Setiap dokumentari alam berkenaan dengan ular pasti akan memaparkan babak di mana ular menelan keseluruhan badan mangsanya.

Setiap pergerakan yang menyeramkan tersebut dirakam oleh kamera dan bagi ular yang bersaiz besar seperti anaconda dan ular sawa, saiz mangsa boleh mencapai saiz rusa dewasa.

Jadi, bagaimana ular menghadam dan mencerna mangsanya tanpa mengunyah terlebih dahulu?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sistem pencernaan ular

sistem pencernaan ular

Secara luaran, ular mempunyai jumlah komponen yang sama dengan sistem pencernaan manusia. Sistem pencernaan merangkumi panjang badan ular, bermula dengan mulut dan memanjang ke perut.

Ular-ular biasanya memburu mangsa kecil seperti tikus, burung, cicak dan kadang-kala memakan ular lain. Bagi pemangsa yang lebih besar, ular tersebut mempunyai "rahang bergerak".

Kedua-dua bahagian rahang ular boleh beroperasi secara berasingan dan seolah-olah "berjalan" di atas mangsa yang mana bahagian kepala ditelan terlebih dahulu.

Taring melengkung yang dimiliki ular menghalang mangsa dari melarikan diri dan tertusuk lebih dalam apabila mangsa berusaha untuk melarikan diri (jika ia masih hidup).

Mangsa kemudiannya ditelan masuk melalui esofagus ke perut.

Perut ular, seperti perut haiwan-haiwan lain, mengeluarkan gabungan asid (asid hidroklorik) dan enzim pencernaan untuk memecah makanan.

Dari perut, ia kemudiannya bergerak ke usus kecil. Ular juga mempunyai pankreas, hati, dan pundi hempedu yang mengeluarkan enzim pencernaan ke dalam usus.

Usus menyerap nutrien ke dalam aliran darah dan dari usus kecil, ia bergerak ke ruang seperti usus besar.

Di sini, ular dapat mencerna sebahagian besar haiwan yang dimakannya, termasuklah tulang.

Satu-satunya bahagian yang tersisa adalah bulu yang mana diperbuat daripada protein yang tahan dikenali sebagai keratin, serta kalsium dari tulang, yang akhirnya dikeluarkan dalam bentuk pelet.

Strategi makan mangsa bersaiz besar

Ular yang menjadi raja pemangsa iaitu boa dan sawa, memiliki sistem unik yang membolehkannya mencerna mangsa besar, seperti kijang seberat hampir 60 kilogram seperti yang direkodkan oleh ular sawa batu Afrika.

Banyak ular pemangsa haiwan besar adalah pemburu serangan hendap, seperti ular sawa Burma, yang menunggu mangsa terserempak dengannya.

Ular ini tidak makan dengan kerap dan lebih memilih mangsa bersaiz besar. Oleh sebab ini, aktiviti metabolik ular ini menjadi minimum, yang bermaksud ukuran sistem pencernaannya juga akan mengecil.

Walau bagaimanapun, apabila ular spesis ini bersedia untuk makan dan mendapat mangsa, metabolismnya akan meningkat hingga ke 2 atau 3 kali ganda.

Sistem otot jantung dan sistem peredaran darah ular ini akan diperkuatkan untuk membantu mengepam lebih banyak darah serta meningkatkan sistem pencernaan hampir tiga kali ganda.

Sebaik sahaja mangsa memasuki bahagian perut, organ ini akan mula merembeskan asid dan enzim pencernaan.

Dalam tempoh beberapa jam sahaja, nilai pH dalam perut ular ini akan menurun dari 7.5 kepada 2 dan kemudiannya kepada 1.5.

Dalam situasi ekstrem ini, mangsa tersebut tidak kira sama ada ia kijang atau buaya, akan terurai sepenuhnya hingga ke tulang.

Otot perut ular yang kuat akan memproses dan mengadun makanan, seolah-olah menggantikan kerja yang biasanya dilakukan oleh gigi.

Ular ini berjaya mencerna semua ini kerana, tidak seperti banyak mamalia yang hanya menyimpan makanan dalam perut selama beberapa jam hingga sehari, perut ular terus mencerna makanannya selama beberapa hari bahkan beberapa minggu, bergantung pada saiz makan. (kecuali keratin, protein yang membentuk rambut dan kuku).

Makanan yang "dicairkan" ini kemudiannya masuk ke dalam usus, di mana ia diurai dengan lebih lanjut dan lapisan usus  menyerap semua nutrien.

Keburukan makan mangsa bersaiz besar

Pencernaan yang biasanya mengambil masa selama beberapa minggu ini memerlukan banyak tenaga.

Ular tersebut mesti mengeluarkan sumber tenaga untuk menghasilkan dan merembeskan enzim serta asid dan untuk menggerakkan otot yang membantu pencernaan, termasuk aktiviti metabolik lain.

Penggunaan oksigen oleh ular ini juga meningkat ke tahap yang hampir sama seperti kita bersenam.

Malah, ular ini mungkin menggunakan separuh daripada tenaga yang diperolehinya daripada memakan mangsa tersebut hanya untuk mencerna mangsa itu sendiri.

Hal ini juga sebenarnya boleh membahayakan ular. 

Pada awal pencernaan, ketika ular secara praktikalnya tidak dapat bergerak kerana menelan mangsa yang besar, membuatkan pemangsa lain mampu mengancam ular tersebut.

Sekiranya ancaman menjadi tidak dapat dielakkan, ular tersebut mungkin akan memuntahkan makanan dan melarikan diri, walaupun tindakan ini sebenarnya tidak bagus untuk sistem pencernaan ular.

Selain itu, tanduk mangsa mungkin merosakkan sebahagian atau keseluruhan organ dalaman ular yang mampu membunuh ular tersebut.

Cuba untuk memakan haiwan yang sangat besar juga boleh membuatkan ular "meletup", seperti yang dilaporkan berlaku apabila seekor ular sawa cuba memakan seekor buaya yang terlalu besar.

Keburukan kedua adalah pereputan.

Sebaik sahaja ular ini mencerna mangsanya, makanan ini akan mula mereput. Bakteria dalam haiwan yang dimakan tersebut akan mula terurai, yang boleh menyebabkan haiwan itu (mangsa) kembung dan bertambah besar.

Jika ular ini memakan sesuatu yang sememangnya sudah bersaiz besar (kijang dll), ular ini berada dalam keadaan bahaya kerana mangsanya itu menjadi semakin besar.

Pereputan ini juga menghasilkan bau yang busuk, bahan kimia toksik yang dihasilkan oleh bakteria, dan jangkitan. Dalam hal ini, sistem pencernaan ular pada dasarnya terpaksa melawan ancaman bakteria.

Untuk menghalang hal ini, ular perlu memanaskan badan. Ular adalah haiwan berdarah sejuk, yang bermaksud bahawa badan haiwan ini meniru suhu luaran.

Oleh itu, bagaimana organ ular ini berfungsi juga bergantung pada suhu tersebut.

Suhu yang lebih panas dapat mempercepat pencernaan, jadi ular biasanya akan berjemur untuk membantu proses pencernaan.

Di kawasan yang lebih sejuk, ular-ular seperti tedung dan orok-orok menggunakan bisanya yang sangat beracun untuk mencerna mangsanya dari dalam.

Oleh itu, ular tidak perlu menggunakan tenaga tambahan untuk mencerna mangsanya dari luar.

Rujukan:

1. How Stuff Works

2. Animal Sake

3. Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)