Salah satu spesis ular yang paling ditakuti dan digeruni di Bumi sudah tentulah King Cobra atau lebih dikenali sebagai ular tedung selar. Ia sangat terkenal dengan saiz dan juga gigitannya yang tersangat bahaya.
Juga dikenali sebagai ular tedung selar, ular ini mempunyai rupa yang sangat mirip dengan satu lagi ular berbahaya iaitu ular senduk (cobra). Namun kedua-duanya adalah dari spesis yang berbeza.
BESARKAN TEKS A- A+
Ular tedung selar mempunyai banyak ciri-ciri yang unik yang membezakannya dengan ular-ular lain. iluminasi.com kongsikan 7 fakta dahsyat tentang ular tedung selar.
1. Ular berbisa paling panjang dan besar di dunia
Ular yang berasal dari selatan dan tenggara Asia ini biasanya membesar di antara 3 dan 4 meter panjang namun yang paling besar pernah dicatatkan adalah ular di Malaysia yang tinggal di Zoo London pada pertengahan abad ke-20.
Dari kepala hingga ke hujung ekor, ular tersebut berukuran 5.7 meter.
Ini sekaligus membuatkan ular tedung selar merupakan ular berbisa paling panjang di dunia.
2. Sebenarnya bukan dari keluarga spesis kobra
Walaupun digelarkan king cobra, namun ular ini tidak diklasifikasikan sebagai cobra sebenar, yang mana tergolong dalam spesis Naja.
King Cobra adalah satu-satunya ahli spesis Ophiophagus dan bukti genetik menunjukkan bahawa ular-ular besar ini lebih dekat dengan ular mamba sub-Sahara Afrika daripada kobra yang sebenar.
Secara fizikal, terdapat banyak perkara yang membezakan King Cobra daripada yang kobra sebenar. Ular ini mempunyai kepala yang lebih kecil berbanding spesis Naja.
Kepala spesis Ophiophagus lebih besar berbanding saiz badannya dan di pangkar leher, King Cobra mempunyai sisik yang memanjang yang mana tidak terdapat pada spesis kobra Naja.
3. Mampu hasilkan dengusan yang menggerunkan
Apabila terancam, King Cobra akan membuka kepalanya untuk kelihatan lebih besar dan mengangkat kepalanya setinggi 1.8 meter dari tanah.
Namun itu bukan satu-satunya senjata yang mampu menakutkan sesiapa sahaja di sekeliling. Ular ini juga menggunakan bunyi untuk menakut-nakutkan orang.
Ular tedung selar yang terancam akan menarik nafas dalam dan menghembuskan dengan pantas, memaksa pengeluaran angin melalui trakea diverticula di saluran pernafasan yang bertindak seperti ruang bergema.
Ini menghasilkan bunyi yang mana seorang saintis membandingkan dengan ngauman "seekor anjing German Shehperd yang sedang marah".
Ini sudah tentu lebih menakutkan berbanding bunyi ular biasa.
4. Mampu rembes bisa dengan banyak dalam satu gigitan
Jika dibandingkan, racun tedung selar kurang berbisa daripada beberapa ular yang lebih kecil, seperti ular taipan pedalaman Australia.
Tetapi jika ia berkaitan dengan bahan kimia toksik, kuantiti dapat mengatasi kualiti.
Dengan gigitan tunggal, seekor King Cobra boleh menyuntik sehingga 7 mililiter racun yang mana hampir cukup untuk mengisi 1.5 sudu kecil ke dalam badan mangsa.
Setiap racun mempunyai kesan yang berlainan terhadap badan manusia.
Sebagai contoh, kebanyakan ular tanah mempunyai racun yang memberi kesan kepada sistem pernafasan dengan memusnahkan sel darah merah ketika ia tersebar.
Tetapi racun dari King Cobra menghalang komunikasi antara saraf dan sel, yang boleh menyebabkan pening teruk, penglihatan kabur dan paling kerap, lumpuh.
Jika tidak diberikan penawar yang betul dengan pantas, mangsa gigitan boleh mati dalam masa 30 minit.
Racun King Cobra sangat kuat sehingga mampu membunuh seekor gajah seberat 5 tan dalam masa 3 jam dengan hanya satu gigitan.
5. Pemangsa kepada spesis ular lain
Kebanyakan ular tedung sebenar mempunyai pemakanan yang berbeza termasuklah cicak, burung, tikus dan ikan. Tetapi King Cobra memakan ular lain.
Ini disebutkan dalam nama spesisnya iaitu Ophiophagus yang bermaksud "pemakan ular". Malah, ular sawa pun tak terlepas daripada menjadi mangsa ular ini.
Tak cukup dengan itu, ia mendapat nama King Cobra kerana mampu membunuh dan memakan ular tedung yang lain.
Namun masih ada kes dimana King Cobra boleh bertoleransi untuk makan telur, tikus dan kadang kala cicak (Sangat jarang).
6. Sebelum mengawan, perlu bertarung dahulu
Seperti kebanyakan spesis haiwan yang lain, ular tedung selar jantan akan bertarung sesama sendiri untuk memenangi hati ular betina ketika musim mengawan.
Pertama sekali, ular-ular jantan akan "membesarkan" diri mereka dan "berdiri" setinggi 1.2 meter di atas tanah. Kemudiannya, kedua-dua ular tersebut akan bergusti.
Dengan badan yang saling berbelit, penggusti-penggusti ini akan cuba untuk menjatuhkan pihak lawan ke atas tanah seperti yang anda lihat dalam sukan gusti.
Setelah salah satu daripada ular tersebut dijatuhkan, ia akan beredar bermaksud menyerah kalah.
7. Satu-satunya spesis ular yang membina sarang telur dengan cantik
70% daripada spesis ular bertelur dan biasanya di lubang-lubang yang ditemui di sekitar dan kebanyakannya akan mengabaikan telur mereka serta merta.
Namun, hal ini tidak dilakukan oleh tedung selar di mana spesis ini akan membina sarang. Pertama sekali, ular betina akan mengumpulkan daun-daun.
Selepas bertelur sekitar 20 hingga 30 telur di tengah-tengah dedaun tersebut, ia akan mengumpulkan lebih banyak daun lalu dilapiskan badannya yang digulungkan di sekeliling telur.
Proses ini boleh mengambil masa selama 4 hari untuk disiapkan, yang mana pada akhirnya ular betina akan menggulungkan badannya di atas sarang tersebut selama 2 hingga 3 bulan sehingga telur mula untuk menetas.
Sepanjang tempoh ini, ular betina tidak makan dan biasanya tersangat agresif. Namun sebaik sahaja telur hendak menetas, ular betina akan beredar.
Rujukan: