Kebanyakan barangan yang kita guna sekarang, mempunyai jenama yang memudahkannya dirujuk kita. Jenamanya mungkin diambil daripada nama penciptanya atau apa saja istilah yang terdetik di kepala perekanya.
Walaupun demikian ada beberapa barangan atau produk yang namanya duduk dalam kategori unik, turut menggunakan nama manusia tetapi akhirnya menjadi sangat-sangat sinonim sehinggakan kita tidak lagi sedar label yang kita gunakan...sebenarnya merujuk kepada seseorang.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 8 barangan unik yang menggunakan nama manusia.
1. Jerrycan
Anda pernah mendengar istilah ini? Di negara kita, penggunaannya mungkin kurang popular tetapi di negara barat; istilah ini cukup popular.
Jerrycan adalah bekas diperbuat daripada logam yang digunakan untuk mengangkut dan menyimpan bahan bakar selalunya minyak petrol atau diesel. Nama "Jerrycan" berasal daripada istilah "Jerry," istilah slanga merujuk kepada askar Jerman semasa Perang Dunia II.
Bekas ini sebenarnya direka oleh tentera Jerman dan dikenali sebagai "Wehrmacht-Einheitskanister," mempunyai reka bentuk yang tahan lasak dan mudah diangkut menjadikannya popular di kalangan ahli tentera, yang kemudian mengadaptasi dan menamakannya dengan nama timangan 'Jerrycan.'
2. Tommygun
Popular di kalangan peminat filem berunsurkan mafia, tommygun atau nama penuhnya 'Thompson submachine gun', dinamakan sempena penciptanya, John T. Thompson.
Senapang ini direka awal 1920-an dan menjadi terkenal semasa undang-undang ketat diperkenalkan kerajaan Amerika Syarikat, yang menjadikan tommygun bahan seludup popular. Berikutan rekaannya yang unik serta reputasi yang ada, tommygun layak dikategorikan ikonik dalam budaya popular.
3. Lazy Susan
Rumah siapa ada perkakas ni? Lazy Susan adalah meja putar yang diguna untuk menyajikan makanan.
Asal usul sebenar bagaimana nama "Lazy Susan" diamalkan tidak begitu jelas. Salah satu teori menyatakan bahawa nama ini berasal dari nama panggilan "Susan," yang digunakan untuk merujuk golongan pembantu rumah pada abad ke-19.
Teori lain menyatakan bahawa nama ini diambil daripada label yang terpapar dalam sebuah iklan terbitan awal abad ke-20 yang mempromosikan meja putar, sebagai alat memudahkan penyajian makanan tanpa memerlukan bantuan pelayan.
4. Bobby Pin
Bobby pin adalah klip rambut yang digunakan untuk mengikat rambut dan cukup popular dipaparkan dalam filem-filem, sebagai alat untuk membuka kunci. Dalam filem, nampak senang je buka mangga atau mulakan kereta guna bobby pin.
Walaupun ramai percaya nama "Bobby pin" berasal dari nama panggilan "Bobby," yang popular digunakan untuk merujuk golongan lelaki awal abad ke-20, klip rambut ini mula meluas penggunaannya ketika era tahun 1920-an semasa era rambut bob di kalangan wanita.
Gaya rambut pendek itu memerlukan wanita mengenakan bobby pin untuk membantu mengikat rambut mereka dengan kemas. Mungkin itu sebab sebenarnya kenapa pin itu dinamakan sebagai bobby.
5. Teddy Bear
Jangan terkejut pula! Tahu tak, teddy bear dinamakan sempena Presiden Amerika Syarikat, Theodore "Teddy" Roosevelt!
Pada tahun 1902, ketika Roosevelt dijemput untuk memburu beruang di Mississippi, kumpulan pemburu lain berjaya menangkap seekor beruang dan mengikatnya untuk membolehkan Roosevelt menembaknya.
Menyedari perbuatan itu tidak beretika, Roosevelt menolak. Kisah ini heboh sehingga menjadi tajuk utama akhbar dan seorang pembuat mainan mengambil kesempatan mencipta mainan beruang yang dinamakan "Teddy bear" sebagai penghormatan kepada Roosevelt kerana enggan menembak beruang yang ditangkap.
6. Bowie Knife
Anda peminat artis David Bowie? Nama perkakas ini langsung tak ada kaitan dengan dia.
Bowie knife adalah pisau besar yang dinamakan sempena James Bowie, seorang pahlawan dan peneroka Amerika. Rekaan pisau iini menjadi terkenal semasa Pertempuran Alamo tahun 1836, selepas Bowie menggunakannya dalam pertempuran.
Pisau milik Bowie direka dengan bilah panjang dan lebar, menjadikannya berkesan dalam pertempuran jarak dekat. Legenda pisau itu serta pemiliknya akhirnya tersebar, menjadikan rekaan pisau itu terus kekal dan dirujuk sempena nama penciptanya.
7. Allen Key
Penulis waktu kecil dulu merujuk allen key sebagai align key. Tak tahulah kenapa! Bila dah besar baru sedar silap.
Allen key atau ada juga yang menggelarkannya sebagai hex key kerana bentuk heksagonnya, direka oleh sebuah syarikat bernama Allen Manufacturing Company, yang mempopularkan alat ini pada awal abad ke-20.
Walaupun ringkas, rekabentuknya mampu memberikan ikatan yang kuat pada setiap sambungan dan mudah diaraskan dalam pelbagai aplikasi mekanikal dan industri.
8. John
Pernahkah anda mendengar pepatah 'going to the john?' Dengar saja pepatah itu, kita dah tahu maknanya orang itu akan ke tandas.
Istilah "John" sebagai slanga untuk tandas dipercayai berasal dari nama Sir John Harington, seorang bangsawan Inggeris yang juga anak angkat Ratu Elizabeth I. Sir John Harington dikreditkan sebagai pencipta salah satu tandas siram pertama di dunia pada akhir abad ke-16.
Beliau memasang satu di rumahnya dan satu lagi di istana ibu angkatnya. Kerana itulah di kalangan masyarakat, nama 'john' kini sinonim dengan tandas. Kalau itu adalah anda, adakah anda akan bangga dengan pencapaian anda?