Negara-negara terutamanya di Asia sememangnya terkenal dengan pelbagai adat resam, budaya dan cara hidup yang unik dan pelik, adakalanya tidak masuk akal. Tahukah anda, di segelintir kawasan di Taipei, China dan Vietnam, arak yang mengandungi ular dijual di kedai yang terletak di kaki lima?
Bagi kebanyakan manusia, ular merupakan antara haiwan yang paling ditakuti dan berasa geli melihat dan menyentuhnya. Malah, menurut satu kajian di Amerika Syarikat, hampir separuh responden mengatakan ular merupakan satu haiwan yang paling ditakuti, lebih ditakuti berbanding berucap di hadapan orang ramai ataupun mengambil suntikan di hospital.
BESARKAN TEKS A- A+
Jadi, mengapakah terdapat segelintir masyarakat yang sanggup meminum arak yang mengandungi ular ini?
Kebaikan kepada kesihatan tubuh badan?
Selama beratus tahun lamanya, manusia daripada seluruh dunia gemar memakan atau meminum benda-benda yang pelik kerana beranggapan hidangan tersebut mempunyai kelebihan menyembuhkan sesuatu penyakit. Antara yang pernah dimakan atau diminum orang terdahulu kerana dipercayai mempunyai manfaat kepada kesihatan adalah kencing manusia, ulat/serangga, kala jenking, darah binatang dan banyak lagi.
Kini. kebanyakan kepercayaan tersebut tidak lagi diamalkan. Walau bagaimanapun, amalan meminum arak yang mengandungi ular dipercayai masih lagi diamalkan oleh segelintir masyarakat di China, Vietnam dan Taipei. Malah, terdapat juga pelancong dari barat terutamanya yang datang untuk merasa sendiri akan hidangan arak yang tersangat pelik ini.
Mengikut kepercayaan perubatan tradisional China, ular mempunyai kuasa menyegarkan dan menyembuhkan tubuh badan. Ianya dipercayai mampu mengubati mati pucuk, menyelesaikan masalah keguguran rambut, menyembuhkan sakit belakang dan lain-lain lagi. Oleh sebab itu, sup ular atau hidangan berasaskan ular sangat popular di sesetengah tempat di Asia.
Bagi yang berasa geli akan daging ular, maka minuman arak yang mengandungi ular merupakan alternatif. Untuk menghasilkan hidangan ini, kebiasaannya seekor ular akan diletakkan di dalam botol dan diisi dengan alkohol, ginseng dan beberapa herba. Ular ini adakalanya diletakkan hidup-hidup di dalam botol dan adakalanya ada yang sudah mati.
Arak ini kemudiannya akan dibiarkan selama beberapa bulan (biasanya melebihi 6 bulan) dimana cecair alkohol tersebut dipercayai akan mencairkan racun ular tersebut dan pada masa yang sama memelihara intipatinya agar mampu memberi manfaat kesihatan kepada peminumnya. Kebiasaanya, arak ini akan diminum dalam kuantiti yang sedikit dalam satu hidangan.
Mitos semata-mata
Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik perubatan zaman ini bahawa minuman ini mampu menyembuhkan sebarang penyakit. Malah, sesetengah masyarakat juga menentang keras cara pembuatan arak ini yang meletakkan ular yang masih hidup ke dalam botol dan dituangkan alkohol sehingga penuh.
Terdapat ular yang mempunyai kemampuan berhibernasi dalam tempoh yang lama. Pada tahun 2013, terjadi satu kes dimana seorang wanita telah dipatuk ular yang terdapat dalam botol arak miliknya. Wanita itu telah dikejarkan ke hospital dan berjaya diselamatkan.
Kejadian itu berlaku ketika wanita tersebut ingin mengisi kembali arak yang mengandungi ular tersebut. Kebiasaannya, apabila hendak meminum arak tersebut beliau akan membuka satu pili kecil yang dibuat pada bahagian bawah botol tersebut. Apabila arak tersebut sudah berkurang, beliau telah membuka penutup botol tersebut untuk mengisi cecair alkohol kedalam botol tersebut. Malangnya sebaik membuka penutup botol tersebut, beliau telah dipatuk ular yang disangkanya sudah mati tersebut.
Dengan kemajuan perubatan moden yang ada pada masa kini, pengambilan ubatan tradisional seperti ini yang tidak mempunyai bukti saintifik perlulah dielakkan. Malah, terdapat juga beberapa kes dimana arak yang dihasilkan memberi kesan lebih buruk kepada peminumnya.
Sekiranya anda seorang muslim, pengambilan arak yang mengandungi ular ini sama sekali dilarang kerana sudah banyak ubat-ubatan yang dihasilkan untuk menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan.
Kredit: