Walaupun ramai pemain bola sepak terkenal diketahui ramai mempunyai masalah gagal mengurus kewangan dengan baik semasa dipuncak, satu kumpulan individu lain pula mempunyai masalah berbeza.
Disebabkan oleh reputasi yang mereka miliki serta kegagalan mengurus hidup, sesetengah pemain ternama tersalah langkah sehingga akhirnya bergelar penjenayah.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada yang kesnya biasa kedengaran. Ada juga yang kes disabitkan ke atas mereka, agak menjijikkan. Mungkin itulah buktinya yang menampakkan walau diberikan kemewahan dunia, wang ringgit bukanlah jawapan kepada semua persoalan.
1. Robinho
Anda masih ingat tentang seorang pemain berbakat dari Brazil, bersaiz cilik bernama Robinho? Beliau adalah antara nama-nama yang dikatakan mampu mendominasi sukan bola sepak satu masa dahulu.
Ketika ini Robinho sedang sedaya upaya cuba melepaskan diri daripada hukuman penjara 9 tahun yang dihadapi, hasil daripada penglibatan dirinya dalam kes rogol beramai-ramai yang berlaku pada tahun 2013 di Milan, Itali. Dia menafikan dakwaan penglibatannya.
Bagaimanapun hasil siasatan polis telah memberikan petunjuk dan bukti bagi mahkamah mensabitkan Robinho dengan jenayah yang berlaku, membolehkan dia dikenakan hukuman penjara.
Robinho bernasib baik dia berada di Brazil semasa keputusan penghakiman itu dibacakan pada bulan Mac tahun 2021. Brazil tidak mengamalkan undang-undang ekstradisi terhadap rakyatnya sendiri. Kini Robinho tidak mewakili sebarang kelab, kali terakhir dilaporkan terlibat dalam perlawanan amal pada pertengahan bulan Disember tahun 2021.
2. Rene Higuita
Jika Robinho berdepan kesalahan memalukan, lain pula kisahnya bagi Rene Higuita dari Colombia. Siapa yang tak pernah tengok kemahiran beliau menyelamatkan gol dengan sepakan 'kala jengking' beliau yang terkenal, bukanlah peminat bola sejati.
Higuita pernah merengkuk dalam penjara selama 7 bulan akibat daripada peranannya dalam sebuah kes penculikan yang berlaku, melibatkan seorang pengedar dadah terkenal di Colombia bernama Carlos Molina - musuh kepada raja dadah Colombia, Pablo Escobar.
Selepas anak perempuan Molina yang berusia 15 tahun diculik, dipercayai hasil arahan Escobar sendiri - Molina mengarahkan penjaga gol legenda Colombia yang ketika itu berada dipuncak karier menjadi orang tengah. Higuita terpaksa menyatakan persetujuan, bimbang untuk dia mengatakan tidak kepada antara pemegang saham terbesar kelab dia ketika itu beraksi.
Higuita menjadi kuda tunggangan Molina menyerahkan wang tebusan yang diminta penculik, dijanjikan imbuhan RM268 ribu sekiranya selesai.
Dia berjaya menjalankan peranannya, namun selepas siasatan polis membuktikan Higuita ada menerima bayaran daripada kes penculikan tersebut - dia dijatuhkan hukuman penjara 7 bulan sehingga terlepas kejohanan Piala Dunia edisi 1994.
3. Ronaldinho
Salah seorang pemain bola sepak yang pernah diisytiharkan bankrap walaupun bergaji sangat besar, Ronaldinho sebenarnya baru saja menamatkan hukuman penjara 5 bulan pada tahun 2020 di Paraguay.
Dia bersama abangnya didapati oleh pihak berkuasa Paraguay telah cuba memasuki negara tersebut menggunakan passport palsu, ketika dijemput menyertai perlawanan amal. Ronaldinho semasa kejadian sedang disiasat dalam kes lari cukai pada tahun 2019 - di mana majoriti hartanya telah disita termasuklah passport yang membolehkan perjalanan antarabangsa.
Kedua-dua adik beradik itu berjaya mengelakkan hukuman penjara 5 tahun selepas mengaku bersalah, membayar denda dan dibebaskan pada bulan Ogos tahun 2020. Dikatakan kejadian ini telah memberikan perspektif baru buat Ronaldinho dalam memperbaiki hidup beliau dan beliau sendiri kini lebih aktif dalam industri hiburan, sebagai sumber rezeki baru.
4. Adam Johnson
Satu ketika dulu, nama Adam Johnson merupakan antara nama yang disebut bakal menguasai bahagian sayap pasukan kebangsaan England. Bagaimanapun, hubungan seksualnya bersama seorang peminat fanatiknya yang baru berusia 15 tahun ketika kejadian - meruntuhkan reputasi Johnson dalam sukan bola sepak.
Dia didapati bersalah atas dakwaan menjalinkan hubungan dengan individu bawah umur untuk tujuan seksual, dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun pada tahun 2016. Dia dibebaskan pada bulan Mac 2019 dengan tempoh pengawasan dikenakan ke atasnya dan namanya didaftarkan dalam rekod pesalah seksual England.
Ketika ini Johnson sedang membina semula hidupnya, telah kembali berdamai dengan bekas isteri. Pasangan itu baru saja dikurniakan anak kedua mereka. Johnson dikatakan telah cuba mendapatkan kontrak dengan mana-mana kelab bola sepak yang sudi menawarkan dia sambungan karier di England, namun berdepan kegagalan.
Johnson dan pasangannya dilaporkan sedang merancang untuk berpindah ke negara luar, bagi membolehkan karier bola sepak Johnson dimulakan kembali.
5. Diego Maradona
Mendiang Diego Maradona merupakan nama yang sangat besar, dikagumi peminat bola sepak seluruh dunia - sehinggakan ada agama yang menjadikan beliau seakan-akan Tuhan yang harus disembah.
Bagaimanapun, reputasi dan legasi Maradona sebagai pemain bola sepak legenda banyak menutup titik-titik hitam yang telah terpalit sepanjang karier beliau berlangsung serta selepas kariernya berakhir.
Dia terkenal sebagai seorang penagih dadah jenis kokain tegar, yang sering terlepas setiap kali ujian air kencing dijalankan. Hasil daripada nama dan reputasi, Maradona mula rapat dengan tokan-tokan dadah khasnya seorang ketua mafia wanita di Itali bernama Erminia Giuliano.
Maradona ditahan pada bulan April 1991 selepas satu serbuan di kediaman miliknya yang dijadikan stor dadah milik kongsi gelap - ketika itu dia sedang menjalani penggantungan, akibat gagal ujian dadah. Dia dibebaskan dengan ikat jamin dan terlepas hukuman penjara 14 bulan selepas rayuan dia diterima.
Pada tahun 1994, Maradona sekali lagi berdepan tuduhan jenayah selepas bertindak menembak 4 orang jurnalis dengan senapang angin mengakibatkan kecederaan kepada semua mangsa. Dia didapati bersalah atas kesalahan tersebut namun hukuman penjara 2 tahun 10 bulan yang disabitkan ditangguhkan, mengakibatkan rasa kurang senang di kalangan semua mangsa terlibat.