Salah satu topik yang kerap kali mencetuskan perbualan hangat di kalangan pembaca Iluminasi, adalah apabila kami menerbitkan artikel berkait dengan sistem penjara dan banduan.
Tidak banyak informasi yang kita tahu tentang apa yang berlaku di penjara khasnya - melainkan maklumat-maklumat yang boleh kita perolehi secara terbuka serta cerita-cerita bekas banduan yang disebarkan, tak diketahui benar atau tidak isi kandungannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami pernah menerima soalan dalam mesej kami dari seorang pembaca yang berminat untuk tahu bagaimana banduan di Malaysia dipulihkan. Jadi hari ini, kami kongsikan serba sedikit informasi yang dapat kami kumpul berkenaan soalan itu. Harap menjawab persoalan anda.
Sejarah ringkas sistem penjara kita
Sejarah penjara dalam masyarakat kita sudah wujud semenjak era Kesultanan Melayu lagi, apabila individu yang didapati bersalah akan dikurung dalam satu bangunan yang ditetapkan mengikut tempoh yang dipersetujui pembesar Melayu zaman itu.
Sistem penjara yang kita guna sekarang di negara kita pula diperkenalkan oleh penjajah British, dengan terbinanya penjara khas bagi mengurung pesalah di Kota Cornwallis di Pulau Pinang pada bulan Mac tahun 1790. Pembinaannya pula menggunakan tenaga kerja banduan yang dibawa khas dari India, khasnya banduan dari penjara di Alipur, Bombay dan Madras serta kepulauan Andaman.
Itu adalah kaedah biasa British dalam menjimatkan kos pembinaan mereka apabila banduan dikerah untuk dijadikan tenaga kerja. Untuk pembinaan penjara kedua di negara kita iaitu Penjara Larut (kini dikenali sebagai Penjara Taiping) pada tahun 1879, banduan-banduan tahanan British dari Afrika untuk tujuan pembinaannya.
Selain digunakan sebagai hukuman kepada pesalah dan penjenayah, sistem penjara British juga digunakan sebagai sumber bagi British mendapatkan tenaga buruh, selepas berakhirnya kebenaran untuk terus mengamalkan sistem perhambaan.
Dalam sistem keadilan negara kita, penjara haruslah dilihat sebagai satu institusi yang berkedudukan paling akhir bertanggungjawab melaksanakan hukuman ke atas mana-mana jenayah yang telah dilakukan individu.
Di atas kertas, sistem penjara kita dibentuk berpandukan kepada garis panduan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, dalam menjamin empat aspek utama iaitu layanan, pemulihan, keselamatan dan pemasyarakatan banduan, diangkat sebagai aspek utama mana-mana institusi penjara.
Tidak ada lagi kes-kes banduan dikerah untuk bekerja sebagai buruh kasar berlaku di negara kita, seperti apa yang telah dilakukan British satu masa dulu.
Aspek-aspek pemulihan seorang banduan yang diberi penekanan
Selain daripada program latihan, semua banduan diberikan peluang untuk melanjutkan pendidikan mereka - sama ada dalam aspek vokasional mahupun pendidikan berbentuk pengetahuan. Semua banduan ditawarkan menyertai program pendidikan yang membolehkan mereka memperolehi sijil asas persekolahan seperti PT3 dan SPM, sijil tinggi STPM dan sijil kemahiran vokasional.
Bagi banduan atau tahanan yang layak, mereka boleh melanjutkan pengajian ke tahap tertiari di mana mereka boleh memilih untuk mendaftar dalam kursus peringkat diploma, sarjana muda, sarjana malahan Doktor Falsafah.
Dari segi program latihan utamanya pula, semua banduan di negara kita khasnya mereka yang beragama Islam - akan melalui program yang dinamakan sebagai Program Pembangunan Insan atau PPI.
PPI merupakan sebuah modul pemulihan yang telah dilaksanakan di negara kita sejak tahun 2002, mempunyai empat fasa yang diharapkan dapat membantu membentuk disiplin, sahsiah, psikologi dan aspek kerohanian banduan. Empat fasa yang disebutkan pula dibahagikan mengikut sasaran atau pencapaian yang telah dicapai oleh banduan, dalam usaha pemulihan - dengan semua banduan perlu menyelesaikan fasa terawal terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa berikutnya.
Fasa-fasa awal pemulihan banduan
Semua banduan yang telah disabitkan kesalahan serta dijadualkan akan memulakan hukuman penjara mereka akan melalui fasa pertama atau fasa pembentukan disiplin. Dalam fasa ini pula, ada dua peringkat utama; yang pertama induksi/orientasi selama 2 minggu. Semasa induksi, banduan akan diberikan program berbeza bergantung kepada jenayah yang telah mereka lakukan bagi membentuk disiplin kepada peraturan, pendidikan kenegaraan, pendidikan sivik, pendidikan kesihatan serta tatacara amalan kebersihan diri.
Selepas selesai induksi, banduan akan menjalani Modul Pendidikan dan Bimbingan, di mana mereka akan dibahagikan kepada kategori jenayah yang telah berlaku, sama ada jenayah am, kolar putih, pesalah seksual, pesalah trafik dan sebagainya. Pada ketika inilah elemen-elemen sampingan seperti pengurusan diri, muhasabah diri, kemahiran sosial, kerohanian dan kekeluargaan ditambah ke dalam modul. Modul ini mengambil masa sehingga 3 bulan.
Tamat fasa pertama, semua banduan yang lulus dibenarkan menyertai fasa kedua atau fasa pengukuhan sahsiah. Fasa dengan durasi 6 ke 12 bulan ini adalah fasa terpenting di mana perubahan tingkah laku banduan agar mereka benar-benar kembali ke pangkal jalan dipupuk. Pada fasa kedua, banduan mula dibahagikan mengikut agama dengan banduan beragama Islam akan menjalani program Halaqah sementara yang bukan Muslim akan mempelajari tentang moral.
Dua modul terbesar dalam fasa kedua adalah modul rawatan komuniti dan modul akademik. Dalam modul komuniti, setiap banduan akan menjalani program pemulihan untuk membentuk diri mereka sebagai suri teladan, seterusnya mula membentuk kumpulan sokongan sesama banduan lain. Dalam modul akademik, banduan yang berminat serta berkelayakan boleh mula menjalani kursus-kursus jangka pendek yang berkait dengan ilmu-ilmu akademik.
Dua fasa terakhir pemulihan banduan
Jangka masa banduan di penjara paling banyak akan dihabiskan dalam fasa ketiga, bergantung kepada nasib mereka di situ. Fasa ketiga dinamakan sebagai fasa kemahiran di mana banduan diberikan peluang untuk mempelajari sehingga mahir kemahiran vokasional, yang dia rasakan sesuai dengan dirinya.
Semua program vokasional yang dijalankan akan disijilkan, serta mendapat akreditasi daripada agensi-agensi kerajaan yang terbabit. Semua kursus kemahiran pada peringkat ini terbahagi kepada tiga modul berbeza iaitu Modul Kemahiran Bersijil, Modul Vokasional dan Modul Usahasama Dalam Penjara.
Setiap banduan perlu mencapai markah tertentu sebelum dibenarkan bergerak ke fasa seterusnya, dengan markah minima Poin Gred Nilai Kumulatif (PGNK) yang diperlukan mestilah berada di atas nilai 3.00. Kegagalan banduan untuk mencapai tahap kemahiran yang ditetapkan, memerlukan banduan mengulangi semula kursus tanpa dibenarkan melangkau ke fasa empat.
Dalam fasa empat atau lebih dikenali sebagai fasa banduan pra bebas, semua banduan yang berjaya ke tahap ini dipercayai sudah mempunyai nilai disiplin serta sahsiah yang baik serta mempunyai kemahiran tertentu, yang mampu membantu mereka mencari sumber rezeki kelak. Jadi fasa ini lebih menumpukan kepada program atau modul penghayatan, di mana semua banduan akan dilatih untuk bersedia berdepan dengan stigma serta tekanan masyarakat luar - selepas mereka dibebaskan kelak.
Usaha membentuk diri mereka agar berani bercampur kembali dengan masyarakat, supaya mereka tidak kembali ke kancah jenayah, menjadi fokus utama fasa ini. Dimulakan dalam tempoh 6 bulan atau satu tahun sebelum tarikh mereka dibebaskan, fasa ini juga mula mengendurkan kekangan yang dikenakan ke atas banduan.
Banduan mula didedahkan kembali dengan keluarga mereka melalui program yang dinamakan Jalinan Kasih, di mana ahli keluarga secara beramai-ramai dibenarkan hadir bertemu dengan mereka tanpa halangan, agar setiap banduan tahu di luar sana, masih ada yang menantikan mereka.
Rujukan
Program Pemulihan di dalam Penjara bagi Pesalah Jenayah: Kajian diJabatan Penjara Malaysia (PDF)