Para penyiasat biasanya mengkategorikan seseorang itu sebagai pembunuh bersiri apabila mereka membunuh 3 orang mangsa atau lebih. Biasanya mereka ini dikaitkan dengan masalah mental atau minat yang abnormal.

Kenali Pedro Rodrigues Filho (nama gelarannya Pedrinho Matador). Dia merupakan seorang pembunuh bersiri yang terkenal. Dia bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 70 pembunuhan, di mana 10 daripadanya dilakukan sebelum mencecah usia 18 tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang membuatkan Filho menjadi seorang pembunuh bersiri yang lebih "baik" adalah kerana dia tidak memilih orang biasa, sebaliknya menjadikan penjenayah, perogol dan pembunuh lain sebagai mangsanya.

Selain penjenayah, Filho juga melakukan pembunuhan kepada mereka yang telah melakukan kesalahan terhadapnya. Salah seorang penganalisis mengatakan Filho adalah seorang 'psikopat yang sempurna'.

Derita sejak lahir

pedro rodrigues filho muda 906

Kesukaran hidup Filho bermula sewaktu ketika dia dilahirkan ke dunia ini lagi. Dia dilahir pada 1954 di Minas Gerias, Brazil, dengan kecacatan pada tengkoraknya akibat ibunya dipukul oleh bapanya sendiri sewaktu mengandungkan FIlho.

Dia telah melakukan pembunuhan pertamanya seawal usia 14 tahun. Mangsa pertamanya ialah timbalan Datuk Bandar tempatnya tinggal. Lelaki itu telah memecat bapa Filho yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah atas tuduhan mencuri makanan. Filho telah menembaknya menggunakan senapang di hadapan Dewan Bandaraya.

Pembunuhan ke-2 yang dilakukannya pula tidak begitu lama setelah itu. Filho telah membunuh seorang lagi pengawal keselamatan yang bekerja bersama bapanya dan juga pencuri makanan yang sebenar.

Cinta dan dendam

Setelah dua kejadian itu dia telah melarikan diri ke daerah Mogi das Cruzes di Sao Paulo, Brazil. Setibanya di sana, dia telah berkenalan dengan seorang pengedar dadah sebelum membunuhnya. Dia juga terlibat di dalam jenayah pecah rumah di sana.

Kemudian, dia bertemu dan jatuh cinta dengan seorang wanita bernama Maria Aparecida Olympia dan tinggal bersama wanita itu. Malangnya, Maria kemudiannya telah dibunuh oleh ahli kumpulan penjenayah yang membalas dendam akibat Filho membunuh rakan pengedar dadah mereka.

Kematian Maria ini telah menyemarakkan lagi perbuatan jenayah Filho. Dia berjaya menjejaki beberapa orang yang terlibat dengan pembunuhan Maria lalu menculik, menyiksa serta membunuh mereka kerana membunuh wanita yang disayanginya.

Makan jantung bapa sendiri

Pembunuhan seterusnya yang dilakukan Filho juga bermotifkan dendam. Kali ini sasarannya ialah bapanya sendiri yang pernah dibelanya dahulu. Bapa Filho telah dipenjara kerana didapati bersalah membunuh ibunya dengan menggunakan parang.

Pedro Rodrigues Filho pergi melawat bapanya di penjara dan kemudian telah membunuh bapanya sendiri dengan menikamnya menggunakan pisau sebanyak 22 kali sebagai membalas dendam. Tidak setakat itu, dia malah memotong sebahagian jantung bapanya, sebelum mengunyah dan membuangnya.

Dia akhirnya ditahan pada 24 Mei 1973. Ketika ditahan, dia ditempatkan di dalam kereta polis bersama dua orang penjenayah lain termasuk seorang perogol. Apabila polis kembali ke kenderaan itu dan membuka pintu, mereka dapati Filho telahpun membunuh perogol itu.

Permulaan minat abnormal

filho penjara

Ini adalah permulaan yang baharu bagi hidupnya. Dihumban ke penjara dan dikelilingi oleh pesalah-pesalah yang lain membuatkan Filho berasa seperti berada di tempat kerja. Banyak perkara yang perlu dilakukannya di sini.

Filho membunuh sekurang-kurangnya 47 orang banduan lain yang merupakan majoriti keseluruhan mangsanya. Filho akan memilih dan membunuh banduan yang dirasakannya perlu atau layak dibunuh mengikut kesalahan mereka.

Semasa diwawancara, dia memberitahu bahawa dia berasa teruja dan seronok apabila membunuh penjenayah lain. Cara yang paling diminatinya ialah dengan menikam menggunakan pisau atau benda tajam.

Walaupun Filho hanya dihukum penjara 128 tahun kerana membunuh, namun jenayah yang dilakukan di dalam penjara membuatkan hukumannya menjadi 400 tahun. Akan tetapi, undang-undang Brazil hanya memaksimumkan hukuman selama 30 tahun sahaja.

Dia dihukum penjara tambahan selama 4 tahun sahaja kerana membunuh di dalam penjara dan dibebaskan pada tahun 2007. Pedro Rodrigues Filho sememangnya seorang yang sangat berbahaya, mungkin bukan kepada anda tetapi kepada penjenayah lain.

Rujukan: 

1. All That Interesting

2. Criminal Minds

3. Rebel Circus




Hakcipta iluminasi.com (2017)