Ular adalah spesis reptilia yang menjadi fobia hampir kesemua populasi di atas muka bumi ini, kecuali mereka yang menjadikan spesis ini sebagai makanan. Ia mampu mencapai saiz yang sangat menggerunkan, dan juga sangat menakjubkan dari pelbagai segi.
Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana makhluk ini mampu menelan haiwan lain yang mana bersaiz lebih besar.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 2016, seekor ular sawa batik dijumpai di sebuah kawasan pembinaan flyover di Paya Terubong, Pulau Pinang, berukuran 8 meter. Ular ini dikatakan mungkin ular terbesar di dunia, mengalahkan ular yang ditabalkan oleh Guinness Book of World Records sebagai ular terbesar di dunia, yang diberi nama Medusa.
iluminasi.com kali ini ingin berkongsi dengan pembaca mengenai 5 spesis ular yang paling besar di dunia.
5. Ular sawa India
Ular ke-5 terbesar di dunia ini mampu mencapai panjang maksimum 6.4 meter dan berat mencecah 91 kilogram. Ular sawa India mempunyai kulit yang menarik berwarna kuning, coklat atau krim dengan tanda gelap.
Tanda-tanda ini membantu spesis ini untuk menyamai latarbelakang yang sering bertukar-tukar. Ia mampu memanjat pokok dengan mudah dan juga pakar dalam berenang. Namun, kebanyakan daripada hidup ular ini dihabiskan di atas tanah.
Sebagai spesis yang gemar bersendirian, ular sawa India hanya akan berkumpul ketika musim mengawan. Ia biasanya memburu pada waktu malam dan mempunyai lubang deria haba pada rahang atas dan bawah bagi mengesan mangsa pada waktu malam.
Selepas menangkap mangsa seperti tikus dan mamalia kecil lain, dan juga burung serta amfibia, ular sawa gergasi membunuh dengan cara melilit.
4. Ular sawa batu Afrika
Ular sawa batu Afrika mampu mencapai panjang maksimum 7.5 meter dan berat sehingga 114 kilogram menjadikannya ular paling besar di Afrika dan yang ke-4 paling besar di dunia. Ia biasanya dijumpai di paya, padang rumput dan hutan tropika di Afrika Tengah dan Barat.
Ular tak berbisa ini mempunyai badan bercorak dengan tompok dan tanda. Ia membolehkan ular ini menyamar dengan baik ketika di habitan yang berbeza-beza, mengikut kesukaan.
Seperti ular sawa lain, spesis ini membunuh mangsa seperti tikus, kijang, monyet, khinzir, cicak dan buaya dengan cara lilitan badan. Jika ia memakan kijang atau buaya, ia mampu hidup selama satu tahun tanpa makanan.
3. Ular sawa Myanmar
Ular ini adalah spesis ular yang tidak berbisa dan yang ketiga paling besar di dunia. Ia mampu mencapai panjang di antara 5 hingga 7.6 meter dengan berat maksimum 137 kilogram. Habitat ular sawa Myanmar adalah di paya, rawa, hutan, padang rumput dan lembah sungai di Asia Tenggara.
Ia juga merupakan antara spesis ular sawa yang paling cantik di dunia, yang mempunyai warna berbeza-beza termasuklah kelabu, coklat, coklat kekuningan dengan tompok-tompok kemerah-merahan.
Tidak seperti ular-ular lain, penglihatan ular ini sangat teruk namun ia mempunyai reseptor kimia dan lubang pengesan haba untuk memburu mangsa. Ia juga mempunyai gigi melengkung ke belakang membantu mengelakkan mangsa daripada terlepas.
Cara membunuh mangsa adalah dengan melilit dan rahang ular ini yang berengsel membolehkannya untuk menelan mangsa secara keseluruhan. Makanan biasa ular ini adalah arnab, tikus, burung kecil, rusa dan khinzir. Ular ini mampu hidup untuk beberapa bulan tanpa makanan selepas memakan mangsa bersaiz besar.
2. Ular sawa batik
Mampu mencapai panjang maksimum 10 meter dan berat mencecah 135 kilogram, ular sawa batik adalah ular terpanjang di dunia dan juga spesis ular kedua terbesar di atas muka bumi ketika ini.
Malah, ular sawa ini adalah spesis ular sawa yang paling besar di dunia. Ia biasanya ditemui di kawasan hutan hujan atau sungai kecil di Asia Tenggara. Ia tidak beracun dan kebanyakannya dijumpai di atas tanah.
Selain daripada bersaiz besar, ular sawa batik dikenali kerana warnya yang sangat menarik dan menonjol. Kulit ular ini terdapat dalam pelbagai warna termasuklah emas, hitam dan hijau zaitun, dengan tompokan coklat. Warna dan corak ini membolehkan ular sawa batik sukar dikesan di pelbagai habitat.
Ia biasanya hidup bersendirian dan sangat agresif serta aktif waktu malam. Ular ini menjadikan tikus, monyet, kumbang, rusa dan khinzir sebagai makanan ruji yang mana dililit sehingga tak bernafas dan dimakan.
1. Anaconda Hijau
Anaconda hijau adalah ular yang terbesar di dunia yang masih wujud. Spesis ini mampu membesar di antara 6 hingga 9 meter panjang dan berat mencecah 250 kilogram, 2 kali ganda berat ular sawa batik.
Anaconda hijau tidak mempunyai bisa dan biasanya dijumpai di paya, rawa atau di sungai seluruh Amerika Selatan.
Ular betina biasanya lebih besar daripada ular jantan. Seperti namanya, ular ini mempunyai kulit berwarna hijau zaitun dengan tompok-tompok hitam.
Spesis ini adalah haiwan yang aktif pada waktu malam namun dipercayai berburu pada siang hari. Bertentangan dengan mitos, ular ini tidak memakan manusia. Diet biasa ular ini termasuklah rusa, tapir, buaya, ikan dan kura-kura.