Kira-kira 40 kilometer daripada pantai Brazil, terdapat sebuah pulau yang mana tak ada mana-mana penduduk setempat yang berani menjejakkan kaki mereka.
Menurut lagenda, orang terakhir yang diketahui berada berdekatan dengan pantai itu adalah seorang nelayan yang ditemui tak bernyawa dan dipenuhi darah, di atas perahunya beberapa hari kemudian.
Pulau misteri tersebut dikenali sebagai Ilha da Queimada Grande, dan disebabkan tersangat berbahaya untuk menjejakkan kaki di pulau ini, kerajaan Brazil telah mengharamkan sesiapa sahaja untuk pergi ke pulau tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa yang membuatkan pulau ini berbahaya adalah disebabkan oleh kewujudan ular Golden Lancehead, yang mana merupakan spesis Pit Viper dan antara yang paling berbahaya di dunia.
Ular ini boleh membesar sehingga 118 sentimeter dan dianggarkan terdapat di antara 2,000 hingga 4,000 ekor di pulau ini. Jadi tidak hairanlah pulau ini dikenali sebagau Pulau Ular.
Ular Golden Lancehead adalah teramat bahaya dan berbisa sehinggakan boleh membunuh dengan satu patukan sahaja. Mangsa patukan akan mati dalam masa satu jam.
Pernah menjadi kawasan penempatan seketika
Walaupun kini ia diharamkan, namun pulau ini pernah menjadi kediaman kepada warga tempatan untuk tempoh yang singkat sehingga penghujung tahun 1920-an.
Menurut lagenda lagi, penjaga rumah api tempatan dan keluarganya mati akibat patukan ular ini yang menyelinap masuk ke dalam rumah mereka melalui tingkap.
Kini, angkatan laut melawat rumah api tersebut secara berkala untuk menjaga dan memastikan pengembara tidak mengembara terlalu dekat dengan pulau tersebut.
Kewujudan ular Golden Lancehead di pulau ini
Menurut cerita orang tempatan, ular tersebut dibawa dan dilepaskan di pulau tersebut oleh lanun-lanun yang ingin melindungi harta karun mereka di situ.
Namun, hakikatnya adalah kehadiran ular tersebut disebabkan oleh kenaikan paras laut yang mana kurang menarik berbanding cerita lagenda lanun tersebut.
Pada satu ketika dahulu, Pulau Ular ini adalah sebahagian besar daripada tanah besar Brazil, namun ia terpisah dan menjadi sebuah pulau setelah paras laut meningkat lebih dari 10,000 tahun yang lalu.
Haiwan-haiwan yang sampai ke pulau ini mengalami revolusi yang sangat berbeza daripada haiwan-haiwan di tanah besar, lebih daripada beribu-ribu tahun, terutamanya ular Golden Lancehead.
Disebabkan di pulau ini tiada mangsa lain selain burung, maka ular ini mengalami perubahan di dalam badannya di mana bisanya menjadi sangat berbahaya yang boleh membunuh mana-mana burung dengan serta merta.
Burung-burung tempatan sangat pintar dan sukar ditangkap oleh pemangsa yang mendiami pulau ini tetapi spesis ular ini bergantung hidup dengan menjadikan burung-burung tersebut sebagai makanan.
Penyebab kes patukan ular terbesar di Brazil
Ular Lancehead, iaitu spesis yang sama dengan Golden Lancehead dan tinggal di tanah besar Brazil, bertanggungjawab terhadap 90% daripada kes patukan ular di Brazil.
Patukan daripada patukan Ular Golden Lancehad yang mana bisanya 5 kali ganda lebih daripada Lancehead biasa adalah jarang berlaku disebabkan oleh kediaman mereka yang terasing.
Namun, jika berlaku pertembungan dengan ular ini, kebarangkalian untuk terbunuh adalah sangat tinggi. Setakat ini tiada statitsik mengenai kematian yang disebabkan oleh ular Lancehead Golden, kerana satu-satunya kawasan yang mempunyai ular ini diharamkan kepada orang awam.
Namun, seseorang yang dipatuk oleh ular Lancehead biasa berhadapan dengan kadar kematian pada tahap 7%, jika tidak dirawat.
Rawatan tidak menjamin mangsa yang dipatuk akan terselamat, masih terdapat 3% kadar kematian akibat patukan ini.
Kelebihan bisa ular viper
Jadi, dengan tahap bahaya di pulau ini, adalah sukar untuk memahami mengapa ada yang mahu mengambil risiko untuk mengunjungi tempat seperti ini di mana kematian yang menyakitkan boleh berlaku dalam setiap langkah.
Walaupun begitu, bisa ular daripada spesis viper ini menunjukkan potensi dalam membantu memerangi masalah jantung. Ia telah menjadikan bisa ular ini mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran gelap.
Bagi sesetengah mereka yang suka melanggar undang-undang, kegilaan terhadap wang ringgit sudah cukup menjadi pendorong kepada mereka untuk mengambil risiko maut dengan mengunjungi Pulau Ular ini.
Rujukan: