Kejadian kecurian memang setiap hari berlaku di mana-mana sahaja. Apatah lagi dalam zaman teknologi sekarang di mana peranti seperti kamera CCTV mampu merekodkan aktiviti kecurian 24 jam sehari, kita sering dihidangkan dengan kisah-kisah curi dan rompak yang menggentarkan jiwa kita.
Salah satu kisah kecurian paling menarik pernah berlaku di negara kita, melibatkan kecurian sebuah kereta mewah berjenama Porsche yang berlaku pada tahun 2007 di Pulau Pinang. Apa yang menarik dan membuatkan kes ini menjadi sangat unik serta seronok untuk diceritakan semula, adalah disebabkan fakta bagaimana kronologi kes ini berlaku.
BESARKAN TEKS A- A+
Kereta mewah itu dicuri dua kali dalam masa dua hari - kecurian kali kedua pula berlaku di tempat yang tidak sama sekali dijangka akan berjaya dilakukan.
Kecurian pertama kali
Pada 17 Julai 2007, seorang lelaki berpakaian kemas lengkap dengan sut penuh melangkah masuk ke sebuah pusat jualan kenderaan mewah Naza Premier Auto yang terletak di Auto City, Seberang Jaya.
Berbincang seperti sangat berminat hendak membeli sebuah Porsche model 911 Targa 4 yang berharga hampir satu juta ringgit ketika itu, ejen jualan wanita yang bertugas tidak mengesyaki apa-apa yang aneh. Apatah lagi apabila melihat buku cek sudah tersedia bersama lelaki itu, seandainya jualan berjaya dipersetujui.
Selepas berjaya menambat hatinya dan menulis amaun tempahan yang diperlukan pada buku cek yang dibawa, lelaki itu menyatakan hasrat mahu mendengar sendiri bagaimana bunyi dihasilkan enjin berkuasa tinggi itu.
Lelaki tidak dikenali itu meminta agar dia dibenarkan menghidupkan sendiri enjin kereta tersebut. Selepas memulakan enjin, dengan pantas gear dimasukkan dan pedal minyak ditekan - membuatkan Porsche tersebut merempuh cermin pusat jualan tersebut dan lelaki tadi terus memandu pergi.
Tergama ejen jualan itu agaknya memikirkan apa dah berlaku.
Bagaimanapun, kenderaan mewah itu ditemui semula 30 minit selepas itu di tepi jalan lebih kurang 2 kilometer daripada lokasi pusat jualan Naza itu selepas kehabisan minyak. Penemuan itu memerlukan pihak polis membawa kenderaan itu ke balai sebagai salah satu bahan bukti kes.
Kereta itu ditunda ke balai polis untuk disimpan.
Dicuri sekali lagi
Menyedari rancangan awalnya gagal kerana tidak menyangka akan kehabisan minyak secepat itu, pencuri itu memperbaiki rancangannya.
Masih memegang kunci kepada kenderaan Porsche tersebut, pencuri itu mengenalpasti di mana kereta tersebut disimpan. Dia hadir ke balai polis pada jam 11 malam 18 Julai 2007, berjaya menyusup masuk dengan satu tong petrol bersamanya. Dengan selamba dia mengisi tangki dengan minyak petrol, seterusnya menghidupkan kembali enjin dan memecut keluar tanpa rasa gentar.
Usaha pegawai yang menjaga pintu keluar masuk balai untuk menghentikan kecurian itu gagal; hampir-hampir dilanggar pencuri rakus yang licik serta sangat berani. Kejadian itu memaksa 10 buah kereta peronda pantas bertindak cuba mengejar kereta mewah itu serta mewujudkan beberapa sekatan jalan di laluan yang diramalkan akan dilalui.
Tidak diketahui apa yang berlaku kepada pencuri itu - kereta itu ditinggalkan sekali lagi di sebuah kawasan sunyi berdekatan dengan Maktab Perguruan Tuanku Bainun yang terletak di Mengkuang, 10 kilometer dari lokasinya dilarikan untuk kali kedua.
Pemeriksaan ke atas kereta tersebut mendapati tangki petrolnya masih lagi berisi, menandakan ada sebab lain pencuri itu memilih untuk meninggalkan saja kereta tersebut begitu saja di tepi jalan. Polis meramalkan sekatan jalan yang dibuat berjaya menggagalkan dia dari terus cuba memandu.
Angkara Geng Mamak
Pemeriksaan ke atas kereta tersebut berjaya menemui kesan cap jari individu yang bertanggungjawab melarikan kenderaan itu dua kali, kali keduanya telah menyebabkan maruah pihak polis tercalar teruk. Apatah lagi pihak media baru saja gempar melaporkan kejadian curi yang berlaku terlebih dahulu; alih-alih kereta itu dicuri lagi di balai polis pula.
Hasil siasatan yang dilaporkan pada 2 Oktober 2007 mendapati kes tersebut didalangi kumpulan penjenayah terkenal Geng Mamak yang kegiatannya telah pun menjadi legenda kisah-kisah penjenayah sejak era 1990-an lagi; kecurian kereta mewah menjadi salah satu aktiviti kegemaran mereka.
Pada bulan Januari tahun 2008, pihak polis berjaya menahan 4 orang lelaki berusia 19 hingga 50 tahun di Gopeng, dipercayai terlibat dalam beberapa siri rompakan yang berlaku sebelum itu dan besar kemungkinan turut sama terlibat merancang kecurian Porsche tersebut dari pusat jualannya. Walaupun berjaya diberkas, pihak polis tidak mengeluarkan pengesahan identiti individu yang berjaya melarikan Porsche tersebut.
Geng Mamak terus diburu pihak polis, dengan insiden berbalas tembakan pada 28 Januari 2017 mengorbankan pemimpin kepada gerakan penjenayah itu di Shah Alam dan dua lagi ditembak mati di Rembau, pada 23 Mei 2018. Tidak diketahui adakah Geng Mamak masih aktif selepas 2 lagi suspek dalam insiden di Rembau tersebut, berjaya meloloskan diri.
Mungkin mengambil inspirasi daripada apa yang telah berlaku, seorang pemuda bernama Mohd. Azri Kassim mencipta nama dengan menggunakan modus operandi serupa - dikenali sebagai 'Pakar Mencuri Kereta Mewah' melibatkan beberapa kes sama, melarikan sebuah Porsche Panamera di Jalan Bukit Bintang dan sebuah Volkswagen Golf GTI di Salak Selatan.
Bagaimanapun, dia mengaku melakukannya sendirian - mengambil upah lumayan untuk mencuri kereta-kereta tersebut dengan kadar upah RM30,000 untuk sebuah kereta yang berjaya dia larikan.
Dalam kes tahun 2007, walaupun pihak polis tidak mendedahkan secara terperinci individu mana yang terlalu berani mengambil tindakan sedemikian rupa tetapi pihak polis meyakinkan, pegawai yang membenarkan pencuri itu masuk ke balai dengan satu tong petrol - telah pun diberikan amaran.