Bagi seorang pesalah jenayah berat yang disabitkan hukuman, mereka perlu bersedia berdepan hukuman sama ada hukuman penjara dalam tempoh tertentu ataupun hukuman gantung sampai mati.

Kesedihan yang perlu ditanggung akibat kesilapan dibayar dengan hidup yang dikurung dalam dinding besi. Bagaimanapu majoriti banduan biasa bernasib baik masih tahu selama mana mereka akan diasingkan dari dunia luar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Wujud satu kategori banduan berbeza dikategorikan khas sebagai 'tahanan limpah', apa yang membezakan kumpulan ini dengan banduan biasa lain - seorang banduan berstatus tahanan limpah tidak tahu bilakah hari akhir mereka perlu kekal dalam penjara.

Apa itu Tahanan Limpah?

bekas banduan muda lulus spm

Secara amnya, wujud satu situasi unik yang perlu dipenuhi bagi membolehkan seseorang banduan itu layak bergelar 'tahanan limpah.'

Dia disahkan berstatus seorang banduan yang sepatutnya layak dijatuhkan hukuman mati, namun disebabkan oleh ketika berlakunya kejadian masih bawah usia 18 tahun - individu ini secara undang-undangnya tidak layak dihukum gantung.

Bagi memastikan hukuman yang setimpal dapat dijalankan dan dalam masa yang sama masyarakat dilindungi daripada risiko individu seperti ini dibiarkan bebas, seorang pesalah akan dikategorikan sebagai 'tahanan limpah.'

Seorang tahanan limpah atas kesalahan berat yang telah dilakukannya akan dihukum penjara tanpa ada tarikh bebas sejak mula hukumannya lagi. Tempoh hukumannya pula ditentukan oleh budi bicara YDP Agong, DYMM Sultan atau Yang Dipertua Negeri di mana berlakunya jenayah tersebut.

Dalam erti kata lain, seandainya sesuatu jenayah berat yang sepatutnya membawa hukuman mati dilakukan oleh seorang kanak-kanak bawah 18 tahun di Wilayah Persekutuan Putrajaya misalnya, YDP Agong yang akan menentukan bilakah hari banduan itu dibebaskan.

Jika di Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, Yang Dipertua Negeri bertanggungjawab membebaskannya. Jika di negeri-negeri lain yang ber-sultan, Sultan negeri itu yang akan mengumumkan hari dia keluar penjara.

Lembaga Pengampunan kendalikan kes tahanan limpah

perlembagaan malaysia tahanan limpah

Selain daripada pelaku jenayah berat bawah usia 18 tahun, pesalah yang telah dijatuhkan hukuman mati tetapi akhirnya menjadi kurang siuman juga layak dikategorikan ke dalam kumpulan banduan ini melalui syarat yang sama.

Dalam mengenalpasti pesalah-pesalah kategori Tahanan Limpah ini dan proses rayuan yang perlu mereka buat bagi mendapatkan tarikh akhir dibebaskan, semua negeri di Malaysia mempunyai sebuah lembaga khas yang menguruskan kes-kes tahanan limpah di namakan sebagai Urus Setia Lembaga Pengampunan Negeri.

Tugas urus setia ini adalah untuk menerima dan menyemak rayuan tahanan limpah, sebelum mengemukakan rayuan yang telah diterima kepada pihak YDP Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri untuk pertimbangan, dalam mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh ketua-ketua negeri atau ketua negara.

Jendela rayuan dibuka setiap 4 tahun sekali untuk pertimbangan sama ada untuk meringankan hukuman ataupun untuk mendapatkan tarikh bebas. Sekiranya rayuan ditolak, banduan tahanan limpah perlu menunggu sesi berikutnya empat tahun kemudian untuk mengemukakan rayuan baru.

Tidak memeranjatkan seandainya ada kalangan banduan tahanan limpah ini yang telah berulang kali merayu dan menghadap penolakan, disebabkan oleh jenis jenayah yang mereka lakukan kebiasaannya memang agak luar biasa kekejamannya.

Apakah contoh kes yang dikategorikan tahanan limpah?

banduan tahanan limpah remaja bakar maahad tahfiz

Kes terkenal tahanan limpah melibatkan seorang remaja dalang utama kes pembakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang berlaku dalam bulan September tahun 2017.

Insiden kebakaran itu mengakibatkan 21 orang pelajar serta dua orang guru terkorban, dilakukan oleh tujuh orang suspek berusia 11 ke 18 tahun. Enam daripada mereka positif dadah dan 2 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalang utama kejadian itu seorang remaja tidak dinamakan ketika kejadian baru berusia 16 tahun.

Ekoran usia pesalah yang masih bawah umur tetapi terlibat dalam jenayah berat serta berjaya dibuktikan sengaja melakukannya dengan niat mahu membunuh; mahkamah memerintahkan suspek dijatuhkan hukuman penjara seumur hayat sesebagai seorang tahanan limpah - selama mana diperkenankan Yang Dipertuan Agong.

Hukuman itu dibacakan pada bulan Ogos tahun 2020.

Dalam sebuah kes berasingan, seorang lelaki yang hanya dikenali dengan nama Man sudah berusia 32 tahun, telahpun merengkok dalam penjara sejak berusia 15 tahun selepas didapati bersalah membunuh ibu saudaranya ketika berada dalam pengaruh dadah.

Man mengakui tidak pernah gagal untuk melakukan rayuan namun rayuannya tidak pernah berjaya setakat ini, mengakui dirinya telah banyak berubah ekoran hukuman yang diterima.

Berbeza dengan tahanan biasa lain, Man mengaku dia sukar menerima hakikat dirinya tidak mampu menghitung hari bilakah akan dibebaskan, berbeza dengan banduan lain yang tahu hari mereka bakal kembali menyertai masyarakat semula.

Sama ada dia akan menghabiskan hidup sepenuhnya dalam penjara atau akan dibenarkan kembali ke pangkuan keluarga sementara nyawa masih ada, Man bersama lebih 80 orang tahanan limpah di seluruh negara harus bersabar dan mencuba untuk terus menantikan berita baik yang akan mengubah masa depan mereka.

Jika diterima, mereka sekurang-kurangnya sudah ada hari yang boleh dinantikan tiba. JIka ditolak, tidak ada lagi boleh mereka lakukan selain mencuba lagi empat tahun berikutnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)