Oleh pada 02 Aug 2019 kategori

Vlado Taneski adalah seorang wartawan yang telah berkecimpung dalam bidang itu selama lebih dari 20 tahun. Sepanjang kariernya, dia bekerja untuk akhbar tempatan di kampung halamannya yang terletak di Kicevo, Macedonia.

Kicevo merupakan sebuah pekan kecil yang sentiasa aman dan tenang. Pada mulanya, sebahagian besar berita yang ditulis oleh Taneski merangkumi topik kebiasaan seperti perkara-perkara yang berlaku di sekolah atau pejabat kerajaan setempat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 2005, wartawan itu berpeluang membuat liputan satu kisah yang menggemparkan. Seorang wanita yang bertugas sebagai tukang cuci telah hilang dan mayatnya ditemui di pinggir bandar dalam keadaan dibalut dengan beg plastik. Mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh.

Seorang wartawan yang cemerlang

vlado taneski wartawan pembunuh bersiri

Taneski ketika itu telah mempunyai hubungan kerjasama yang akrab dengan pihak polis untuk membuat liputan mengenai berita itu. Bahkan dia mendapat pujian daripada penyunting akhbar dan penduduk pekan kerana handal mendapatkan maklumat terperinci berkaitan kes tersebut.

Dalam tempoh tiga tahun selepas itu, tiga lagi wanita dilaporkan hilang. Dua daripadanya ditemui dalam keadaan yang sama seperti mangsa pertama yang ditemui pada tahun 2005.

Sama seperti kes pembunuhan pertama, Taneski berjaya membuat liputan ke atas ketiga-tiga kes baru ini dengan pemerhatian yang begitu terperinci. Ruangan jenayah yang ditulisnya itu serta-merta terkenal dan mula menjadi buah mulut penduduk tempatan.

Mula disyaki dan menjadi suspek utama

taneski bersama isterinya

Taneski bersama isterinya

Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu, pihak polis mula berasa curiga dengan liputan yang dibuat Taneski. Ini disebabkan butiran-butiran yang terdapat dalam beritanya itu masih belum didedahkan oleh pihak polis kepada mana-mana orang awam.

Mereka mula tertanya-tanya sama ada Taneski mengenali pembunuh bersiri itu secara peribadi. Mereka merasakan dia telah merahsiakan perkara tersebut supaya dapat terus menulis berita sensasi serta mendapat sambutan hangat untuk ruangan akhbarnya.

Kenyataan sesungguhnya adalah jauh lebih mengejutkan. Sangkaan pihak polis sebenarnya telah begitu hampir menemui kebenaran. Tidak dapat disangkal lagi bahawa Taneski mengetahui siapakah dalang sebenar di sebalik pembunuhan wanita-wanita malang di pekan Kicevo itu.

Memiliki dua keperibadian berbeza

vlado taneski ditahan pihak berkuasa

Taneski ditahan pihak berkuasa

Selama tiga tahun lamanya, Vlado Taneski telah menjalani dua kehidupan berbeza. Isterinya yang sudah 31 tahun dikahwini menggambarkan Taneski sebagai seorang yang pendiam dan lemah lembut manakala rakan-rakan sekerjanya di akhbar Nova Makedonija pula mengenalinya sebagai seorang yang rendah diri dan sopan santun.

Namun, sifat sebenar Taneski dalam kehidupan 'rahsia'nya adalah jauh berbeza. Dalam keempat-empat wanita yang menjadi mangsanya, tiga daripadanya mempunyai tanda-tanda diperkosa, dicabul dan diseksa sebelum dicekik sehingga mati menggunakan wayar telefon.

Apa yang menyebabkan pihak polis mula berasa sangsi dengan Taneski adalah pengetahuannya yang begitu mendalam terhadap kes-kes itu. Misalnya, pihak polis telah mendedahkan bahawa kesemua mangsa mati dicekik namun mereka tidak menyebut sebarang alatan yang disyaki telah digunakan pemangsa.

Apabila laporan berita Taneski pula memberitahu secara tepat kord telefon jenis apa yang digunakan, mereka memberkas wartawan itu sebagai seorang suspek utama.

Penemuan bahan bukti

vlado taneski wartawan macedonia 625

Setelah melakukan penyiasatan, pihak polis berjaya memperoleh waran geledah untuk menyelongkar rumah Taneski. Dari situ, satu demi satu bahan bukti yang dijumpai telah mendedahkan lagi sisi gelap dirinya. Rumahnya dipenuhi dengan bahan lucah dan pornografi serta simpanan nota-nota berkaitan jenayah yang dilakukan.

Setiap kali dia menjalankan satu pembunuhan, dia akan menulis keterangan kejadian itu dengan huraian panjang lebar serta butiran terperinci. Maklumat-maklumat inilah yang kemudiannya digunakan untuk menyiapkan artikel akhbarnya.

Walaupun begitu, pihak polis tidak dapat mengenal pasti apakah motif sebenar Taneski melakukan jenayah sedemikian. Kesemua mangsa adalah tukang cuci yang mana merupakan pekerjaan ibunya sendiri. Selain itu, pihak polis juga percaya bahawa dia mengenali mangsa daripada ibu namun bukti lanjut tidak dapat disahkan.

bahan bukti pembunuhan di rumah taneski

Bahan bukti yang ditemui di rumah Taneski

Taneski ditangkap setelah pihak polis berjaya membuktikan DNAnya sepadan dengan air mani yang ditemui pada tubuh keempat-empat mangsa. Dia didapati bersalah kerana membunuh Mitra Simjanoska, 64, pada 2005, Ljubica Licoska, 56, pada 2007 dan Zivana Temelkoska, 65, pada 2008. Pihak polis juga sedang menyiasat tentang kematian seorang lagi mangsa pada 2003 iaitu Gorica Pavleska, 78 tahun.

Walau bagaimanapun, semasa pihak polis masih sedang dalam proses penyiasatan untuk mensabitkan kesalahan ke atasnya, Taneski yang berada di dalam penjara telah menamatkan riwayat hidupnya dengan melemaskan diri sendiri dalam sebaldi air.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)