Kredit foto: Utusan Online
Adik kepada Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari, sedang merancang membawa abangnya berjumpa pakar untuk pemeriksaan lanjut kesihatan mental.
Fadzil berkata, keputusan itu dibuat atas kata sepakat mereka sekeluarga dan isteri Farid yang mana mahu ia dilakukan secepat mungkin.
"Apa yang penting adalah kesihatan dalaman dan fizikal Farid.
"Selepas ini, baru kita bawa jumpa pakar untuk memeriksa keadaan kesihatan mentalnya," katanya yang juga akan membawa Farid bertemu dua anaknya.
Fadzil membuat kenyataan tersebut selepas prosiding mahkamah abangnya, hari ini.
Terdahulu, Farid menerusi prosiding yang berlangsung pagi tadi mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan selain berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam di Balai Polis Kora Damansara, Khamis lalu.
Beliau diikat jamin RM12,000 untuk semua pertuduhan itu dengan seorang penjamin. Manakala mahkamah menetapkan 5 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes.
Farid direman lima hari sejak Jumaat lalu dan berakhir hari ini.
Dalam pada itu, Fadzil berkata, dia memohon agar tiada lagi pihak yang bertindak mengeruhkan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan yang akan menjejaskan siasatan kes.
"Syukur abang kami dibebaskan hari ini. Kami membawanya pulang. Harap buat masa ini rakan media memberinya ruang untuk bertenang.
"Pada masa sama, kami berharap tiada lagi individu yang mengeluarkan cerita mengelirukan. Segala-galanya sudah di peringkat mahkamah. Biarkan pihak berwajib jalankan tugas tanpa gangguan," katanya.
Sumber berita: BH Online