Professor Philip Zimbardo adalah seorang penyelidik di Universiti Stanford dalam bidang psikologi. Lahir pada tahun 1933, Philip atau lebih mesra digelarkan 'Phil' adalah anak seorang imigran Itali yang berhijrah ke Amerika Syarikat. Kehidupan awalnya berdepan banyak dugaan. Dia menghadapi diskriminasi kaum berikutan statusnya sebagai anak pendatang, serta dibesarkan dalam suasana susah sehingga terpaksa bergantung dengan sara hidup kebajikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pengalaman yang dihadapi beliau membesar, membuatkan minatnya cenderung ke arah mengkaji tabiat manusia. Dia berjaya menamatkan pengajian dalam tiga bidang - psikologi, sosiologi dan juga antropologi dari Brooklyn College pada tahun 1954. Philip memulakan karier di Universiti Yale dan beberapa institusi lain, sebelum memulakan kerjaya di Universiti Stanford pada tahun 1968.

Berikutan banyak insiden pergaduhan di antara banduan dan pengawal yang berlaku di kalangan Tentera Laut dan Tentera Darat Amerika Syarikat, pihak tentera Amerika Syarikat bersetuju untuk melantik Professor Philip bagi mengadakan satu kajian dua minggu, dalam mencari solusi mengapa kerap berlaku insiden melibatkan banduan dengan pengawal.

Rekaan kajian The Stanford Prison Experiment

stanford prison experiment peserta dipakaikan baju

Prof. Phil berpendapat kajian yang bakal dilakukan perlu berjaya mengenalpasti bagaimana seseorang itu beradaptasi dalam keadaan di mana dia hilang upaya terhadap nasibnya sendiri.

Phil mahu melihat sendiri depan matanya perubahan yang akan berlaku pada banduan. Dia kurang berminat untuk mengkaji perubahan pada tahap mentaliti pengawal yang dilantik. Pengawal dan banduan akan dipilih secara rawak daripada kumpulan pelajar yang menawarkan diri untuk melalui simulasi kehidupan dalam penjara.

Seramai 24 orang terpilih dengan setiap seorang perlulah bebas daripada rekod jenayah, masalah kesihatan serta masalah psikologi. Sebagai sagu hati kepada mereka yang menawarkan diri menjalani kajian ini, semua peserta dibayar sebanyak RM59 sehari.

Menggunakan bilik bawah tanah di fakulti psikologi Universiti Stanford, sebuah penjara kecil dibina yang mampu menempatkan 9 orang pelajar sebagai banduan yang akan menetap di sana selama 2 minggu. Mereka akan dikawal oleh 9 orang peserta lain yang akan bertindak sebagai pengawal.

Semua banduan tidak akan diberitahu bila mereka akan mula dipenjarakan dan setiap antara mereka, ditahan, dibogelkan dan diberikan jaring untuk menutup rambut. Pengawal pula diberikan arahan untuk menggunakan apa saja cara yang mereka rasakan perlu, dengan hanya hukuman berbentuk kekerasan dilarang. Setiap seorang pengawal dibekalkan dengan kayu cota untuk membantu mententeramkan situasi bila perlu.

Philip Zimbardo bertindak sebagai warden dan superintenden penjara yang mengawai segala tindak tanduk pengawal dan banduan. Seorang bekas banduan penjara San Quentin bernama Carlo Prescott menjadi konsultan kepada eksperimen ini. Carlo memberikan maklumat kepada Philip berkenaan kaedah-kaedah yang biasa digunakan pengawal bagi memberi idea kepada peserta yang menjadi pengawal, apa yang perlu dilakukan.

Bagaimana kajian itu berubah hari ke hari

stanford prison experiment beg pada muka

Hari pertama kajian itu berakhir dengan mengecewakan. Bagi Prof. Phil, tidak ada apa-apa yang berlaku. Pengawal tidak merasakan mereka benar-benar ada kuasa. Ramai yang canggung beruniform. Banduan pula merasakan semuanya hanya olok-olok. Mereka mentertawakan pasukan pengawal yang bertugas.

Prof. Phil dilihat kecewa atas hasil hari pertama yang tidak membawa sebarang keputusan memberangsangkan. Dave Eshelman, salah seorang pengawal yang ditugaskan berkongsi perasaan yang sama dengan Prof.Phil dan mula memainkan persona pengawal yang lebih tegas untuk mengubah situasi, menyebabkan pasukan pengawal berubah mengambil peranan dan watak mereka dengan lebih serius.

Bermula pada hari kedua selepas beberapa siri pertengkaran di antara peserta, keadaan mula bertukar rupa. Fasiliti universiti itu mula mirip penjara sebenar. Pihak banduan yang tertekan merapatkan katil ke pintu masuk sel penjara mereka untuk menghalang pengawal. Peserta yang menjadi banduan mula merasakan diri mereka ditekan, memberontak menyebabkan suasana menjadi kacau bilau.

stanford prison experiment kajian eksperimen psikologi banduan

Larangan penggunaan kekerasan ditarik balik menyebabkan pengawal berani melakukan tindakan kasar. Peserta kajian yang menjadi banduan mula diarahkan menjalani hukuman bogel, disembur dengan pemadam api, dipijak semasa tekan tubi dan penderaan mental. Dave Eshelman mula mengambil peluang mencuba sendiri sejauh mana dia mampu mendera banduan yang dijaganya dan tindakannya tidak lagi dihalang, malah disokong pula oleh pengawal-pengawal lain.

Prof. Phil pula hanya melihat dari jauh semua yang berlaku tanpa mahu menghalangnya. Dia sendiri sebenarnya tidak menyedari transformasi yang berlaku pada dirinya ketika kajian itu.

Penyelia Penjara Philip Zimbardo

philip zimbardo stanford prison kajian penjara

Prof. Philip yang bertanggungjawab menyelia semua yang berlaku menjadi khusyuk dengan 'tanggungjawabnya.' Rutin yang berlangsung selama 2 hari menyediakan makanan untuk banduan, mengawal masalah kemurungan banduan, bertemu ibu bapa yang risau serta mengadakan sesi kaunseling untuk banduan menyebabkan perubahan besar berlaku pada Prof. Philip sendiri.

Dia lupa yang semua itu adalah kajian psikologi yang diwujudkan khas bagi mengkaji tabiat manusia. Professor Philip mula mengambil serius tugasnya sebagai penyelia penjara tanpa sedar dia berubah.

Pada hari ke empat, banduan-banduan yang dipilih mula menerima nasib mereka sehinggakan ada yang sanggup untuk menolak wang sagu hati yang bakal mereka perolehi, sekiranya mereka dibebaskan lebih awal. Ini berlaku tanpa disengajakan, walaupun setiap peserta tahu mereka sebenarnya bebas untuk menarik diri daripada terus menyertai kajian yang dijalankan dan hanya akan dibayar mengikut jumlah hari penyertaan.

Perbuatan itu membuktikan, dalam keadaan terkurung dan diseksa, peserta yang sebenarnya bukanlah seorang banduan sebenar sudah mula menunjukkan mentaliti seorang banduan tanpa sengaja. Setiap watak sama ada pengawal, banduan malahan Prof. Philip sendiri tanpa sedar mula menjadi watak yang mereka mainkan sehingga realiti sudah tidak dibezakan lagi.

Legasi 'Stanford Prison Experiment'

peserta kajian stanford

Kajian penjara itu berakhir pada hari ke enam, hanya selepas teman wanita kepada Prof. Philip, Christina Maslach seorang pelajar sarjanaa di situ hadir ke 'penjara' mereka dan terkejut melihat bagaimana sistem penjara itu dijalankan.

Walaupun seramai hampir 50 orang penyelidik turut sama menjadi pemerhati semasa eksperimen itu berjalan, Christina menjadi satu-satunya individu yang menegur perbuatan melampau yang telah dikenakan pada peserta berstatus banduan.

Eksperimen itu ditamatkan serta merta dan semua peserta dibebaskan untuk pulang ke rumah sebelum dipanggil semula bagi memberikan maklum balas berkenaan apa yang telah mereka lalui.

Pada Oktober 1971, Prof. Philip dipanggil untuk mengadap Kongres Amerika Syarikat bagi menjelaskan apa yang perlu dilakukan dalam menambahbaik sistem penjara di negara mereka. Prof. Philip menerangkan secara terperinci apa yang telah berlaku dalam kajiannya serta hasil kajiannya yang cuba menjelaskan kesan sebenar kuasa atau hilang kuasa kepada tahap mental seseorang.

Kritikan terhadap eksperimen ini

pengawal yang dipilih stanford

Walaupun kajian yang dijalankan menunjukkan memang berlaku perubahan sikap di antara individu yang memegang kuasa dan mereka yang hilang upaya, hasil dapatan kajian ini tidak dapat diterima berikutan fungsi Prof. Philip dalam kajian ini tergugat.

Prof Philip tanpa sengaja meletakkan dirinya ke dalam eksperimen secara langsung dan memainkan peranan superintenden yang menyelia sejak mula, mampu menimbulkan bias terhadap keputusan ujian itu. Selain itu, kajian ini juga tidak dapat menjelaskan secara terperinci apa faktor kajian yang sedang diteliti berikutan ketiadaan pembolehubah yang tepat.

Pada tahun 1973, American Psychological Association atau APA mengadakan penyiasatan bagi mengkaji adakah berlaku pelanggaran etika dalam kajian penjara Stanford ini. Hasil kajian itu pada mulanya membuktikan tidak wujud sebarang pelanggaran etika dalam operasi kajian tersebut. Namun beberapa perubahan pada garis panduan etika kajian oleh APA yang diwujudkan selepas itu, membuktikan wujudnya kesan negatif dan buruk ke atas peserta kajian.

stanford county prison adegan filem

Ini menyebabkan satu larangan rasmi terhadap segala jenis kajian serupa diwujudkan di Amerika Syarikat, tidak membenarkan mana-mana individu diletakkan lagi di dalam eksperimen berbentuk simulasi sedemikian rupa. Larangan ini masih digunapakai sehingga kini.

Kisah eksperimen penjara Stanford menjadi topik yang kerap dibincangkan bagi mereka yang terlibat dalam bidang pengajian psikologi. Kisah kajian ini menjadi inspirasi kepada sebuah filem yang diterbitkan pada tahun 2015 .




Hakcipta iluminasi.com (2017)