Oleh pada 31 May 2018 kategori

Anaconda adalah sejenis spesis ular yang sangat terkenal di kalangan masyarakat kini. Filem, buku dan internet sentiasa menceritakan tentang betapa bahaya ular 'raksasa' ini. Tetapi adakah semua khabar angin ini adalah benar? Anda mungkin tertanya-tanya apa akan terjadi jika anda terserempak dengan Anaconda ketika menyusuri sungai Amazon. Sebelum anda berniat untuk meneroka hutan Amazon, berikut adalah beberapa fakta menarik tentang Anaconda yang anda perlu tahu:

1. Nama 'Anaconda'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nama 'Anaconda' (atau Eunectes) adalah merujuk kepada sejenis ular yang boleh dijumpai di kawasan tropika di Amerika Utara. Terdapat empat spesis yang dikenali dengan nama Eunectes, yang membawa maksud perenang yang bagus. The Green Anaconda (Eunectes Murinus) adalah spesis yang paling dikenali dari empat jenis spesis tersebut, dan ia adalah spesis yang akan muncul di fikiran anda jika anda membayangkan bagaimana rupa seekor ular yang besar. Realitinya, ia adalah yang terbesar dalam keluarga Anaconda.

2. Berapa besarkah ular Anaconda?

anaconda dewasa lebih besar dari manusia

Banyak lagenda dan tradisi yang memperkatakan tentang ukuran panjang Anaconda gergasi ini. Green Anaconda adalah ular yang paling berat, paling besar dan paling panjang di Amerika Utara, boleh membesar sehingga 5 meter panjang (17 kaki). Dari segi berat dan diameter pula, ia bukan sahaja ular yang terbesar di Amerika Utara, tetapi adalah yang terbesar di dunia. Bagaimanapun jika diambil kira dari segi ukuran kepanjangan, ular dari spesis Pyhton adalah yang paling panjang

Ketika zaman pemerintahan Teddy Roosevelt di Amerika, Pertubuhan Pemuliharaan Hidupan Liar menawarkan $50,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap ular hidup dengan panjang lebih 30 kaki. Tawaran itu dihapuskan pada tahun 2002, untuk tidak menggalakkan masyarakat dari mengganggu haiwan ini di habitat semulajadi mereka.

3. Anaconda yang paling kecil

yellow anaconda

Spesis terkecil Anaconda adalah Yellow Anaconda (Eunectes Notaeus) dimana panjangnya dianggarkan berukuran 3-4 meter (masih dalam kategori ular yang besar!). Ular betina membesar lebih daripada ular jantan dan kedua-duanya hidup di habitat akuatik. Jika anda berjalan di laluan hutan Amazon, beri perhatian di kawasan paya dan rawa, dan anda mungkin bernasib baik untuk melihat Anaconda dengan mata anda sendiri!

4. Spesis Anaconda yang jarang-jarang ditemui

dark spotted anaconda

Dua lagi spesis Anaconda yang diketahui wujud, Dark-Spotted Anaconda (Eunectes Deschauenseei) dan Bolivian Anaconda (Eunectes Beniensis), sangat jarang ditemui, dan tidak banyak maklumat tentang spesis-spesis ini walaupun ukuran panjang mereka dianggarkan sekitar 15-16 kaki (sekitar 5 meter). Seperti namanya, Bolivian Anaconda boleh dijumpai di hutan Amazon di Bolivia sementara Dark-Spotted Anaconda hidup sekitar kawasan hutan amazon di Brazil.

5. Lagenda Anaconda gergasi. Benar atau palsu?

lagenda anaconda gergasi

Palsu. Spesis yang tidak rasmi mungkin mampu membesar sehingga 40-60 kaki panjang, dan dilaporkan sangat jarang ditemui. Namun, ular mitos ini adalah tidak benar. Sekurang-kurangnya, kewujudannya tidak pernah disahkan. Namun pernah wujud satu spesis yang kini telah pupus, sejenis ular yang sangat besar yang dikenali sebagai "Titan Boa." Ia memiliki persamaan yang sangat hampir dengan Anaconda dan berkongsi habitat yang sama. Mungkin penemuan ular gergasi yang selama ini dikatakan sebagai Anaconda hanyalah Titan Boa yang telah pupus tersebut.

Secara keseluruhan, walaupun Anaconda adalah sejenis ular yang sangat besar - ia bukanlah sebesar seperti yang selalu diperkatakan orang ramai. Cuma, fakta yang menarik adalah secara rasminya Anaconda sememangnya ular yang terbesar di dunia, bermakna ia adalah ular yang paling berat di antara semua jenis ular yang wujud pada hari ini. Anaconda yang paling berat pernah direkodkan adalah Green Anaconda dengan jumlah keberatan mencecah 97.5kg!

6. Hubungan Anaconda dengan manusia

anaconda dan manusia

Anaconda tleh diberikan reputasi yang buruk selama bertahun-tahun dengan digelar sebagai "pemakan manusia", hasil daripada apa yang dipertontonkan dalam filem dan media. Malah dari cerita rakyat penduduk Amazon turut menggelar Anaconda sebagai "Encantado," makhluk mitos yang dikenali dengan menculik manusia yang membuatkan mereka jatuh cinta.

Walaupun terdapat dakwaan dan gambar-gambar yang menunjukkan Anaconda memakan manusia, ia tidak pernah disahkan, dan jelas ia adalah tidak benar. Kebelakangan ini terdapat beberapa kekecohan berkenaan dengan tayangan Discovery Channel yang bertajuk "Eaten Alive", dimana seorang naturalis yang memakai pakaian anti-ular sepatutnya telah dimakan oleh Green Anaconda. Ular tersebut sebenarnya langsung tidak 'berniat' untuk memakan naturalis tersebut, sebaliknya ia ketakutan dan cuba untuk melepaskan diri. Ia hanya menyerang lelaki tersebut setelah diprovokasi dengan kerap. Ramai orang yang menggunakan saluran media sosial untuk menyuarakan kemarahan mereka terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab ini, dengan mengkritik Discovery Channel kerana menyiarkan sesuatu yang benar-benar bertentangan dengan alam saintifik yang akan menyebabkan bahaya kepada haiwan itu.

7. Apakah makanan Anaconda?

caiman salah satu makanan anaconda

Jadi, apakah sebenarnya yang dimakan oleh Anaconda? Mengikut rantaian makanan di Amazon, kesemua empat spesis Anaconda akan berada di tangga teratas, dengan hanya Caiman (sejenis buaya) atau Jaguar yang menjadi pemangsa kepada mereka. Majoriti mangsa Green Anaconda adalah ikan, burung dan mamalia-mamalia kecil yang berlegar-legar hampir dengan pinggir air. Mereka juga kadang-kadang memakan reptilia-reptilia yang lain, termasuk Anaconda yang lain!

8. Adakah Anaconda berbisa?

anaconda tidak berbisa

Tidak. Kesemua empat spesis Anaconda tidak berbisa dan sebaliknya menggunakan 'belitan' untuk 'menumpaskan' mangsa mereka. Apabila seekor Anaconda nampak mangsa mereka menghampiri pinggir air, ia akan berenang menuju ke arah mangsa tersebut dengan cepat tetapi secara senyap, dan memerhati dengan penuh cermat. Apabila tiba masa yang sesuai, Anaconda akan menyerang, menggunakan tubuh badannya yang sangat 'berotot', dan membelit haiwan tersebut sehinggalah mangsanya yang malang tersebut mati kelemasan.

Satu lagi perkara yang sering menjadi persoalan adalah tentang fakta bagaimana Anaconda boleh 'membuka' rahangnya dengan luas untuk menelan mangsa yang sangat besar. Ini adalah disebabkan oleh bahagian bawah rahangnya tidak 'bercantum' dengan tengkoraknya. Setelah memakan seekor mamalia yang bersaiz besar, Anaconda tidak perlu makan lagi untuk tempoh beberapa bulan.

9. Di mana Anaconda boleh ditemui?

sungai amazon 6es20

Kesemua empat spesis Anaconda boleh ditemui di seluruh Amerika Selatan, tetapi kebanyakannya tinggal di lembah sungai Orinoco dan juga Amazon. Anaconda adalah haiwan semi-akuatik, dan berkeliaran di kawasan aliran air yang perlahan, sungai-sungai, dan kawasan-kawasan yang berlumpur dan lembab. Anaconda yang kadang-kadang digelar sebagai "Water Boas", biasanya bergerak secara perlahan ketika berada di daratan, tetapi sebaliknya boleh berenang dengan pantas dengan menggunakan tubuh badan mereka yang licin dan berkilat untuk berenang dengan pantas di dalam air. Anaconda lebih aktif pada waktu malam walaupun masih boleh dilihat berkeliaran pada waktu siang. Satu lagi fakta yang menarik adalah, mata dan hidung Anaconda berkedudukan lebih tinggi daripada kepala mereka sendiri, berbeza dengan spesis ular yang lain. Ciri-ciri yang unik ini membolehkan Anaconda untuk mengintip mangsa mereka pada paras permukaan air dengan menyelamkan hampir keseluruhannya  tubuh mereka.

10. Tingkah laku Anaconda

anaconda ular terbesar di dunia

Anaconda biasanya bertindak secara bersendirian, dan hanya berkumpul pada musim mengawan yang biasanya berlaku antara bulan April hingga Mei. Pada waktu ini, kawanan ular ini akan berkumpul bersama dalam kelompok yang dipanggil "breeding balls" di mana 12 ekor ular jantan akan cuba mengawan dengan seekor ular betina. Pertarungan yang digelar "slow motion wrestling matches" ini boleh berlarutan sehingga empat minggu pada satu masa!

Seekor Anaconda betina mampu menghasilkan sehingga 60-100 ekor anak. Bayi anaconda hanya sepanjang 2 kaki dan tidak menerima sebarang makanan dari ibunya ketika membesar. Selepas beberapa tahun kemudian, tumbesaran anak-anak Anaconda ini akan membesar dalam kadar yang sangat banyak sehingga usia mereka dewasa, di mana kadar pertumbuhan mereka akan turun secara mendadak. Keempat-empat spesis Anaconda mempunyai jangka hayat sekitar 10 tahun di habitat liar. Sepanjang tempoh sedekad usia mereka, ular-ular ini akan berkembang menjadi salah satu spesis ular yang terbesar,paling menarik dan paling ikonik di dunia.

Rujukan: rainforestcruises

 




Hakcipta iluminasi.com (2017)