Oleh pada 07 Jul 2019 kategori

Kredit foto: Instagram @aishahjmm & Instagram @datoserivida

      

Penyanyi Aishah menerima permohonan maaf dilakukan Datuk Seri Vida (DSV) di kediamannya di Ipoh, Perak, semalam.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin menegaskan, tindakan usahawan kosmetik itu penting apabila menyentuh aspek integriti.

Ia bagaimanapun hanyalah satu daripada tiga syarat yang dipersetujui mereka ketika proses mediasi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Penyanyi Janji Manismu itu mengingatkan tentang tarikh akhir pembayaran kos guaman iaitu pada hari ini, 7 Julai.

      

selepas vida buat permohonan maaf ini pula reaksi aishah 2

 Kredit foto: Instagram @aishahjmm

          

Kata Aishah sebagaimana dipetik daripada laporan Harian Metro, “Alhamdulillah, saya okey dengan permohonan maaf dibuat. Bagi saya terma ini yang paling mustahak kerana ia membabitkan integriti saya dalam bidang seni. Rasanya peminat faham kenapa saya buat tuntutan ini.

“Saya tahu ada juga yang memperlekehkan saya seolah-olah saya terdesak. Biarkanlah fitnah mengalir. Banyak pahala saya boleh kumpul di akhirat nanti.

“Esok tarikh akhir untuk pembayaran kos guaman sebanyak RM7,500. Jumlah itu selepas pihak Vida minta kurang daripada RM20,000. Manakala, 17 Julai ini adalah tarikh akhir pembayaran barang kemas berjumlah RM80,000. Barang kemas ikut tanda harga di kedai iaitu jumlah sama.

“Sekiranya gagal berbuat sedemikian, Vida dianggap menghina mahkamah kerana engkar perintah mahkamah".

Dalam sidang media semalam, Vida tampil membuat permohonan maaf secara terbuka membabitkan kekhilafannya memberi representasi yang salah terhadap hadiah barang kemas tambahan bagi program Gegar Vaganza (GV) musim keempat.

Jelasnya, dia mengumumkan harga mengikut nilai sewaktu dibeli suatu ketika dahulu.

Dalam masa sama, Vida mengakui sedang melangsaikan pembayaran nilai barang kemas dipilih Aishah di kedai emas yang dicadangkan.

     

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)