Kredit foto: The Malay Mail Online
Datuk Farid Kamil tidak teragak-agak mengambil tindakan saman terhadap sebuah produksi drama atas dakwaan menggunakan air kotor dan gagal menyediakan alat keselamatan bagi rakaman sebuah babak aksi.
Menurut peguam Farid iaitu Faizul Mohd Nasir, kejadian itu menyebabkan anak guamnya berada dalam keadaan bahaya.
"Anak guam saya juga mengalami kecederaan di bahagian kaki dan akibatnya dia tak boleh memakai seluar panjang selama 10 hari.
"Namun, dia tetap melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional," katanya ketika sidang media khas yang berlangsung di The Loft Event Space, Setia Alam pada Rabu.
Faizul menegaskan tentang aset seorang pelakon yang meliputi paras rupa, susuk tubuh dan kesihatan.
"Kita telah menghantar notis tuntutan dan setakat ini produksi juga dah memberi maklum balas.
"Tapi, kalau pihak berkaitan ingin selesai di luar mahkamah pun boleh," katanya.
Difahamkan, isu itu sudah dikemukakan kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.
Dalam pada itu, Farid memaklumkan pihaknya masih belum mendapat sebarang maklum balas rasmi berkenaan gelaran Datuk yang dikatakan bakal ditarik balik.
"Sebenarnya, saya memanjatkan kesyukuran kerana telah dianugerahkan gelaran terbabit.
"Tapi, saya juga masih tak dapat apa-apa maklum balas secara formal pada title tersebut," katanya.
Farid dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk pada 16 Disember lalu.
Namun, kontroversi beliau ditahan polis membabitkan kes dadah menyebabkan reputasinya tercemar hingga gelaran Datuk yang dipegangnya dipertikai ramai.
Sumber berita: Sinar Harian