Oleh pada 23 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Sufian Suhaimi & Instagram Elfira Loy

Campur tangan orang ketiga mungkin menjadi faktor kepada isu pertunangan Sufian Suhaimi dan Elfira Loy.

Sufian yang tidak mahu bercerita panjang tentang isu itu, mengatakan keputusan berkahwin bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng.

"Sangat rumit untuk saya perkatakan mengenai perkara ini kerana ia bukan hanya berkaitan saya dan El (Elfira), tetapi turut membabitkan kedua-dua belah keluarga.

"Mungkin (ada campur tangan orang ketiga)... Perkahwinan sesuatu yang besar dan tak boleh dibuat main-main. Sebab itu kami menghormati pandangan semua orang dalam keluarga," kata Sufian, 26, kepada portal BH Online.

Beliau membuat kenyataan tersebut di sidang media Anugerah Meletop Era 2018, semalam.

Terdahulu, Sufian dan Elfira, 24, jarang memuat naik foto bersama di laman sosial, tidak seperti kebiasaannya sebelum mereka bertunang.

Rentetan itu, netizen mula mempersoalkan tentang perancangan kahwin pasangan ini yang dijadualkan pada Mac. 

Sementara itu, Sufian yang bersikap optimis ini meletakkan faktor kesibukan tugas sebagai punca hubungan itu terbatas.

"Seperti pasangan lain, pasti ada dugaan dalam pertunangan. Begitu jugalah dengan kami. Doakan yang baik-baik untuk kami, mudah-mudahan ada pengakhiran yang baik.

"Apabila isu ini timbul, saya tidaklah berasa tertekan sebab saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Apa saja yang saya buat, mereka tidak menghalang," katanya.

Tidak hanya itu, Sufian berkata, dia percaya akan hikmah tersembunyi dalam setiap musibah yang berlaku, mampu menjadikannya lebih matang.

"Kami berharap ia dapat berakhir dengan baik kerana hanya kami yang tahu apa sebenarnya berlaku. Jadi, janganlah membuat kesimpulan tanpa mengetahui apa yang kami lalui," pintanya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)