi apa sahaja fahaman, perbezaan atau benda-benda lain tu kita letak tepi dan tidak perlu dicampur adukkan,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Astro Gempak.

Terdahulu, penyertaan Aishah dalam GV4 menimbulkan pertikaian oleh banyak pihak kerana dirinya yang sudah dianggap sebagai lagenda dalam dunia hiburan.

Namun Aishah memberitahu dia telahpun berfikir sedalam-dalamnya sebelum nekad memasuki program itu.

Dia juga tidak ambil peduli dengan komen dan kritikan kerana tidak mahu ianya menjadi penghalang untuk kembali mewarnai dunia seni.

“Saya sudah berfikir masak-masak sebelum terima tawaran GV4. Sampaikan orang-orang disekeliling saya menasihatkan supaya tidak membaca komen di sosial media.

“Lagipun bagi saya seramai mana orang yang suka kita, seramai itu jugalah yang tidak sukakan kita. Jadi, semangat saya tidak akan luntur kerana perkara-perkara remeh begitu,” tegasnya.

Tambah Aishah, dia juga terbuka hati menerima tawaran berkenaan kerana ingin kembali menjayakan persembahan berskala besar.

Malah penyanyi berusia 52 tahun itu mahu mencabar diri dengan menyanyikan lagu-lagu daripada penyanyi lain.

“Saya tidak pernah berhenti menyanyi cuma sudah berapa lama tidak terlibat dengan pentas nyanyian berskala besar.

“Jadi apabila tawaran datang, saya tidak menolak dan terus bersetuju kerana bagi saya selain memberikan platform yang baik, GV4 juga pentas yang bagus untuk kita cabar diri menyanyikan lagu orang lain.

“Berpuluh tahun saya nyanyi lagu sendiri, kali ini saya perlu menyanyikan lagu orang lain. Itulah cabarannya dan saya akan buat sehabis baik,” katanya lagi.

Menerusi GV4, Aishah bakal disaingi 11 penyanyi lain iaitu Liza Hanim, Elyana, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Lan Kristal, Tia Jinbara, Firman Siagian, Hazami dan Ferhad.

GV4 bersiaran mulai 29 Oktober ini, setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)