Penjara telah lama wujud di mana ia bermula dengan Mesopotamia kuno pada tahun 3,200 SM.

Namun bagi sebahagian besar dari sejarah manusia, penjara bukanlah digunakan sebagai hukuman tetapi sebagai "zon santai" bagi golongan yang menunggu untuk dibicarakan atau dihukum dengan cara lain, seperti hukuman mati atau dibuang negeri.

Sehinggalah pada abad ke-19 di England di mana hukuman penjara digunakan sebagai satu bentuk hukuman, dan walaupun penjara hukuman telah menjadi biasa di seluruh dunia, setiap negara mengendalikannya dengan cara yang agak berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebagai contoh, banduan-banduan di penjara di Brazil boleh mengurangkan hukuman penjara mereka sebanyak empat hari bagi setiap buku yang mereka baca dan melaporkannya.

Di China, orang kaya biasanya mengupah individu lain untuk dimasukkan ke dalam penjara sebagai pengganti.

Dan tidak kiralah penjara mana di seluruh dunia ketika ini, idea utamanya adalah sama iaitu banduan tidak dibenarkan keluar atau melarikan diri.

banduan di penjara paling bahaya di amerika syarikat

Tetapi, bergantung kepada di mana anda berada, hukuman bagi melarikan diri dari penjara adalah sangat berbeza.

Di Amerika Syarikat, jika anda melarikan diri dari penjara, anda mungkin akan berhadapan dengan 10 tahun tambahan di belakang tirai besai penjara, bergantung kepada bidang kuasa tempat tersebut dan rekod jenayah sebelum ini.

Namun di Jerman, melarikan diri dari penjara adalah tidak menyalahi undang-undang di mana anda tidak boleh dihukum kerana meloloskan diri dari penjara Jerman.

Pada tahun 1880an, badan perundangan pada masa itu iaitu Empayar Jerman memutuskan bahawa semua orang berhak untuk mencari kebebasan diri dan oleh itu tidak boleh dihukum kerana melarikan diri dari penjara.

Hari ini, lebih dari 130 tahun kemudian, undang-undang ini masih berkuatkuasa.

Dan ia bukan hanya di Jerman, tetapi Austria, Belgium dan Mexico juga mempunyai undang-undang yang mengatakan anda tidak boleh dihukum kerana melarikan diri dari penjara.

penjara di mexico

Sebab asas di sebalik undang-undang ini adalah terdapat perbezaan antara "hak untuk memiliki kebebasan" dan "hak untuk mencari kebebasan".

Apabila anda melakukan jenayah, anda kehilangan hak untuk memiliki kebebasan yang menjadi sebab kepada pemerintah boleh memenjarakan anda.

Namun, negara-negara ini percaya bahawa manusia sentiasa mempunyai hak untuk mencari kebebasan, seperti yang dikatakan oleh hakim Mahkamah Agung Mexico, "Keinginan asas terhadap kebebasan tersirat di dalam diri setiap orang, jadi cuba melarikan diri dari penjara tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah,".

Walau bagaimanapun, terdapat had kepada perkara ini.

Jika anda berjaya melarikan diri dan polis menemui anda, anda boleh dihantar kembali ke penjara.

Melarikan diri dari penjara tidak bermaksud hukuman anda hilang begitu sahaja, tetapi ia bermakna pihak berkuasa tidak boleh menambah hukuman sedia ada kerana anda melarikan diri.

melarikan diri dari penjara mexico tidak menyalahi undang undang

Malah, walaupun melarikan diri dari penjara tidak melanggar undang-undang, ia masih melanggar peraturan penjara.

Jadi walaupun jumlah hukuman anda tidak boleh ditambah, kemungkinan anda untuk mendapatkan pembebasan parol menjadi tipis.

Dan jika anda melakukan jenayah lain ketika melarikan diri, anda masih boleh didakwa dan dijatuhkan hukuman untuk jenayah tersebut.

Jika anda melarikan diri dengan merasuah pegawai penjara, anda telah melakukan jenayah rasuah.

Jika anda mencuri kereta untuk melarikan diri, anda telah melakukan jenayah mencuri. Jika anda memotong pagar penjara, anda telah melakukan merosakkan harta benda.

Dan walaupun melarikan diri dari penjara tanpa melanggar undang-undang kelihatan seperti sukar, namun ia masih boleh dilakukan.

joel kaplan melarikan diri dari penjara tanpa melanggar undang undang

Seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat iaitu Joel Kaplan, melarikan diri dari penjara Mexico pada tahun 1971 tanpa melanggar walaupun satu undang-undang. Kaplan dijatuhkan hukuman penjara kerana membunuh rakan kongsinya.

Setelah dipenjarakan, Kaplan merancang dengan begitu berhati-hati untuk melarikan diri dari penjara tanpa melakukan sebarang jenayah.

Ia dilakukan ketika para pengawal penjara sedang menonton filem, jadi dia tidak perlu merasuah atau menyerang sesiapa.

Helikopter yang digunakan untuk menjemput Kaplan dibeli secara tunai dan bukannya sewa beli, jadi dia tidak boleh dituduh menyalahgunakan harta sewa.

joel kaplan dan isterinya

(Joel Kaplan pada tahun 1958, bersama isterinya Bonnie Sharie)

Kemudian, Kaplan menaiki pesawat peribadi yang juga dibeli secara tunai yang membawanya ke California, melalui rancangan penerbangan yang telah dihantar dan diluluskan sendiri oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Selepas mendarat, Kaplan melalui semakan kastam menggunakan nama sebenarnya bagi mengelakkan tuduan memasuki negara secara haram.

Kaplan tidak berhadapan dengan sebarang masalah ketika masuk ke Amerika Syarikat kerana ketika itu berita tentang kehilangannya masih belum diketahui.

Dia kemudiannya bersembunyi buat seketika, dan oleh kerana kedua-dua FBI dan kerajaan Mexico tidak begitu berminat untuk mencarinya, Kaplan bebas begitu sahaja tanpa meneruskan hukuman penjaranya di Mexico.

Rujukan:

1. In Shorts

2. Halfas

3. Post It Random




Hakcipta iluminasi.com (2017)