Oleh pada 30 Jan 2025 kategori

Dalam dunia sukan, tenis agak menonjol.

Perlawanannya sering kali sengit, berlangsung dalam suasana panjang memerlukan atlet tenis hadir dalam tahap fizikal sangat tinggi. Jika anda pernah cuba main tenis, anda tahu betapa sukarnya sukan ini.

Tidak seperti sukan raket lain seperti badminton atau ping-pong, sistem pemarkahan tenis agak unik; tenis menggunakan kaedah pemarkahan yang berbeza yang membingungkan bagi mereka yang tak tahu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa penganjur sukan tenis terus mengamalkan sistem pemarkahan yang agak sukar difahami?

Asal-usul sistem pemarkahan tenis

kenapa tenis guna love

Sistem pemarkahan tenis yang ada sekarang direkod diperkenalkan di Perancis pada zaman pertengahan Eropah. Tenis pada masa itu dikenali sebagai "Jeu de Paume" (permainan tapak tangan), dimainkan hanya dengan tangan sebelum peralatan raket diperkenalkan.

Sistem pemarkahannya diambil daripada kiraan jam, di mana setiap kiraan suku jam mewakili pergerakan mata. Oleh sebab itulah kiraan 15, 30, dan 40 diamalkan dengan 45 diubah kepada 40 bagi memudahkan sebutannya.

Adaptasi sistem pemarkahan tenis jelas didorong untuk mewujudkan kaedah kiraan beransur-ansur yang merekodkan mata semasa perlawanan dengan penggunaan kali pertama sistem ini direkodkan berlaku pada abad ke-16 sudah tentulah juga di Perancis.

Apabila permainan ini berkembang dan tersebar di seluruh Eropah, sistem pemarkahan sama dikekalkan dan menjadi sebahagian daripada tradisi sukan ini.

Penggunaan istilah "love" bagi mewakili skor sifar dipercayai berasal dari perkataan Perancis "l'oeuf, yang bermaksud "telur," melambangkan ketiadaan nilai. Penambaikan ini kemudiannya diperkenalkan ke England oleh Raja Henry VIII yang diketahui peminat tegar permainan ini.

Sejak itulah sistem pemarkahan ini telah menjadi standard perlawanan tenis di seluruh dunia.

Terus kekal sebagai tradisi unik

pengadil sukan tenis umpire

Walaupun rumit, sistem ini kekal tidak berubah dalam versi permainan moden. Ini kerana badan pengelola sukan tenis melihat wujud keperluan untuk sukan tenis yang kaya dengan sejarah dan tradisi harus dikekalkan.

Sistem pemarkahannya yang unik dan kini dikenali sebagai sebahagian daripada identiti sukan tersebut, mampu membezakan sukan ini dengan sukan-sukan lain yang mempunyai kaedah kiraan lebih ringkas.

Dalam kerumitan itu, sebenarnya cara kiraan yang rumit itu turut membawa satu faedah besar, mempelbagaikan elemen strategi yang perlu dihadapi pemain, menjadikan perlawanan sukar diramal seterusnya memastikan perlawanan berlangsung dalam nada mendebarkan.

Kaki tenis pasti tahu betapa sedapnya layan bila dua pemain tenis saling bertukar-tukar 'advantage' dalam menentukan siapa dapat satu mata.

Kritikan terhadap sistem ini

bagaimana sistem kiraan tenis dicipta

Walaupun diamal sebagai tradisi, bagi pendatang baru dalam sukan ini sama ada menyertai atau sekadar menonton, sistem pemarkahan tenis memang membingungkan dan sukar difahami.

Penggunaan istilah-istilah spesifik seperti "love," "deuce" dan "advantage" juga jelas memerlukan penjelasan, menjadi halangan bagi mereka yang baru nak faham sukan ini.

Selain memberi kesan kepada penonton, seperti yang sudah kami sebutkan di atas...sukan tenis mampu berlangsung dalam jangka masa lama disebabkan kaedah pemarkahannya!

Nak menang satu mata pun sukar, terutamanya dalam perlawanan yang sengit. Durasi panjang ini memang meletihkan fizikal dan mental pemain serta menggugat tahap konsentrasi penonton, akibat masa tontonan yang terlalu lama.

Dari perspektif penganjuran, perlawanan yang panjang juga mengganggu jadual pertandingan, menyukarkan aturan media penyiar serta menyebabkan kelewatan perlawanan seterusnya untuk bermula kalau jumlah gelanggang terhad.

Sistem pemarkahan ini juga dalam sesetengah situasi boleh jadi tidak adil, bilamana ada pemain yang memenangi lebih banyak mata secara keseluruhan tetap masih boleh kalah perlawanan.

Sebagai contoh, seorang pemain mungkin memenangi lebih banyak mata tetapi tewas dalam set kerana mereka gagal memenangi mata penting dalam situasi 'deuce.'

Adakah sistem pemarkahan tenis perlu dirombak?

skor sukan tenis unik

Sistem pemarkahan unik tenis memang memberikan sukan ini identiti yang berbeza jika dibandingkan sukan lain.

Bagaimanapun sudah ada gesaan daripada banyak pihak khususnya bekas pemain legenda yang merasakan, tenis kini perlu rombakan besar. Dan salah satu rombakan besar yang wajib dilakukan adalah menukar sistem pemarkahannya kepada kaedah yang lebih mudah.

Banyak pihak mendakwa populariti tenis di peringkat antarabangsa sukar diperkembangkan, kerana majoriti masyarakat tak faham dan tak nak faham bagaimana sukan ini berlangsung. Kaedahnya terlalu kompleks sehingga mengakibatkan minat orang nak mengikuti menurun.

Lagipun, dalam zaman sekarang, tak ramai lagi dah penonton mahu menghabiskan masa selama lebih 3 jam untuk satu perlawanan tenis. Lama betul rasanya, walaupun yang bermain adalah dua pemain legenda dunia.

Adakah anda merasakan sistem kiraan tenis perlu dirombak atau lebih baik dikekalkan saja bagi menjaga tradisinya? Nyatakan pendapat anda dalam ruangan komen ya!




Hakcipta iluminasi.com (2017)