Seperti yang semua tahu, penjara adalah tempat di mana individu yang disabitkan dengan kesalahan menjalani hukuman. Hampir semua orang tidak mahu dimasukkan ke dalam penjara. Ini kerana, penjara bukanlah tempat untuk bercuti atau bersuka-ria dan biasanya sangat membosankan.
Namun, terdapat beberapa penjara di seluruh dunia yang menawarkan program menyeronokkan bagi membantu para penghuninya berasa tidak sunyi dan lebih menghargai erti sebuah kebebasan. Berikut adalah beberapa buah penjara yang menawarkan program unik untuk banduannya.
BESARKAN TEKS A- A+
6. Penjara Thies - Senegal
Mengajar banduan bagaimana menggunakan senjata mungkin dilihat sebagai program yang tidak wajar bagi sesebuah penjara. Namun, pihak pengurusan Penjara Thies di Senegal ini percaya bahawa sukan pedang mampu meningkatkan disiplin para banduan muda.
Di penjara kedua terbesar Senegal ini, banduan muda diajar sukan lawan pedang, disaksikan oleh jurulatih bertauliah dari jauh. Latihan pedang yang diadakan seminggu sekali ini adalah program percubaan bagi membantu para pesalah di sini.
Setakat ini, lebih daripada 300 banduan lelaki dan wanita yang menyertai program ini. Menurut Ketua Penjara Thies, mereka yang telah melalui program ini amat sedikit kembali melakukan jenayah dan dipenjarakan semula. (sumber)
5. Cereso Chetumal - Mexico
Penghuni di penjara ini sering menyelesaikan masalah mereka dengan program yang diperkenalkan iaitu perlawanan tinju klasik. Oleh kerana itu, penjara ini tidak pernah mengalami rusuhan atau tindakan ganas daripada banduan dalam masa 10 tahun.
Selain itu, penghuni-penghuni di sini seperti tidak mahu meninggalkan penjara ini kerana program-program hebat yang lain seperti aktiviti kebudayaan, kesenian dan kraf yang boleh dijual kepada pelancong. Selain makanan yang hebat, banduan juga menikmati tidur yang selesa tanpa gangguan. (sumber)
4. Penjara Pulau Bastoy - Norway
Norway adalah negara yang memperkenalkan penjara mesra alam pertama di dunia. Penjara Pulau Bastoy ini menggunakan panel solar untuk sumber tenaga, menghasilkan makanan sendiri, mengitar semula semua benda dan cuba mengurangkan pencemaran alam.
Panel solar yang dipasang ini telah mengurangkan penggunaan elektrik penjara itu sebanyak 70%. Ia juga mendapat geran daripada badan-badan alam sekitar untuk membantu menghasilkan makanan organik yang bermutu tinggi.
Lebihan makanan mentah dari dapur Penjara Pulau Bastoy akan dijual ke penjara-penjara lain. Penjara ini juga terkenal di seluruh dunia kerana layanan istimewanya kepada banduan seperti program sukan tenis, menunggang kuda dan berenang. (sumber)
3. Justizzentrum Leoben - Austria
Dari luar, Justizzentrum Leoben kelihatan seperti bangunan sebuah pejabat yang diperbuat daripada kaca. Sebenarnya, ia adalah pusat pemulihan yang dibina bagi tahanan kawalan minimum. Penghuni di sini juga dibenarkan memakai pakaian pilihan mereka.
Banduan juga mempunyai akses kepada dapur umum di mana mereka boleh memasak makanan sendiri. Tujuannya adalah untuk memberikan mereka persekitaran hidup yang normal supaya mudah menyesuaikan diri apabila dibebaskan kelak.
Uniknya, hampir semua banduan di sini ditahan atas kesalahan pecah rumah. Austria adalah negara yang tinggi dengan jenayah pecah rumah, 40% lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat. (sumber)
2. Penjara Cebu - Filipina
Pusat Penahanan dan Pemulihan Wilayah Cebu adalah sebuah penjara di Wilayah Cebu, Filipina. Ia adalah kemudahan penjara kawalan maksimum dengan kapasiti seramai 1600 penghuni.
Apa yang menarik mengenai penjara ini ialah program tarian seragam banduan yang menjadi tular di internet. Ketua Penjara Cebu, Byron F. Garcia, didakwa mendapat idea ini setelah diilhamkan oleh babak dari filem Shawshank Redemption.
Penjara itu juga mengadakan pertunjukan langsung dan banduan juga membuat persembahan untuk tabung amal dan mereka dibayar untuk melakukannya. Kini, program tarian itu terpaksa ditanggungkan bagi menangani masalah lebihan banduan di penjara itu. (sumber)
1. Penjara San Pedro - Bolivia
Penjara San Pedro atau El penal de San Pedro adalah penjara terbesar di La Paz, Bolivia. Banduan di sini menguruskan penjara ini sendiri sebagai satu komuniti bebas. Apa yang menariknya, penjara ini kelihatan seperti sebuah kampung.
Mereka telah membangunkan sistem undang-undang, hukuman, politik, ekonomi dan pendidikan sendiri. Penghuni di penjara ini membayar sewa untuk sel-sel mereka. Ini memerlukan mereka untuk bekerja dari dalam penjara. Sama seperti sebuah kampung biasa, anda dapat lihat kanak-kanak bermain, terdapat gerai-gerai jualan dan juga restoran.
Di penjara ini, tiada pengawal atau pintu besi. Kos sebuah sel adalah antara USD 1,000-1,500 dan biasanya bergantung kepada tempoh hukuman. Menurut beberapa banduan, anda boleh hidup mewah sekiranya mempunyai wang dan mereka yang tidak mampu terpaksa berkongsi sel. (sumber)